Wednesday, July 6, 2011

PM: Perhimpunan bagi dapat kuasa secara tak demokratik

PM: Perhimpunan bagi dapat kuasa secara tak demokratik
Jul 4, 11 12:24pm

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan atau menghancurkan apa yang dibina dan dibangunkan selama ini.

Perdana Menteri berkata rancangan mengadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini, bukannya cara yang baik dalam mencari penyelesaian.

"Ini semua (perhimpunan haram) sebenarnya bukan tujuannya untuk memperbetulkan sangat sistem yang ada tetapi bermotifkan politik untuk mendapatkan kuasa melalui cara yang tidak demokratik.

azlan"Melalui demonstrasi jalanan... dan jika berlaku, banyak orang akan tumpang semangkuk. Tidak ada jaminan bahawa segala-galanya boleh berlaku dengan aman.

"Kalau ada orang suka kepada rusuhan dan kekacauan, dia akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan beberapa menteri Kabinet.

Najib berkata sebenarnya ada pendekatan lain untuk menangani sesuatu isu itu dan jangan melakukannya kerana dipengaruhi oleh emosi.

"Kita kena ingatkan perkara ini sebelum terlambat. Kalau mereka hendak sangat kemukakan memorandum dan sebagainya untuk menunjukkan mereka 'decent' dalam demokrasi, pakat baik-baik dengan pihak berkuasa.

"Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

"Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara," katanya.

Najib berkata jika matlamat perhimpunan haram itu adalah untuk memperbetulkan sistem pilihan raya di negara ini, kenapa Barisan Nasional (BN) tewas di lima buah negeri pada pilihan raya umum 2008.

Perdana Menteri menjelaskan keadaan itu menunjukkan bahawa sistem pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah bebas dan adil.

Malah, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sanggup mengkaji dengan melakukan penambahbaikan, termasuk akan memperkenalkan sistem biometrik bagi memastikan sistem pilihan raya di negara ini, berjalan dengan adil.

"Tetapi yang anehnya bila dah menang... sunyi sepi, tiada cerita pengundi hantu. Tiba-tiba bila rasa dah dekat, timbul balik. Ini jenis hantu, ada masa timbul, ada masa dia hilang," katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya mendengar nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang bimbang bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan dengan mengadakan perhimpunan haram itu.

"Saya harap, kita beringat dan sedar bahawa tanggungjawab kita menjaga masa depan negara... jaga masa depan anak-anak dan kelangsungan Malaysia, negara kita yang tercinta," katanya.

Najib berkata sejak merdeka, Malaysia telah membangun menjadi sebuah negara berjaya berasaskan kepada lima sendi atau prinsip iaitu keharmonian hubungan kaum, kestabilan politik, mengamalkan sistem pasaran terbuka, meletakkan perlembagaan dan undang-undang negara di tempat yang tertinggi serta memperkenalkan dasar-dasar yang pasti dilaksanakan.

Malah, Perdana Menteri berkata dalam tempoh enam bulan tahun ini, kerajaan berjaya melaksanakan agenda-agenda yang telah ditetapkan di bawah Program Transformasi Kerajaan(GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Kita juga sedang dan akan terus melakukan usaha-usaha untuk meringankan beban rakyat. Kita tidak mahu rakyat dibebankan dan dapat rasakan taraf dan kualiti hidup mereka dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/168830

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...