Friday, August 19, 2011

Zunar terus dapat pengiktirafan antarabangsa

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Kartunis Zunar telah diberi penghargaan dengan dipilih sebagai salah seorang Artists-in-Residence 2011 dalam program “Art and Censorship” (Seni dan Penapisan) anjuran BilbaoArte/Fundacion BBK, iaitu sebuah yayasan kesenian di Bilbao, Sepanyol.

Menurutnya, BilbaoArte menganjurkan program tiga bulan bagi membantu artis-artis memperjuangkan dan mempertahankan hak berkarya mereka yang menghadapi penapiasan/tekanan pihak berkuasa.

Katanya, seramai 20 artis dari seluruh dunia yang merupakan pelukis, pengukir dan pencipta hasil seni yang lain dipilih untuk menyertai program ini bagi tahun ini.

“BilbaoArte BilbaoArte menyediakan geran khas kepada artis untuk mengusahakan projek khas dalam tempoh itu, dan saya memilih politik Malaysia sebagai subjek.

“Dengan menyertai program ini saya akan berada di Sepanyol dari awal Oktober hingga akhir Disember tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, beliau juga akan mengambil bahagian dalam VI Festival Against Censorship (Festival Melawan Penapisan ke V1) yang akan diadakan dari 7 hingga 15 November juga di Bilbao.

Festival itu, ujarnya menampilkan karya-karya seni penyanyi, pemuzik, penulis, pelukis, pengarah filem dari seluruh dunia yang ditapis/diharamkan.

Beliau akan mempamerkan 70 karya-karya kartun editorial yang pernah dihasilkan.

“Saya juga merasa bangga kerana diberi penghormatan untuk mencipta dan mereka bentuk poster untuk festival tersebut bagi tahun ini,” katanya yang mempunyai nama sebenar Zulkiflee Anawar Ulhaque.

Menurutnya lagi, pemilihan sebagai Artists-in-Residence oleh BilbaoArte-Producciones Serrano ini bukan sahaja merupakan satu pengiktirafan kepada karya-karya kartunnya, malah merupakan satu kejayaan bagi aktivis-aktivis yang berjuang menentang penapisan dan kekangan hak bersuara di Malaysia.

“Pengktirafan ini memberi kekuatan baru untuk saya menghasilkan karya-karya yang lebih tajam dan berkesan dalam usaha menentang korupsi, pembaziran wang rakyat, salah guna kuasa dan kezaliman yang diamalkan oleh pemerintah di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau menambah, ia juga merupakan satu isyarat kepada kerajaan Malaysia menghentikan segala bentuk ancaman, ugutan dan tindakan jenayah terhadap beliau dan artis-artis lain di Malaysia, kerana masyarakat seni di seluruh dunia sedang memerhatikan segala tindak tanduk mereka.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada peminat, penyokong, pembaca, teman-teman dan semua pihak sentiasa memberi sokongan sehingga membolehkan saya mencapai ke tahap ini.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4985-zunar-terus-dapat-pengiktirafan-antarabangsa

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...