Tuesday, February 1, 2011

Salahuddin: PAS terima keputusan buat masa ini

Regina Lee
Jan 30, 11
10:57pm

Walaupun PAS telah menggesa supaya pilihan raya kecil DUN Tenang hari ini digantung kerana banjir, tetapi naib presidennya, Salahuddin Ayub berkata mereka akan menerima keputusannya buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat terjejas teruk oleh banjir yang melanda beberapa pusat pengundian di Tenang hari ini.

Kataya, banjir telah menjejaskan peluang parti itu kerana ia melanda banyak kawasan di bandar itu seperti Ladang Labis Utara, Bandar Labis Tengah, Bandar Labis Timor.

Salahuddin menegaskan demikian ketika ditemui di Labis malam ini.

Bagaimanapun katanya, pakatan pembangkang dilihat berjaya menggagalkan usaha BN mencapai majoriti 5,000 undi yang disasarkan sebelum ini.

"Dengan keadaan yang begitu kritikal, dengan hujan lebat dan banjir yang berlaku di kawasan ini, apa jua yang berlaku, saya rasa kita telah gagalkan hasrat BN untuk mendapat majoriti 5,000," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata, PAS menerima kekalahan calonnya dengan hati terbuka dan menyifatkan keputusan tersebut sudah dijangka dari awal.

Katanya, parti itu akan membuat 'post mortem' bagi menganalisis keputusan tersebut dalam masa terdekat, selain memperbaiki sebarang kelemahan.

"Tahniah kepada calon BN, saya harap beliau dapat pikul tanggungjawab sebagai YB (Yang Berhormat)," katanya kepada Bernama malam ini.

BN mengekalkan kerusi DUN Tenang apabila calonnya Mohd Azahar Ibrahim menewaskan calon PAS Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 setelah memperoleh 6,699 undi.

Ditanya sama ada beliau kecewa dengan keputusan itu, Nasrudin berkata: "Ini bukan pertama kali parti menerima keputusan yang tidak memihak kepada kita.

"Sememangnya pilihan raya kecil sukar berpihak kepada Pakatan Rakyat dan kekalahan pilihan raya bukan bermaksud kita kalah dalam perjuangan."

Manakala naib presiden PKR Tian Chua pula berkata walaupun BN dapat mempertahankan kerusi DUN berkenaan, sokongan pengundi Cina terhadap PAS dilihat semakin meningkat.

"Walaupun keputusan ini menunjukkan BN memegang kekuatan di Johor, terutama di kawasan Felda, lebih 70 peratus pengundi Cina mengundi PAS, tetapi memandangkan keadaan banjir di kawasan itu, ramai pengundi Cina yang tidak dapat keluar mengundi," katanya.

http://malaysiakini.com/news/154937


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...