Thursday, August 18, 2011

'Rumah murah generasi Felda perlu jaminan k'jaan'

Abdul Rahim Sabri
Ogos 17, 11
4:39pm

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) bimbang dengan tawaran sebuah NGO yang akan membangunkan kediaman bagi peneroka generasi kedua serendah RM19,000.

NONEPresidennya, Mazlan Aliman berkata walaupun pihaknya mengalu-alukan skim rumah untuk generasi anak peneroka, tetapi sebaik-baiknya projek berkenaan dijalankan pihak berkuasa yang sewajarnya.

"Kebimbangan saya adalah jika atas nama pemaju swasta yang mereka ini, tidak ada sokongan daripada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, ia sangat terdedah kepada manipulasi pelbagai pihak yang akhirnya anak peneroka Felda menjadi mangsa.

"Saya percaya anak peneroka yang dijanjikan (skim) ini (akan diminta) memberi wang pendahuluan atas skim ini, (tetapi jika ia) akhirnya gagal, siapa yang akan bertanggungjawab?" soalnya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.

Menurut Mazlan, pihaknya sudah mendapat maklumat wujudnya orang tengah atau broker yang masuk ke kawasan Felda tertentu untuk menawarkan skim berkenaan kepada peneroka generasi kedua.

NONE"Sudah muncul broker-broker masuk untuk menawarkan harga (rumah) murah... Saya harap semua pihak yang mahu membuat perubahan di Felda, jangan ambil kesempatan atas kesusahan anak Felda," katanya.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata taklimat berhubung skim rumah tersebut telahpun berjalan.

Lebih murah

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang mengambil inisiatif memperkenalkan projek kediaman berkonsepkan taman perumahan yang lebih murah daripada projek perumahan biasa.

Dilaporkan sebanyak 160,000 unit rumah teres, separa berkembar, dan banglo berharga dari RM19,000 hingga RM73,000 akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian tanah rancangan Felda.

Setakat ini GWGF yang dipengerusikan oleh Tan Sri Rozali Ismail telah menyelesaikan urusan pemilikan tanah dengan kerajaan negeri di Jengka 1 dan 9 di Pahang yang projek dijangka bermula tidak lama lagi.

NONEDua lagi projek akan dilaksanakan di Felda Gugusan Sungai Dusun, Selangor dan Felda Gugusan Taib Andak di Johor. Bagaimanapun GWGF menghadapi masalah dalam urusan pemilikan tanah di Felda Gugusan Sungai Dusun kerana didakwa "tidak mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri".

Mazlan mendakwa semasa pentadbiran Tan Sri Muhammad Mohd Taib, bekas menteri besar Selangor itu telah meluluskan projek pembangunan perumahan untuk 145 orang kakitangan Felda dalam parlimen Hulu Selangor.

Dengan memberi contoh dan menunjukkan salinan bukti bagi menggambarkan kebimbangannya, Mazlan mendakwa mereka telah berpencen awal kerana "menyahut skim ini" kerana ditawarkan tapak rumah dan tanah seluas dua ekar dan perkara itu telah diluluskan dalam mesyuarat exco.

"Yang menjadi kehairanan saya, tanah yang diluluskan (sebanyak) 290 ekar, ke mana perginya, sebab ia telah diluluskan.

Status tanah

"Saya cabar pihak yang berkenaan ini, tolong isytihar status tanah ini yang terletak di Sungai Tengi Selatan," katanya.

Mazlan mendakwa berdasarkan pengakuan kakitangan itu, mereka tidak mendapat faedah langsung daripada projek berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan memuji tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang meluluskan sejumlah tanah seluas 50 ekar untuk projek perumahan bagi anak peneroka Felda.

NONEBahkan kerajaan negeri, katanya sedang mengenal pasti pemaju daripada anak syarikat kerajaan negeri untuk menjalankan projek itu yang majlis pecah tanahnya dijangka akan diadakan akhir tahun ini.

Mazlan - yang juga adalah ahli jawatankuasa Task Force yang ditubuhkan kerajaan negeri - berkata bagi projek perintis itu dicadangkan dibina Sungai Tengi di atas tanah seluas 12 ekar.

Kira-kira sekitar 100 buah rumah mampu milik akan dibina di atas tanah itu, tambahnya.

"Kalau negeri-negeri lain nak buat, ini mesti di bawah tanggungjawab kerajaan negeri yang didokong oleh kerajaan pusat, seperti Syarikat Perumahan Negara.

"Barulah orang kata, ada satu jaminan kepada anak-anak peneroka Felda. Kalau tidak... minta maaflah, saya sangat cemburulah dengan kenyataan dan janji seperti ini," katanya sambil ketawa sinis.


http://malaysiakini.com/news/173303

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...