Seorang bekas anggota tentera mendakwa, beliau telah menanda ribuan kertas undi pos semasa bertugas sebagai kerani tadbir ketika pilihan raya ketujuh dijalankan.Kamarulzaman Ibrahim, 53, mendakwa beliau bersama beberapa lagi rakannya diarahkan supaya berbuat demikian oleh pegawai pemerintahnya.
Beliau mengaku berbuat demikian sepanjang tiga hari menjalankan tugas berkenaan di Kem Terendak, Melaka.
Katanya, beliau telah menanda kertas undi berkenaan “sehingga lenguh tangan” dan turut menandatangan setiap borang yang dikepilkan bersama kertas undi tersebut.
“Saya terima dua karung undi pos, satu dari Parlimen… saya pangkah banyak undi bukan sahaja dari Johor tapi dari seluruh negara.
“Saya tidak tahu berapa banyak saya pangkah, saya bukan pangkah satu jam atau dua jam tapi tiga hari saya pangkah (kertas undi),” katanya yang berkhidmat bersama Tentera Darat selama 10 tahun.
“Nak kata banyak itu saya tidak tahu banyak mana tapi tangan lenguhlah, pen tiga batang ada dalam kocek saya dan saya isu borang sampai terpaksa tanggal baju kerana panas sebab dulu mana ada kipas.
“Saya perlu isi banyak nama dan pangkah banyak borang, jadi pen nak kena banyak,” katanya.
Kamarulzaman yang bersara pada 1991 berkata, semasa memangkah kertas undi itu dia terpaksa menggunakan tiga jenis pen berlainan warna bagi mengelak dikesan.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini, Kamarulzaman berkata, beliau berbuat demikian kerana “sekadar menurut perintah.”
Selain Kamarulzaman, turut tampil membuat pendedahan hari ini ialah dua orang lagi anggota dan seorang pegawai tentera.
Sementara itu Mejar (B) Risman Mastor, 64, berkata, dia diarah untuk memangkah pembangkang pada pilihan raya umum 1978 sebagai tanda protes kepada kerajaan.
“Saya diarah memangkah pembangkang ketika itu, sebab ketika itu kami marah pasal gaji sebab ketika itu gaji kami sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan guru.
“Kami dianaktirikan, kami berjuang demi negara, kawan-kawan kami ada yang kudung kaki… kami berjuang demi mempertahankan negara tapi apa yang kami dapat?” katanya.
Seorang lagi bekas tentera Mohamed Nasir Ahmad, 50, berkata pada pilihan raya umum 1986 dia telah diarahkan ke lapangan terbang Sandakan untuk mengambil karung undi.
“Saya pada awalnya tidak tahu tapi apabila sampai semula ke kem, pegawai tadbir arahkan saya dan sahabat saya untuk membuka karung undi pos dan jumlah kertas undi kalau tidak silap saya sebanyak 900 lebih.
“Dan, saya diarah bahagi dua untuk memangkah kertas-kertas undi itu,” katanya.
Bagaimanapun seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mohd Kamil Omar, 49, berkata, dia tidak memangkah undi pos tapi melihat anggota lain melakukannya dan diberikan “habuan.”
“Apa yang saya nak cerita ini adalah perkara yang benar-benar berlaku pada pilihan raya umum 1999 di Butterworth yang mana saya diarahkan untuk mengambil karung undi pos di kem TUDM di Butterworth.
“Apabila saya balik ke kem saya lihat ramai anggota lain sedang memangkah undi pos, saya juga diberikan sekotak dengan habuan tapi saya tolak.
“Saya tidak mahu bersubahat, ini adalah satu pengkhianatan kepada negara,” katanya.
http://www.kl-today.com/2011/08/ramai-bekas-tentera-dedah-tipu-undi-pos/
No comments:
Post a Comment