Wednesday, July 6, 2011

Perhimpunan: 44 kertas siasatan, 23 ditahan di Kedah

Jul 6, 11 4:25pm

Sebanyak 345 laporan dan 44 kertas siasatan dibuka, manakala seramai 23 individu ditahan sehingga kini, berhubung perhimpunan haram yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata ia merupakan jumlah terkini yang direkodkan membabitkan kes-kes yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan perhimpunan terbabit.

"Pada pagi ini, dua individu (pasangan suami isteri) telah dituduh di mahkamah, yang lain-lain sedang tunggu tindakan selanjutnya, mereka yang ditangkap sebelum ini dibebaskan selepas polis mengambil kenyataan, atas jaminan polis," katanya dalam sidang media di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan individu ditahan di bawah peruntukan Akta Pertubuhan, manakala beberapa insiden lain termasuk memiliki baju (berwarna kuning dengan tulisan mengenai perhimpunan itu), poster dan melakukan perbuatan khianat.

Katanya, polis juga menerima sembilan laporan mengenai kereta yang diconteng menggunakan cat di Jitra, Alor Setar dan Kulim yang mempunyai tulisan mengajak orang ramai menyertai perhimpunan terbabit.

"Bermula semalam, kawalan, rondaan dan sekatan jalan raya telah dijalankan sepanjang 24 jam dan sekiranya ada yang terbabit (perhimpunan haram) pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang mengikut peruntukan.

Beliau berkata setakat ini polis Kedah masih belum menerima sebarang permohonan untuk menganjurkan sebarang bentuk perhimpunan di negeri ini.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/169105

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...