Friday, August 19, 2011

PRK Bagan Pinang bukti undi pos diseleweng

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Pilihanraya kecil (PRK) Dun Bagan Pinang yang berlangsung pada 11 Oktober 2009 lalu merupakan sebahagian daripada bukti penyelewengan undi yang ketara dalam pilihanraya di negara ini, apabila 3 karung berisi kertas undi pos anggota tentera kesemuanya memihak kepada BN.

Kesemua 3 karung kertas undi itu datangnya dari Kementerian Pertahanan (Mindef) yang dipercayai melibatkan anggota tentera yang akan bersara atau dalam tempoh peralihan perkhidmatan.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menjelaskan, PRK Dun Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 melibatkan 4 karung kertas undi pos yang masing-masing bernombor 14, 15, 16 dan 17.

Menurut beliau, karung-karung kertas undi pos dari tentera bernombor 14, 15 dan 16 dan apabila dibuka didapati kesemuanya memberikan undi kepada BN.

Katanya, perkara itu berbeza dengan karung bernombor 17, apabila daripada kertas-kertas undi di dalam karung itu turut terdapat kertas undi yang memberikan undi kepada PAS.

"Ini jelas menunjukkan jika kertas-kertas undi dari tentera, tentunya akan memberikan undi kepada BN, manakala undi pos dari yang bukan tentera, adalah juga yang memberikan undi kepada PAS atau pembangkang walaupun tak banyak.

"Dengan itu, jelaslah bahawa tentera di negara ini tidak mengundi, tetapi yang memangkah kertas undi mereka itu adalah orang lain, iaitu rakan mereka yang juga turut berkhidmatan dalam Angkatan Tentera.

"Itulah sebabnya kesemua kertas undi pos yang diisi di dalam karung bernombor 14, 15 dan 16 yang didatangkan dari Mindef itu memberikan undi kepada BN sebab ia dipangkah oleh orang yang sama, malah tanpa diketahui oleh tuan punya kertas undi itu sendiri," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Kejadian tersebut, menurut beliau, berlaku disebabkan pengundian yang dilakukan oleh pihak tentera di tempat pembuangan undi mereka itu tidak dipantau oleh pemerhati-pemerhati politik termasuk wakil-wakil calon parti yang bertanding.

"Itu merupakan sebahagian daripada kepincangan dalam sistem pilihanraya di negara kita yang perlu diatasi oleh SPR dan turut terdapat dalam tuntutan Bersih 2.0," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia, selain itu, turut mempersoalkan tentang undi pos tentera dari Mindef yang terlibat dengan PRK Dun Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 lalu, apabila tentera yang terlibat berada dalam tempoh peralihan perkhidmatan.

"Sebenarnya tentera yang hampir tamat perkhidmatan atau yang berada dalam tempoh peralihan perkhidmatan tidak berada di Mindef. Mereka berada bertaburan di seluruh negara. Jadi bila mereka nak datang ke Mindef untuk mengundi?

"Dengan keadaan yang seperti itu, patutkah kertas undi mereka itu datangnya dari Mindef? Sedangkan mereka tak datang pun ke Mindef untuk membuang undi.

"Jadi ini jelas menunjukkan kertas-kertas undi mereka itu tetap juga dipangkah oleh orang lain bagi pihaknya. Patutkah tentera yang sudah berada dalam tempoh peralihan perkhidmatan juga masih tidak diberikan peluang mengundi sendiri?

"Pada hal mereka tidak berada di Mindef, tetapi sudah bersama dengan orang awam di tengah-tengah masyarakat di seluruh negeri atau negara," ujar beliau.

Beliau amat kesal apabila Kerajaan BN dan SPR tetap juga tidak mengubah keadaan itu walaupun telah dibantah keras oleh pelbagai pihak bagi membolehkan pilihanraya di tanah air dijalankan dengan bersih dan adil seperti yang diharapkan semua pihak.

PRK Bagan Pinang yang berlangsung pada 11 Oktober 2009 lalu menyaksikan pertandingan dua penjuru antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dari Umno yang mewakili BN dan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Pilihanraya yang penuh dakwaan penyelewengan itu berkesudahan dengan kemenangan bagi pihak BN dengan majoriti 5435 undi, apabila Mohd Isa memperolehi 8013 undi dan Zulkefly memperolehi 2578 undi.

Rentetan dengan kemenangannya itu, Mohd Isa kemudiannya turut dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baru oleh Perdana Menteri bagi menggantikan Pengerusi Felda sebelumnya, Tan Sri Mohd Yusof Noor.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4979-prk-bagan-pinang-bukti-undi-pos-diseleweng

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...