Friday, July 8, 2011

Hishammuddin tak tahu beza pertubuhan, kempen

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Julai: “Saya berpendapat Bersih bukan sejenis pertubuhan tetapi adalah sejenis kempen,” kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat, Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai respons terhadap kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah menuduh Bersih adalah sebuah pertubuhan haram.

Atas tuduhan itumaka pihak polis telah menangkap lebih daripada 100 orang, melarang ceramah-ceramah, menggeledah rumah suspek, membuat sekatan jalan raya, melarang memakai baju Bersih dan lain-lain lagi.

Suhaizan berkata, dalam Akta Pertubuhan di bawah seksyen 2 akta itu menyatakan bahawa sesuatu pertubuhan ditakrif sebagai termasuk mana-mana kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan dengan tujuh (7) atau lebih orang tidak kira apa jua jenis atau tujuannya, sama ada sementara atau kekal.

Menurutnya, mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka kempen pula bermaksud segala usaha (kegiatan dan tindakan) yang dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan (rayuan dll) untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu (matlamat dll) Bersih adalah sejenis kempen untuk menjayakan suatu pilihanraya yang adil dan bersih.

“Kempen ini disingkatkan sebagai Bersih,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Johor dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, bagi menjayakan kempen itu, maka ditubuhkan jawatankuasa yang dianggotai oleh 63 NGO yang diketuai oleh Datuk Ambiga.

Katanya, jawatankuasa kempen ini bergerak keseluruh negara untuk mendapatkan sokongan bagi mengadakan Himpunan Bersih pada 9hb Julai 2011.

Tambahnya, kempen Bersih adalah seperti Kempen Tak Nak Rokok dan Kempen Kami Benci Dadah.

Jelasnya, kempen-kempen itu dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan dan NGO seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, Kementerian Luar Bandar, Pemadam, Pengasih dan lain-lain lagi.

Kempen itu, ujarnya tidak memerlukan pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang diwujudkan pada tahun 1966 untuk menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966.

Kempen ini adalah sejenis aktiviti agensi kerajaan dan NGO sahaja. Oleh itu Kempen Bersih adalah aktiviti 63 NGO terbabit.

“Saya berpendapat adalah wajar Menteri Dalam Negeri menarik balik tuduhan Bersihsebagai pertubuhan haram,” katanya.

Baginya, Menteri Dalam Negeri sebenarnya gagal membezakan antara pertubuhan dan kempen.

Oleh itu, ujarnya tuduhan-tuduhan di bawah seksyen 47 dan 50(3), Akta Pertubuhan 1966 yang melibatkan kesalahan menyebarkan bahan-bahan berkaitan dengan pertubuhan haram hendaklah digugurkan dengan segera.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4227-hishammuddin-tak-tahu-beza-pertubuhan-kempen

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...