Thursday, August 18, 2011

Anak bawa isu pinjaman RM6 bilion Felda ke SPRM

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna wang Felda.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, ia ekoran tiada sebarang penjelasan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, sehingga hari ini Ahmad belum menjawab persoalan mengenai tujuan Felda membuat pinjaman dengan jumlah yang besar itu.

Namun kata Mazlan, terdapat desas-desus mengatakan RM1.5 bilion daripada RM6 bilion itu digunakan untuk membeli kilang gula, Malayan Sugar Manufacturing Co Sdn Bhd (MSM) yang sebelum ini dimiliki oleh Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok.

"Saya pernah buat laporan polis berhubung perkara ini tapi sehingga sekarang tiada sebarang penjelasan daripada Datuk Ahmad Maslan mahupun Felda.

"Saya cuma terima surat daripada balai polis mengatakan kes ini harus dirujuk kepada SPRM tanpa mendapat apa-apa penjelsan daripada Ahmad Maslan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau akan menamakan beberapa individu dalam laporan kepada SPRM itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, Ketua Pengarah Felda Datuk Dzulkifli Abdul Wahab selain Ahmad sendiri.

Mazlan juga berkata, pihaknya turut bimbang pinjaman itu digunakan secara tidak berhemah dan akan memberi implikasi buruk kepada aset yang dimiliki peneroka.

Deretan saman terhadap Felda

Sementara itu, Mazlan berkata, reputasi Felda terjejas teruk apabila terpaksa berhadapan dengan siri saman daripada peneroka berhubung dakwaan penipuan dan pecah amanah.

Ini sekaligus membuktikan peneroka sudah sedar bahawa mereka tertidas di bawah pentadbiran Felda.

“Ketika ini Felda berdepan dengan siri saman di seluruh negara dan jumlah itu semakin meningkat sehingga peguam-peguam kita seolah-olah tidak menang tangan dengan keghairahan peneroka yang mahu memfailkan saman.

Felda antaranya berhadapan saman daripada peneroka di Negeri Sembilan,Johor, Pahang dan Kelantan malah peneroka di Felda Kemahang 3, Kelantan pada Ogos lalu menang saman dan menerima ganti rugi sejumlah RM11 juta daripada Felda.

Sehubungan itu kata Mazlan, Felda seharusnya memberikan ruang kepada peneroka untuk menyatakan masalah dan menuntut hak mereka.

"Saya berulang kali kata Felda kena ada perundingan di antara Felda dengan peneroka.

"Dulu kita mahu berdialog dengan Ahmad Maslan tapi sehingga sekarang belum tentukan tarikhnya," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4954-anak-bawa-isu-pinjaman-rm6-bilion-felda-ke-sprm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...