Tuesday, February 1, 2011

Tahanan politik bolos

KAHERAH: Kumpulan bersenjata menyerbu sekurang-kurangnya empat penjara di sekitar Mesir menjelang subuh semalam bagi membebaskan beratus-ratus tahanan, termasuk pemimpin parti politik pembangkang terbesar di negara itu.

Kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah pula memberitahu warganya supaya mempertimbangkan kemungkinan meninggalkan Mesir secepat mungkin.


Pegawai di situ juga mengesahkan memberi kebenaran kepada ahli keluarga dan kakitangan bukan kritikal di kedutaan itu kembali ke AS.

Keputusan itu dilihat sebagai gambaran jelas kebimbangan Washington terhadap kestabilan Mesir yang selama ini menjadi sekutu rapatnya.


Pegawai keselamatan Mesir berkata, sekumpulan lelaki bersenjata berbalas-balas tembakan dengan pengawal penjara beberapa jam di empat pusat tahanan.


Antara penjara tumpuan adalah yang terletak di barat laut Kaherah yang menempatkan ratusan tahanan didakwa militan Islam.

“Tahanan itu melarikan diri selepas berlaku kebakaran dan bertempur dengan pengawal,” katanya.


Antara tahanan yang bolos adalah 34 anggota Ikhwanul Muslimin - kumpulan pembangkang terbesar dan paling tersusun serta amat ditakuti kerajaan.

Peguam Ikhwanul Muslimin berkata, 34 tahanan itu dipenjara sebelum protes antikerajaan besar-besaran dilakukan pada Jumaat lalu.


“Tujuh daripada 34 tahanan itu adalah pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin,” katanya. - AP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tahananpolitikbolos/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...