Friday, August 19, 2011

Papa Gomo: Input orang dalam MBPJ

Posted by admin on August 18th, 2011

Pemblog Papa Gomo menafikan dia memalsukan dokumen Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung dakwaan campur tangan pemimpin Pakatan Rakyat berkaitan operasi menyita premis Gereja Methodist Damansara Utama atas dakwaan ia tidak pernah diluluskan sebagai rumah ibadat.Sebaliknya Papa Gomo berkata, dia mendapat maklumat tentang operasi itu daripada “orang dalam” MBPJ yang turut menyerahkan dokumen yang didakwa palsu itu.

“Mana ada saya palsukan, orang dalam MBPJ hantar (dokumen) itu kepada saya… saya mana pandai nak palsukan dokumen.

“Tapi kalau betul saya salah mengapa MBPJ tidak jelaskan perkara sebenar iaitu dewan (di Dream Centre) telah disalah guna sebagai gereja,” katanya.

Papa Gomo, pemblog pro-Umno dalam entri di laman blognya mendakwa operasi menyita premis Gereja Methodist Damansara Utama dibatalkan setelah mendapat arahan pemimpin Pakatan Rakyat.

Dokumen dengan label “Sulit” bertajuk “Laporan Ops Sita Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya” itu dimuatkan di laman blog Papa Gomo sejak 13 Ogos lalu.

Dokumen berkenaan antara lainnya mendakwa, operasi untuk menyita gereja berkenaan telah dibatalkan selepas mendapat arahan daripada pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan tiga Exco Kerajaan Negeri Selagor Ronnie Liu, Elizabeth Wong dan Teresa Kok.

Ekoran pendedahan di blog Papa Gomo itu, ahli-ahli MBPJ termasuk Khalid telah membuat satu laporan polis terhadap Papa Gomo kelmarin.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ Mohd Fauzi Maarop dalam laporan polis itu berkata tiada sebarang mesyuarat diadakan untuk mengambil tindakan ke atas premis Gereja Methodist Damansara Utama.

Papa Gomo berkata dia sedia disoal siasat oleh polis dan sanggup mempertahankan kesahihan dokumen yang diterima daripada “orang dalam” MBPJ.

“Pada saya sebagai blogger yang membawa kebebasan bersuara adalah kewajipan saya untuk menyampaikan sesuatu berita kepada rakyat.

“Dokumen tersebut dihantar kepada saya dari orang dalam MBPJ, saya yakin kesahihan apa yang dilaporkan dalam dokumen tersebut,” katanya.

Beliau menambah, MBPJ harus mengambil tindakan ke atas premis Gereja Methodist Damansara Utama kerana beroperasi secara haram.

Selain itu “Papa Gomo” turut mencabar Nik Nazmi, Liu, Kok dan Wong untuk turut membuat laporan polis terhadapnya.

“Saya cabar Nik Nazmi, Ronie Liu, Teresa Kok dan Elizabeth Wong dan nama-nama lain yang disebut dalam dokumen itu untuk turut membuat laporan polis, janganlah MBPJ dan Khalid Samad sahaja yang buat.

“Terutamanya Teresa Kok dan Ronie Liu,” katanya.

Gereja Methodist Damansara Utama, menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.

Pemeriksaan itu mendapat bantahan banyak pihak dan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim meminta satu laporan daripada Jais.


http://www.kl-today.com/2011/08/papa-gomo-dapat-input-orang-dalam-mbpj/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...