Friday, July 8, 2011

Himpunan Bersih untuk nasihati pemerintah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Himpunan aman Bersih yang menurut cadangannya akan diadakan dengan kerjasama pihak keselamatan dan pihak berkuasa di Stadium Merdeka pada 9 Julai nanti merupakan salah satu usaha menyampaikan nasihat kepada pemerintah dan rakyat yang diperintah secara baik.

Hal ini bersandarkan hadis Nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat,” iaitu “(Nasihat) bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemerintah orang-orang Islam dan rakyat mereka,” demikian menurut Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr. Khairuddin Razali (gambar).

Menurut beliau lagi, dalam konteks Bersih, nasihat adalah bertujuan agar pilihan raya yang menjadi tempat rakyat memilih teraju pemerintahan dijalankan oleh pihak berkenaan secara lebih telus dan adil dalam semua sudut dan bagi semua pihak.

Katanya, ketelusan dan keadilan akan menjurus kepada terpilihnya mereka yang beramanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah pemerintahan negara.

“Kita dalam masa yang sama menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak negara dan payung rakyat jelata terhadap hasrat sebahagian rakyat mendapatkan hak mereka menyatakan pandangan dan nasihat dengan cara aman dan dibenarkan oleh perlembagaan negara,” ujarnya.

Menurutnya, keamanan dan kemakmuran negara serta perpaduan antara rakyat akan sentiasa utuh sekiranya kerjasama semua pihak sama ada pihak berkuasa yang memerintah dan rakyat yang diperintah dapat digembleng atas dasar kebajikan dan taqwa.

“Insya Allah ini sepertimana yang dianjurkan oleh al-Quran menerusi firman-Nya dalam surah al-Maa`idah, ayat 2 bermaksud “dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan,” ujar beliau lagi.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4224-himpunan-bersih-untuk-nasihati-pemerintah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...