Thursday, August 18, 2011

Tun M sokong pembaharuan pilihanraya

Posted by admin on August 17th, 2011

Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong keputusan Putrajaya mahu melaksanakan pembaharuan pilihan raya dengan membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen, tetapi mengakui ia ekoran “kesan tempatan” ke atas pentadbiran Najib selepas perhimpunan 9 Julai.

Bekas perdana menteri itu hanya menggeleng kepala apabila ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil pendekatan itu bertujuan memperbaiki imej antarabangsa kerajaan kepimpinannya.

Bagaimanapun kata beliau, langkah Najib itu lebih bertujuan menangani persekitaran tidak senang hati di kalangan rakyat Malaysia ekoran perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu.

“Bukan disebabkan kesan antarabangsa… ia kesan tempatan,” kata Dr Mahathir selepas melancarkan majlis kutipan sumbangan bagi mangsa kebuluran Somalia di Yayasan Perdana Global Peace di sini.

Perdana Menteri paling lama di Malaysia itu berkata beliau amat menyokong pengumuman Najib tetapi berkata sistem pilihan raya di Malaysia kurang kepincangan berbanding negara-negara lain.

“Ya, ya. Saya sangat menyokong pembaharuan pilihan raya. Tetapi saya perlu menekankan bahawa bahawa ini bukan sesuatu yang berleluasa memandangkan anda dapat melihat di negara-negara tertentu di mana 99 peratus undi pergi kepada satu parti tertentu.

“Di Malaysia, dalam setiap pilihan raya, anda akan dapati pembangkang menang kerusi, malah menang beberapa negeri,” katanya.

Justeru kata beliau, kemungkinan ada kekurangan di sana sini tetapi pada umumnya pilihan raya di Malaysia adalah bersih.

“Tidak bersih secara mutlak, tetapi bersih,” kata Dr Mahathir.


http://www.kl-today.com/2011/08/tun-m-sokong-pembaharuan-pilihanraya/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...