Wednesday, July 6, 2011

PAS hantar wakil sertai BERSIH jumpa Agong

PAS hantar wakil sertai BERSIH jumpa Agong
Salhan K Ahmad
Jul 4, 11
3:37pm


PAS akan menghantar wakil dalam jawatankuasa pemandu BERSIH bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan tuntutannya untuk pilihan raya bersih dan adil.

Namun rancangannya untuk berhimpun pada 9 Julai akan diteruskan, kata timbalan presiden Mohamad Sabu (bawah, berbaju putih).

NONE"(Batalkan perhimpunan) itu tidak berbangkit sebab BERSIH tidak batalkan," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, PAS bagaimanapun akan tetap menyokong keputusan yang akan diambil oleh BERSIH berhubung perhimpunan berkenaan, katanya lagi ketika ditanya.

Katanya lagi, PAS akan mempersembahkan antara lainnya isu berhubung tindakan melampau yang dilakukan polis dalam usaha pasukan berkenaan untuk menghalang perhimpunan BERSIH.

Mohamad turut membacakan kenyataan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata, pertemuan dengan Seri Paduka juga bagi "menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini."

"Kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa," katanya.

Pengiktirafan pada BERSIH

Tambahnya, kerajaan perlu menyelidik sebab bantahan berkenaan dengan "terbuka dan penuh keikhlasan", selari dengan titah baginda supaya kerajaan "melaksana amanah dengan adil dan bijaksana."

NONEDalam kenyataan berkenaan, Abdul Hadi turut menjelaskan bahawa bantahan berkenaan dicetuskan ke atas kelemahan dalam pilihan raya "dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik."

Dalam pada itu, naib presidennya Datuk Mahfuz Omar berkata polis perlu menghentikan penangkapan terhadap individu kerana Yang Di-Pertuan Agong menyarankan supaya rundingan diadakan.

"BERSIH sedia berunding tetapi polis yang menutup pintu rundingan," katanya lagi dalam sidang media sama.

Tambahnya, Titah Yang di-Pertuan Agong itu juga merupakan satu pengiktirafan terhadap BERSIH kerana baginda "tidak kata apa-apa yang negatif terhadap BERSIH".

"Malah (baginda menyeru) kerajaan supaya bertindak secara adil. Ini satu pengiktirafan kepada BERSIH," katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah seorang lagi naib presiden, Salahuddin Ayub serta Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.


http://malaysiakini.com/news/168865

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...