ALOR SETAR, 17 Ogos: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang masih bercuti memulakan tugas secara tidak rasmi dengan mempengerusikan mesyuarat exco hari ini selepas baru semalam dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).
Azizan kini masih diletakkan di bawah pengawasan pihak perubatan di sini dan diberikan cuti sakit sehingga 29 Ogos nanti.
Namun katanya, beliau tetap akan datang ke pejabat bagi melakukan kerja-kerja ringan termasuk menghadiri beberapa majlis penting.
"Mereka nak tengok tekanan darah, gula dan jantung. Dah lebih dua minggu saya dirawat, keadaan saya baik cuma masih di bawah pengawasan. Saya sebenarnya dah tiga tahun tak bercuti.
"Bagaimanapun saya akan datang juga ke pejabat untuk melakukan kerja-kerja ringan dan menghadiri mana-mana majlis penting.
"Secara fizikal saya akan jarang hadir sebab telah dinasihatkan untuk berehat," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di Seri Mentaloon, dekat sini.
Menurut Azizan, doktor yang merawatnya memaklumkan bahawa pembedahan tidak perlu dilakukan kerana tiada saluran jantung tersumbat seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
"Tak ada saluran yang blocked (tersumbat), perjalanan darah elok dan doktor tak suruh buat rawatan susulan tetapi suruh berehat," katanya.
Azizan telah diminta oleh doktor yang merawatnya supaya berehat sehingga kesihatannya benar-benar pulih.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4963-azizan-mula-tugas-dalam-cuti
No comments:
Post a Comment