SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menegaskan bahawa perspektifnya terhadap komuniti Islam di Singapura adalah berbeza berbanding apa yang dinyatakan oleh Menteri Mentor (MM) yang juga bapanya, Lee Kuan Yew, lapor laman Channelnewsasia.com kelmarin.
Dalam buku yang berjudul Hard Truths, To keep Singapore Going yang baru-baru ini djual di Singapura, Kuan Yew menyatakan komuniti Islam kelihatan terpisah dengan masyarakat lain.
"MM (Lee Kuan Yew) memberikan pandangan peribadinya di dalam buku. Ia berdasarkan kepada pengalamannya memerhatikan evolusi masyarakat Singapura selama lebih 50 tahun sejak tahun 1950-an, selain melihat masyarakat lain di seluruh dunia," kata Hsien Loong.
Beliau menyatakan bahawa masyarakat Islam telah melakukan sumbangan besar untuk mengukuhkan keharmonian dan integrasi sosial di Singapura.
Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai respons kepada reaksi komuniti Islam-Malayu terhadap komen-komen Kuan Yew mengenai mereka dalam buku terbarunya yang bertajuk Hard Truths, To keep Singapore Going.
Komen anak Kuan Yew itu dibuat sehari selepas menteri yang mengendalikan hal ehwal masyarakat Islam di Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim menegaskan Singapura merupakan sebuah negara sekular yang menghormati serta melindungi hak-hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka dan ia yang menjadi asas kepada identiti Singapura.
Menurut Hsien Loong, norma sosial dan agama masyarakat Islam hari ini telah berubah berbanding 50 tahun lalu.
"Jika anda bandingkan masyarakat sekarang dengan apa yang berlaku 50 tahun lalu dan melihat trend sepanjang tempoh tersebut, sememangnya norma-norma sosial dan agama sudah berubah. Cara berpakaian, kesedaran terhadap agama, budaya dan kepatuhan semuanya berubah secara progresif mengikut masa.
"Semua trend ini kita kenal pasti. Tetapi pada masa yang sama, kita sepatutnya berhati-hati supaya ia tidak terus berkembang yang menyebabkan perbezaan berkaitan makanan, pakaian, budaya dan sebagainya itu memisahkan atau mengurangkan ruang persamaan antara kita.
"Saya fikir Muslim Singapura sedar mengenainya dan telah melakukan usaha-usaha khusus untuk mencuba serta membina jambatan yang menghubungkan mereka dengan komuniti-komuniti lain," kata Hsien Loong.
Beliau menyedari komuniti Islam berusaha untuk berintegrasi dengan masyarakat lain di Singapura.
"Wanita Islam mungkin memakai tudung. Tetapi mereka turut mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti bersama komuniti lain.
Mereka berjabat tangan dan bergambar dengan saya, sama-sama berkumpul dan kita selesa antara satu sama lain. Orang Islam makan makanan halal tetapi di tempat kerja dan ketika mahu keluar untuk makan tengah hari, mereka selesa untuk keluar bersama," tambahnya.
"Pastinya, dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud komuniti Islam, sama ada minoriti atau majoriti, semuanya berdepan cabaran untuk berintegrasi ke dalam sebuah negara dan satu komuniti. Kesukaran dan masalah yang timbul di negara-negara lain serta risiko akan kita hadapi di Singapura jika kita tidak endahkan mereka.
"Namun, perspektif saya mengenai apa yang berlaku di Singapura berdasarkan kepada interaksi saya dengan komuniti Melayu, ketua masjid, agama dan pemimpin akar umbi adalah berbeza dengan MM (Kuan Yew)." kata Hsien Loong.
Perdana Menteri itu menegaskan ketika pilihan raya umum bakal berlangsung pada Februari 2012, beliau yakin komuniti Melayu Islam akan mengundi parti yang menjaga kepentingan mereka, sekali gus mengukuhkan keharmonian agama dan kaum di Singapura.
Ketika ditanya adakah beliau sudah mengenal pasti mana-mana calon Melayu untuk kempen pilihan raya akan datang, beliau menyatakan sudah mempunyai beberapa nama, tetapi tidak merancang untuk memperkenalkan mereka pada Ahad nanti. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm
No comments:
Post a Comment