Friday, August 19, 2011

TPM: Lapor jika guru sebar agama selain Islam

Ogos 18, 11 2:24pm

Ibu bapa perlu melaporkan kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing jika terdapat guru atau guru tuisyen yang cuba menyebarkan agama lain kepada anak-anak yang beragama Islam, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

NONETimbalan Perdana Menteri berkata Jabatan Agama Islam di negeri-negeri mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu memastikan kesahihan perkara tersebut sebelum melaporkan kepada Jabatan Agama Islam, katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan & Ramah Mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa seorang guru tuisyen di Jalan Kuchai Lama di Kuala Lumpur, mengajar murid-muridnya yang kebanyakan mereka beragama Islam menyanyikan lagu memuji kebesaran Nabi Isa.

Dilaporkan murid-murid beragama Islam yang belajar di kelas tuisyen yang diberikan secara percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu telah diajar menyanyikan lagu 'Yes, I know Jesus loves me' dan 'Hari ini Ku Rasa Bahagia' yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib.

Selain itu, murid-murid itu juga dikatakan mampu bercerita kisah-kisah Nabi Isa termasuk kisah Nabi Isa disalib dan difahamkan, para murid tersebut diterapkan ajaran agama Kristian secara halus ketika belajar.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau dimaklumkan pusat tuisyen itu bukan diadakan di dalam kawasan sekolah di situ tetapi di luar sekolah.

Ibu bapa pelajar yang terlibat perlu menyiasat bagi memastikan keadaan sebenar dan Kementerian Pelajaran akan pantau perkara tersebut, katanya.

"Hal begini tak boleh dilakukan, kerana kita ada undang-undang tertentu (dan) enakmen tertentu," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop, Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/173393

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...