Tuesday, February 1, 2011

Sejuta orang akan berarak

KAHERAH: Penunjuk perasaan Mesir semalam menggesa diadakan mogok umum dan ‘perarakan sejuta orang’ di bandar raya ini esok.

Langkah itu bertujuan meningkatkan usaha untuk menggulingkan rejim Presiden Hosni Mubarak.


Seorang penganjur tunjuk perasaan, Eid Mohammed berkata, keputusan untuk mengadakan perarakan itu dibuat malam kelmarin.

“Kami juga mengambil keputusan untuk mengadakan mogok umum yang tarikh akhirnya tidak ditetapkan,” kata Eid.


Mogok itu mulanya dicadangkan oleh pekerja sebuah kilang di Suez Ahad lalu.


“Kami akan menyertai pekerja itu dan memulakan mogok umum sehingga tuntutan kami dipenuhi,” kata seorang lagi penganjur tunjuk perasaan, Mohammed Waked.

Di Medan Tahrir, Kaherah, ribuan penunjuk perasaan berhimpun sepanjang malam dalam usaha memastikan tunjuk perasaan antikerajaan terbesar dalam tempoh tiga dekad berterusan.


Sementara itu, kerajaan mengerahkan semula polis pencegah rusuhan mengawal jalan raya selepas dua hari tidak kelihatan setelah anggota tentera dikerah menangani pemberontakan itu.

Bagaimanapun, sepanjang semalam, tidak ramai anggota polis kelihatan.


Tunjuk perasaan yang diadakan sejak minggu lalu sehingga ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 125 orang terbunuh.


Bagaimanapun, Hosni masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berundur.


Dalam pada itu, tentera mengadakan sekatan jalan raya untuk memburu tahanan yang melarikan diri selepas pegawai penjara meninggalkan pos masing-masing.


Antara mereka yang melarikan diri ialah anggota Ikhwanul Muslimin dan pejuang Hamas Palestin.


Sementara itu, tokoh penentang Hosni, Mohamed El Baradei dalam ucapannya kepada penunjuk perasaan meminta mereka bersabar dengan berkata: “Kita di landasan yang betul. Perubahan akan tiba.” - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sejutaorangakanberarak/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...