KUALA LUMPUR, 1 Feb: Keputusan pilihan raya kecil Tenang menunjukkan beban Umno sebagai tukang usung MCA semakin bertambah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).
"MCA semakin lumpuh, seolah-olah sudah patah kaki dan tangannya. Umno kini mendapat kerja baru sebagai tukang usung MCA.
"Tak ada batu, beban digalas," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau dalam permainan bola, hanya Umno sahaja yang berhempas pulas bergerak ke serata padang.
"Umno terpaksa berlari sendirian sekeliling padang. Dialah penjaga gol, dialah pemain pertahanan, dialah pemain tengah dan dialah penyerang.
"MCA hanya jadi tukang bising suruh Umno buat itu ini dan tukang tengok di dalam padang sedangkan tukang tengok atau penonton sepatutnya berada di luar padang. Perkara tersebut dirungutkan oleh orang-orang Umno sendiri," katanya.
Malah bukan setakat itu sahaja, kata Mahfuz, MCA juga seolah-olah menjadi tukang sabotaj kempen Umno dengan perbuatan menghina Islam sehingga menimbulkan kemarahan anak kandung Umno, Perkasa.
Tidak cukup dengan itu, MCA juga seolah-olah mendorong pemimpin Umno menghina hukum Allah.
"Kerana terpengaruh dan begitu seronok dengan permainan MCA menghina hukum Allah, (Menteri Besar Johor, Datuk) Abdul Ghani Othman dengan begitu ghairah menghina hukum potong tangan sedangkan perkara itu merupakan ketetapan Allah dalam al-Quran.
"Ketika DAP sedang belajar berhenti mengecam hukum Islam walaupun tidak mahu dan tidak menyokongnya, Umno tetap meneruskan watak sebagai penghina hukum Islam.
"Kalaupun tak mahu buat atau tak sokong, Umno tak sepatutnya menjadi pak turut MCA menghina hukum Islam," katanya.
Pilihan raya kecil Tenang juga memperlihatkan kelemahan dan ketiadaan pengalaman jentera Umno Johor untuk "berperang" dengan pembangkang.
"Kalau tidak dibantu oleh jentera Umno dari luar, Umno Johor yang sudah biasa menang mudah dan mengejek-ejek penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri itu tak ubah seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.
Walaupun dibantu oleh jentera Umno luar yang lebih pengalaman "berperang" dengan pembangkang, katanya, Umno tetap terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi aura calon PAS, Normala Sudirman.
"Pelbagai fitnah yang mereka sasarkan terhadap Normala dan keluarganya membuktikan Umno merasa tergugat dengan keperibadian calon PAS itu," katanya.
Dengan apa yang dihadapi oleh Umno dalam pilihan raya kecil Tenang itu, Mahfuz menjangkakan zaman Umno menang mudah dan boleh bersenang lenang menghadapi pilihan raya di Johor akan semakin berakhir.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30644:umno-terpaksa-galas-mca-yang-lumpuh&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment