Tuesday, February 1, 2011

Pengarah syarikat ditipu RM1.6j

KUANTAN – Seorang pengarah syarikat kerugian RM1.661 juta selepas terpedaya dengan penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang menawarkan bantuan bagi mendapatkan empat lokasi tanah di negeri ini.

Modus operandi suspek ialah memperkenalkan diri kepada mangsa lelaki berusia 67 tahun itu dengan menggunakan identiti sebenar Ketua Penolong Setiausaha (Pelaburan) UPEN Pahang, Jumshoiry Novdany Sulaiman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supritendan Zaini Jass berkata, suspek berjanji akan membantu mangsa mendapatkan empat lokasi tanah apabila dia menyerahkan kepadanya sejumlah wang sebagai pendahuluan.

“Suspek berjanji untuk membantu mangsa mendapatkan tanah seluas 20 hektar di Gebeng, Kuantan, 2,600 hektar di Rompin, 257.2 hektar di Raub dan 424.8 hektar lagi di Lipis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam.

Percaya dengan kata-kata suspek, kata Zaini, mangsa yang ingin membangunkan tanah itu bagi tujuan pertanian dan perlombongan telah menyerahkan wang berjumlah RM1.661 juta kepada suspek.

“Mangsa membayar RM450,500 dalam bentuk empat bank draf atas nama Tabung Amanah Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang manakala RM1.21 juta lagi dibayar sebanyak tujuh kali oleh mangsa dalam bentuk wang tunai dengan berjumpa suspek atau wakilnya,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa bertemu suspek untuk urusan itu ialah pada Jumaat lalu di tempat letak kereta Wisma Seri Pahang di sini.

“Pada pertemuan itu, suspek meminta lagi RM500,000. Bagaimanapun mangsa yang berasa curiga telah ke pejabat UPEN dan bertanya mengenai suspek sebelum mendapati dia tertipu apabila berjumpa dengan Ketua Penolong Setiausaha UPEN sebenar,” katanya.

Zaini berkata, susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada hari sama dan polis kini mencari tiga lelaki iaitu Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arshad, 32, Syed Saharuddin Syed Abd. Hamid, 42 dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemant, 24, bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu juga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Razif di IPD Kuantan menerusi talian 09-513 2222 sambungan 225.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...