KAHERAH: Beribu-ribu penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah apabila banyak penerbangan dibatalkan atau ditunda, semalam.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung, memaksa mereka terperangkap di sekitar lapangan terbang berkenaan.
Pada masa sama, beberapa negara Arab, termasuk Lubnan, Arab Saudi dan Jordan mula memindahkan warga masing-masing atas faktor keselamatan.
Pada hari keenam protes, pertambahan bilangan penerbangan dibatalkan serta satu demi satu pesawat kosong mendarat untuk membawa keluar warga asing, keadaan itu menjejaskan industri pelancongan yang amat penting di Mesir.
Syarikat penerbangan Mesir pula terpaksa membatalkan 15 penerbangan kerana gagal mendapatkan kru mencukupi untuk beroperasi.
Daripada 3,000 orang terkandas di lapangan terbang, sebahagian mereka adalah warga Mesir sendiri.
Sesetengahnya menyerbu kaunter tiket tanpa membuat tempahan terlebih dulu dengan harapan mendapat tempat keluar dari Mesir.
Apa yang penting, mereka hanya mahu segera kembali ke negara masing-masing tetapi pada masa sama, amat bimbang kerana tiada penerbangan untuk dinaiki.
Sementara itu, tidak dapat dipastikan berapa lama penumpang itu akan terkandas, malah sesetengah syarikat penerbangan asing membuat penangguhan tanpa had. - AP
No comments:
Post a Comment