Tuesday, February 1, 2011

Lari selepas dibebaskan


SAZALI berlari keluar selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memiliki kanabis di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Seorang pemandu lori sebuah syarikat kurier bergegas berlari seribu sebaik Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar kanabis, setahun lalu.

Tertuduh, Sazali Salleh, 38, yang memakai baju T berwarna kuning dan seluar sukan kelabu menekup muka dengan kedua-dua belah tangan sebaik hakim, Datuk Mohd. Azman Husin membacakan keputusan tersebut.

Dia yang berasal dari Sungai Petani sebelum itu bersalaman dengan anggota polis yang mengiringinya dan bergegas keluar dari bilik mahkamah tanpa sempat berjumpa dengan ahli keluarganya yang berada di galeri awam.

Sazali kemudian dilihat berlari ke arah kawasan rumah kedai dan sawah yang terletak kira-kira 100 meter dari kompleks mahkamah sebelum hilang daripada pandangan.

Tindakan itu sekali gus mengejutkan ramai yang berada di pekarangan mahkamah untuk mengikuti keputusan kes tersebut.

Sepanjang prosiding berlangsung sejak 23 Januari lalu, seramai lima orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Mohd. Azman dalam keputusannya menyatakan bahawa pertuduhan pendakwaan tidak lengkap dan terdapat kesilapan teknikal disebabkan kecuaian polis selain keterangan mereka selaku saksi pendakwaan juga menimbulkan keraguan.

Beliau juga hairan dengan kegagalan 15 anggota polis berpakaian preman untuk memberkas rakan Sazali yang dikenali sebagai Din selain tidak memperoleh butir- butir peribadi lelaki itu.

"Disebabkan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil bela diri, namun tertakluk kepada rayuan (pihak pendakwaan)," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Sazali bersama seorang lagi yang masih bebas dididakwa mengedar dadah kanabis seberat 903.5 gram pada pukul 11.30 pagi, 15 Februari 2009 di hadapan rumah Lot 92, Lorong 13, Taman Bakar Arang, Sungai Petani.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sazali diberkas bersama kanabis oleh sepasukan 15 anggota polis yang menahan lori dinaikinya bersama seorang rakan tetapi lelaki itu dapat melarikan diri ketika kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati Ibrahim berkata, beliau akan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.

Sazali diwakili oleh peguam, Rahmatulah Baharudeen.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...