Tuesday, February 1, 2011

Tidak salah bersedih

"TIDAK salah untuk bersedih apabila ditimpa sesuatu musibah, tetapi jangan sampai membantah dengan rasa sombong atau sedih melampau seolah-olah seseorang itu berasakan Tuhan tidak adil.

"Jika sifat itu menguasai diri dan bersikap seperti menolak hikmah atau musibah yang ditentukan Allah, mereka sebenarnya akan menderita dua kali," demikian pesanan penceramah terkenal, Datuk Siti Nurbahyah Mahmood.


Mengenai pengalaman kehilangan insan tersayang sehinggakan ada segelintir yang tidak mampu menerima musibah berkenaan, pengacara program televisyen ini turut menitipkan pesanan agar bersabar menerima qada dan qadar Ilahi.

Siti Nurbahyah tidak menafikan ada yang menderita apabila insan yang tersayang hilang, meninggal dunia, ditimpa kemalangan atau nyawanya diragut dengan kejam sehinggakan yang ditinggalkan itu berasa terlalu sedih dalam hidup seolah-olah nyawanya turut dibawa pergi.


Namun, sepatutnya, seseorang itu harus kembali kepada fitrah diri kita hanya dipinjamkan di dunia ini dan wajib reda dengan setiap ketentuan atau musibah.


Sebagai makhluk yang hanya dipinjamkan di bumi ini, manusia yang dibekalkan dengan akal harus bersyukur sama ada ditimpa bala atau kegembiraan kerana ia sudah ditentukan oleh Allah dalam perencanaan terhadap setiap makhluk-Nya.

Dia juga mengingatkan penerimaan seseorang apabila ditimpa dengan sesuatu perkara itu dengan memperbanyakkan bacaan al-Fatihah serta mengucapkan kalimah Alhamdulillah kerana ia memberi maksud, segala puji bagi-Mu ya Allah, pemilik alam ini.


"Rabbi yang bermaksud pemilik adalah merujuk kepada hak Allah untuk mengambil kita (nyawa) pada bila-bila masa dan menimpakan apa saja kerana semua yang ada ini adalah kepunyaan Yang Maha Esa.

"Justeru, jika kita faham konsep itu tentunya seseorang itu harus berkeyakinan bahawa musibah itu datang daripada-Nya. "Dalam al-Quran sendiri menyebut tiada satu pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan sudah tertulis dalam kitab sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah (surah Al-Hadid, ayat 22)," katanya.


Mengenai sesuatu perkara yang menimpa manusia dan diratapi dengan penuh penderitaan, menurutnya, suatu kehilangan adalah perkara yang tidak disukai manusia. Bahkan daripada sudut psikologi, pastinya seseorang itu akan berasa lemah. Ada yang nipis imannya merasakan mengapa Tuhan mengujinya begitu sekali sedangkan Allah sudah mengambil kira aspek kemampuan dan tahap kekuatan seseorang untuk menerima sesuatu bencana.


Antara musibah yang berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan serta bencana sudah ditentukan takdirnya oleh Allah SWT serta amat jelas gambarannya kepada manusia sebagaimana gambarannya menerusi al-Quran.


Bahkan katanya, dalam hadis Nabi sendiri turut menggariskan pelbagai jenis musibah dan antaranya adalah kafarah, bala dan ibtila'. Menurutnya, kafarah berlaku ke atas orang yang baik tetapi terlanjur dalam kejahatan kerana terlalai dan setiap musibah yang ditimpa itu bersifat menghapus dosa. Bala pula adalah satu bentuk ujian yang dikenakan terhadap mereka yang 'jahat' yang melakukan kejahatan. Sementara itu, ibtila' diklasifikasikan sebagai suatu perencanaan ke atas orang yang baik kerana melakukan kebaikan dan Allah menaikkan darjatnya dengan memberi musibah berkenaan dengan tujuan memberikan pahala.


Namun begitu, Siti Nurbahyah turut memberi pesanan jika seseorang itu berasa tidak tertanggung dengan ujian atau musibah yang diberikan kepadanya, mereka boleh berdoa agar terhindar daripada seksa dan diampunkan Allah kerana sifat semula jadi manusia yang mungkin tidak mampu menanggung segala ujian itu.


"Sebenarnya, setiap manusia diuji dan seseorang itu harus tabah menerima segala kemungkinan yang ditimpa kepadanya.


"Ini kerana tidak akan ditimpakan suatu perkara itu jika manusia itu sendiri tidak mampu menanggungnya sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 286. "Untuk itu, hendaklah berdoa selepas solat agar dikurangkan beban derita musibah dengan bermunajat kepada Yang Maha Esa.


"Antara doanya, Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau bersalah, ya Allah ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada orang yang sebelum kami, ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah Engkau memikul kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami," katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tidaksalahbersedih/Article


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...