There was an error in this gadget

Friday, August 19, 2011

JK Khas Parlimen sekadar penghias jendela

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya hanya penghias jendela dan tidak berminat untuk mewujudkan pilihan raya adil dan bersih, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada perkara-perkara meragukan dalam penubuhan jawatankuasa itu kerana ia memberikan alasan yang lebih kukuh kepada rakyat untuk menerus dan mengukuhkan lagi perjuangan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Perkara-perkara meragukan dalam penubuhan jawatankuasa itu semakin membuktikan bahawa hanya perjuangan rakyat seperti yang berlaku 9 Julai lalu yang boleh diharapkan untuk mewujudkan pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini," katanya sambil mengulangi supaya lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dilaksanakan.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Mahfuz juga mempertikaikan kewujudan jawatankuasa itu kerana apa yang sebelum ini dituntut oleh Bersih 2.0 ialah sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh untuk menambah baik proses pilihanraya secara menyeluruh sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

"Yang dituntut ialah siasatan adil dan bebas oleh suruhanjaya tersebut dan langkah-langkah pembaikan yang dicadangkan oleh suruhanjaya itu dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan, bukannya jawatankuasa yang meragukan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, antara perkara yang meragukan dalam jawatankuasa itu ialah apabila ia diketuai oleh seorang menteri.

"Menteri mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN), selain SPR, kerajaan BN juga adalah pihak yang dipertikaikan oleh rakyat yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

"Amat karut jika pihak yang dipersoal dan dipertikaikan menjadi pengerusi badan yang kononnya ditubuhka untuk memperbaiki amalan pilihan raya yang dipertikaikan dan dilihat tidak bersih," tegas beliau.

Mahfuz juga mempersoalkan keanggotaan jawatankuasa itu.

"Keanggotaan jawatankuasa itu sepatutnya diputuskan dalam sidang Parlimen.

"Mengapa tiba-tiba menteri pula yang menetapkan keanggotaan jawatankuasa itu?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Mahfuz juga menolak tawaran Kementerian Dalam Negeri yang mahu menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh jawatankuasa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu.

"Kita bukan mahu jawapan, kita mahu perubahan ke arah pilihan raya yang adil dan bersih," tegas beliau.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4991-jk-khas-parlimen-sekadar-penghias-jendela

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...