Thursday, August 18, 2011

Laporan 'Ops Akidah' JAIS di DUMC disebar di internet

Ogos 17, 11 2:26pm

Satu laporan yang dikatakan ditulis oleh seorang pegawai kanan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pemeriksaan di premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), telah disebarkan di internet, dengan beberapa blogger mendesak mengapa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih belum menyatakan pendirian berhubung kontroversi tersebut.

NONEDi bahagian akhir laporan bertarikh 4 Ogos itu, yang disebarkan melalui
beberapa blog, dan dipetik oleh akhbar harian milik Umno - Utusan Malaysia - bertulis ia disediakan oleh penolong pengarah perancangan dan strategi di bahagian penguatkuasaan JAIS.

Laporan itu juga menyebut ia bermaksud untuk "menjelaskan" apa yang berlaku apabila operasi oleh 13 anggota JAIS dan 20 anggota polis telah dijalankan pada 3 Ogos di Dream Centre di premis DUMC.

Ini berikutan kebocoran video operasi yang sama, beberapa hari yang lalu.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan dan sumber laporan tersebut.

Sambil mengulangi bahawa kehadiran mereka di majlis amal anjuran NGO Harapan Komuniti pada malam tersebut, bukan satu 'serbuan', laporan itu menjelaskan bahawa rundingan hampir sejam telah diadakan dengan pihak penganjur untuk membantu siasatan berhubung kehadiran orang Islam di majlis tersebut.

"Kami mengadakan perbincangan di luar dewan tersebut dan membiarkan program yang sedang berjalan itu diteruskan," kata laporan tersebut.

Menurutnya, mereka seterusnya meminta buku pendaftaran peserta program tersebut untuk memeriksa kehadiran orang Islam di majlis tersebut.

Selepas cubaan pihaknya untuk mendapatkan maklumat pendaftaran daripada penganjur, tidak mendapat kerjasama, katanya, mereka merampas beberapa dokumen iaitu tentatif program.

Unsur-unsur 'mencurigakan'

Memandangkan jemputan khas dibuat kepada beberapa orang Islam, laporan itu juga menyebut, majlis makan malam itu mengandungi unsur-unsur yang "mencurigakan" bahawa terdapat usaha untuk mengelirukan umat Islam di sebalik program makan malam muhibbah atas semangat '1Malaysia' itu.

NONETerdapat bunga Manggar - yang biasanya dilihat dalam perayaan orang Melayu - manakala beberapa penganjur bukan Islam memakai baju kebangsaan, kebaya dan baju kurung, dan dua buah lagu - "Alhumdulillah" dan "Allahuakbar" dinyanyikan di majlis tersebut.

Apabila masuk ke dalam dewan, kata laporan itu lagi, hadirin sedang mendengar seorang sedang berucap tentang dirinya yang pernah dibesarkan sebagai orang Islam.

Menurut laporan itu lagi, terdapat ucapan oleh seorang yang dalam proses menukar agamanya dari Islam ke Kristian.

"Salah seorang yang mendakwa dirinya penganjur utama telah ditanya secara lisan oleh Penguatkuasa JAIS kepadanya samada dia beragama Islam, dan dia menjawab "I Believe in God" dan enggan mengaku beragama Islam sedangkan berdasarkan kad pengenalannya jelas beliau seorang Islam."

Menurut laporan itu lagi, tiga orang peserta Islam cuba melarikan diri melalui pintu belakang secara senyap.

laporan itu juga menyenaraikan nama penuh dan kad pengenalan 12 orang Islam yang hadir di majlis makan malam itu.

Kesemua mereka kemudiannya diminta memberi kenyatan dan membantu siasatan pihak berkuasa dalam perkara itu.


http://malaysiakini.com/news/173296

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...