Friday, August 19, 2011

Apapun tindakan Jais susahkan kerajaan

Subky Latif


ISU kehadiran petugas Jais di gereja ketika satu jamuan diadakan dapat diredakan apabila Jais menjelaskan betapa ia ke situ adalah untuk melakukan penyiasatan bukan melakukan serbuan seperti yang dilaporkan media.

Kerana Jais menerima aduan tentang adanya orang Islam hadir di situ ketika itu kerana dikatakan ia sebagai satu usaha memurtadkan orang Islam, maka Jais pergi bagi memastikan aduan itu.

Keterangan sebegitu boleh meredakan isu itu.

Apa pun kerajaan Negeri Selangor terperangkap sekali lagi dengan siri isu yang menyusah dan mengganggu kelicinan dan kelancaran pentadbirannya.

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan dari semasa ke semasa ia diuji dengan siri cabaran, dan ia dilihat berganda apabila Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Ketua Perhubungan UMNO Selangor.

Dari isu mengarak kepala lembu, memberi lembu korban kepada penduduk Bandar Tun Razak, mencuri pasir, pendakwaan Jais atas bekas Mufti Perlis hingga isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. Baru isu bekas Pengarah Jais jadi SUK baru itu reda kini datang pula isu Jais dikatakan menyerbu gereja.

Jais sememang aktif sejak dulu lagi. Pernah satu masa dulu semasa Mufti Selangor Almarhum, Dato Ishak Baharum dulu ia bertindak menyekat gadis Melayu menyertai peraduan ratu cantik. Mufti itu sendiri mengetuai tindakan menguat kuasakan peruntukan undang-undang negeri itu.

Mufti dan Jais mendapat sokongan rakyat. Ia dibantah oleh Dr. Mahathir yang jadi Perdana Menteri masa itu hingga Almarhum Sultan Selangor terpaksa menamatkan kontrak Mufti yang baru disambung.

Bagitulah kebatnya Jais. Dengan isu rebuan geraja ini kali kedua kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim merasas payah dengan tindakan Jais. Yang pertama, menahan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin berdakwah tanpa tauliah, dan keduanya ia dikatakan menyerbu gereja.

Kerajaan negeri menyatakan rasa susahnya atas kejadian itu dan mengambil sikap menutup mulut hingga Jais menyiap laporan tentang kejadian itu.

Apa pun ada ruang isu itu dapat diredakan bila Jais membuat penjelasan, ia tidak menyerbu tetapi mengirim pasukan bagi membuat penyiasatan.

Ada pun isu gereja berusaha memurtadkan umat Islam adalah isu global. Sejak zaman Peringgi menawan Melaka 500 tahun dulu dan Sepanyol menakluk Filipina adalah bagi memurtadkan orang Islam. Tidaklah ia dinamakan Kristian dan gereja jika ia menarik penganut agama lain menganut agamanya.

Orang Islam Tanah Melayu sebelum merdeka tidak berperang dengan penjajah Kristian Inggeris yang mengembangkan agama di kalangan penduduk Semenanjung, tetapi dengan pegangan Islam pimpinan guru-guru pondok hingga merdeka 100 peratus orang Melayu kekal beragama Islam.

Masa itu jangankan orang Melayu hendak masuk gereja, melintas gereja pun mereka paling ke lain.

Semasa Operasi Lallang dulu di zaman Perdana Menteri Mahathir ada orang Melayu ditahan ISA kerana jadi pengembang Kristian. Ia bukan sekadar masuk gereja tetapi mengembangkan ajaran gereja. Sekarang ada pula orang Islam hadir jamuan makan di gereja.

Semua ini adalah sindiran Allah terhadap kerajaan dan umat Islam Malaysia. 400 tahun Inggeris menjajah tiada orang Islam masuk gereja tetapi 50 tahun merdeka dengan Islam sebagai agama rasmi, orang Islam boleh hadir jamuan makan di gereja.

Jais buat sekadar yang ia upaya. Ia saja dengan cara itu tidak akan menyekat orang Melayu merasa tidak elok keluar masuk gereja atas apa tujuan jua. Tetapi kerajaan Khalid dan Anwar Ibrahim sudah disusahkannya.

Jalan meredakan terbuka bila Jais kata, ia tidak menyerbu tetapi membuat penyiasatan.

Persoalannya sekarang sejuah mana masyarakat umum khusus penyokong gereja dapat menerima kehadiran rombongan Jais itu untuk tujuan penyiasatan. Ia mesti bekerja kuat sedikit bagi meyakinkan orang ia bukan serbuan tetapi adalah satu tindakan siasatan.

Baik untuk Selangor dan penduduk Malaysia jika penjelasan Jais itu dapat diterima. Tetapi satu ajaran yang didapati dari kejadian itu, kehadiran orang Melayu di gereja atas apa tujuan jua adalah sensitif. Mungkin kebajikan gereja terhadap orang miskin dan memerlukan lebih senang dibuat di luar gereja.

Saya adalah lulusan sekolah Mathodist dan selalu ke kliniknya di luar kawasan gereja. Saya antara yang pernah dapat khidmat kebajikan gereja itu, tidak pula saya masuk gereja tetapi masuk PAS sesudah dewasa. Untuk melihat apa yang ada dalam gereja, saya bersama Tok Guru Haji Hadi Awang pernah masuk gereja terbesar di Colonge, Jerman semasa tiada orang di dalamnya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/4984-apapun-tindakan-jais-susahkan-kerajaan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...