Friday, August 19, 2011

Iklan seksi: Hormati kemuliaan Ramadhan

Nasrudin Hassan


Jangan Cemarinya dengan Mungkar.

1. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa pihak tertentu yang bertanggungjawab menerbit dan meluluskan iklan menjolok mata, seksi dan separa lucah MESTI menarik balik iklan mereka dan memohon maaf kepada ummat Islam segera mungkin.

2. Jangan kerana keghairahan mempromosi sesuatu produk menjelang Aidil Fitri, individu atau syarikat terbabit tergamak melampaui sentimen beragama dan kemuliaan bulan Ramadhan al Mubarak. Mengaut keuntungan dalam perniagaan adalah dibenarkan oleh syara' namun memperalatkan aurat wanita dan mengeksploitasinya untuk melariskan sesuatu produk adalah suatu yang bertentangan dengan agama dan mengundang kkemurkaan Allah swt.

3. Apa ertinya hasil keuntungan di bina atas perbuatan dan tindakan yang haram dan dimurkai oleh Alllah swt. Kelak harta itu akan menjadi bahan bakar yang membinasakan diri mereka sendiri. Sedang rezeki yang dicari secara halal itulah akan membawa berkat, kejayaan dan keuntungan yang diredhai oleh Allah swt.

4. Iklan seperti ini telah mem"bakar" perasaan ummat Islam dan tidak mustahil boleh mencetus kemarahan mereka. Sementelah pula ia diiklankan di bulan Ramadhan dengan model yang juga beragama Islam. Tindakan ini dilihat keterlaluan dan memcabar kesucian agama Islam itu sendiri.

5. Lebih malang, pihak berkuasa seperti tidak peka dengan apa yang berlaku. bagaimana iklan seperti ini boleh lulus siar dan lulus terbit ? pula kemana perginya Kementerian Pembangunan Wanita yang selama ini bercakap soal maruah wanita. Apakah iklan seperti ini yang jelas memperaga dan memperalatkan wanita tidak mencarik maruah ?

6. Selayaknya pihak berkuasa agama seperti JAKIM mesti peka dengan lambakan iklan menjolok mata sebegini yang dipasang pada billboard, banting dan banner pada laluan dan tempat awam. Selain budaya, hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan sebagainya, iklan sebegini juga boleh menjadi penyumbang kepada berlakunya perlecehan moral dan peribadi muslimah yang bermaruah.

7. Kita mahu negara kita sejahtera dan aman serta mendapat keampunan Allah swt. Bukan sahaja kita mahu negara kita indah dengan hijau dan segar dengan flora, tetapi juga kita mahu negara yang berkat dan diredhai oleh Allah swt dengan bebas dari unsur - unsur mungkar dan perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah swt.

8. Tidak hairanlah jika semakin hari semakin ramai anak gadis dan wanita kita tidak menutup aurat malah semakin seksi mereka berpakaian sekali pun di khalayak ramai kerana terpengaruh dan terikut - ikut rentak idola mereka yang di potretkan pada iklan, demikian juga lakonan - lakonan menerusi filem dan video klip yang turut menonjolkan cara berpakaian yang sangat menjolok mata.

9. Secara umumnya, semua pihak bertanggungjawab tanpa perlu kita mengharapkan atau menyalahkan hanya pihak - pihak tertentu. Tetapi selaku pihak berkuasa, kerajaan melalui kementerian, agensi atau jabatan terbabit mestilah mengambil tanggungjawab untuk membersihkan negara dari rambu - rambu dosa dan mungkar seperti ini.

10. Dewan pemuda PAS mendesak supaya semua pihak mengambil peranan, bermula dari pihak berkuasa negeri Pakatan Rakyat sebagai tauladan, kemudian pihak berkuasa kerajaan Persekutuan turut mengambil langkah berkesan untuk memerangi gejala negatif yang kian menular dan merosakkan aqal dan jiwa masyarakat dalam tempoh jangka panjang.

Rujuk Iklan yang dimaksudkan di sini :

http://www.facebook.com/notes/nasrudin-hassan/hormati-kemuliaan-ramadhan/237804989594098

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia



http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/4970-iklan-seksi-hormati-kemuliaan-ramadhan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...