Thursday, August 18, 2011

Jangan ada muslihat dari pemutihan pendatang

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Kerajaan BN diingatkan agar memastikan program pemutihan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini yang sedang dilaksanakan sekarang bebas dari sebarang sindiket yang boleh merosakkan negara.

Dalam masa yang sama, PAS turut mengingatkan kerajaan agar tidak mengambil kesempatan dari program yang diadakan itu bagi melaksanakan muslihat Umno BN seperti menjadikan pendatang-pendatang tanpa izin itu sebagai pengundi bagi pihak Umno BN dalam pilihanraya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, bagi PAS, program pembersihan Pati yang diadakan itu memberikan kebaikan tertentu kepada negara dan Pati-Pati terbabit.

Menurut beliau, oleh itu, ia tidak akan dipersoalkan oleh PAS sekiranya program tersebut benar-benar dilaksanakan berasaskan undang-undang dan bebas dari sebarang anasir tidak baik, terutama oleh kumpulan sindiket tertentu untuk kepentingan mereka.

"Kita harap program tersebut diadakan dengan baik dan jangan pula terdapat sindiket di dalamnya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan yang bertanyakan kemungkinan terdapat kaitan antara program pemutihan Pati yang sedang dilaksanakan sekarang dengan tindakan Umno BN menjadikan warganegara asing sebagai warganegara ini.

Sehingga kini ribuan pendatang asing telah dijadikan warganegara dan turut disenaraikan dalam daftar pemilih oleh kerajaan BN menerusi agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Tindakan tersebut ternyata bertentangan dengan undang-undang, satu pengkhianatan yang nyata terhadap negara dan jelas mengancam keselamatan negara.

Demi kepentingan negara, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah menyerahkan surat bagi mendesak kerajaan memanggil persidangan Parlimen khas untuk membincangkan perkara itu pada 8 Julai lalu di bangunan Parlimen.

Surat tersebut diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk diberikan respon segera dalam tempoh seminggu yang berakhir semalam.

Namun desakan tersebut tidak diberikan respon yang baik oleh Perdana Menteri, sebaliknya ditubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, tanpa memanggil persidangan Parlimen dan tanpa sebarang rundingan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian ketika menjawab soalan wartawan berhubung penubuhan jawatankuasa itu menjelaskan, penubuhan jawatankuasa itu sememangnya penuh dengan keraguan dan tanda tanya.

"Sungguhpun begitu, ini menunjukkan apa yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0 akhirnya turut diakui oleh Datuk Seri Najib," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan BN supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sebelum tuntutan Bersih 2.0 dilaksanakan oleh kerajaan bagi membolehkan pilihanraya di negara ini dilaksanakan dengan bersih dan adil.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4949-jangan-ada-muslihat-dari-pemutihan-pendatang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...