Friday, August 19, 2011

Tiga tahun hidup dengan cahaya lilin

Harakahdaily

AMPANG, 18 Ogos: Sasaran jejak Ramadan anjuran Editorial Harakah bersama Dewan Muslimat PAS Pusat kali ini tertumpu kepada golongan ibu tunggal dan warga emas yang terlantar sakit.

Di sebalik tirai kemegahan dan kegemilangan kota raya Kuala Lumpur, di Dun Lembah Jaya masih ramai lagi insan yang terpinggir dan amat memerlukan bantuan. Mereka memerlukan bantuan bukan sekadar sesuap nasi tetapi mahu mengubah nasib kehidupan anak-anak.

(Khasim menyampaikan sumbangan Harakah kepada suami Sofiah, warga emas yang lumpuh dan tidak mampu bercakap.)

Ibu tunggal, Roziah Livis, 30-an, yang tinggal di pangsapuri Taman Kosas terpaksa menggunakan lilin selama tiga tahun kerana tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik yang mencecah RM2,000.

Beliau mempunyai tiga anak terpaksa berhenti daripada kerja membantu menjual ais kerana kuku dan kakinya rosak. Suaminya telah melafazkan cerai talak satu selepas beliau melahirkan anak ketiga.

Fauziah Ramli, 30-an, baru melahirkan anak kelima juga memerlukan bantuan kerana suaminya berada dalam penjara. Meringankan bebanan, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz menghulurkan bantuan.

Kesengsaraan dan penderitaan warga emas, Sofiah Abd Ghani yang lumpuh, tidak boleh bercakap dan tidak kenal sesiapa, turut memilukan.

Beliau terbaring di atas katil dan hanya mampu menggerakkan tangan sebelah kanan. Selama lima tahun beliau terbaring dan hanya minum susu melalui hidung.

Jejak Ramadan akan terus menyalurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Tiga ibu tunggal, dua warga emas serta seorang pesakit kritikal turut mendapat sumbangan.

Mereka mendapat bantuan wang tunai serta barangan asas beras, tepung, gula dan teh.

Dana Ramadan yang digerakkan Unit Editorial Harakah dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Pusat mendapat sambutan menggalakkan. Sumbangan yang diperolehi telah diagih-agihkan kepada golongan kurang bernasib baik.

Mereka yang bersimpati dan menyokong misi mulia ini boleh salurkan sumbangan atas nama DMPP ke akaun Maybank 564025400533.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4982-tiga-tahun-hidup-dengan-cahaya-lilin-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...