Friday, July 8, 2011

Stadium Merdeka simbolik kebebasan rakyat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Dewan Ulamak PAS Pusat merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di atas kesudian menerima kehadiran pihak Bersih untuk mengadap Baginda.

Naib Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamad (gambar) berkata, ia melambangkan keprihatinan Tuanku terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat jelata di negara ini.

“Namun amat mendukacitakan apabila pihak kerajaan yang dipimpin oleh Umno BN nampaknya seolah-seolah tidak memahami titah Tuanku ini apabila masih berdolak dalih untuk menyediakan stadium untuk Himpunan Bersih yang insya Allah yang akan diadakan pada 9 Julai ini,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia masih segar mengingati apabila pihak kerajaan menjanjikan akan menyediakan stadium bagi tujuan tersebut.

Pihak Bersih setelah pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil keputusan untuk tidak mengadakan himpunan Bersih di jalanan kerana akur dan menghormati Agong selaku penaung kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Apabila kita mengikut titah Tuanku tapi tiba-tiba kerajaan pimpinan Umno BN dilihat berdolak dalih seolah-olah tidak mahu melaksanakan hasrat Tuanku supaya berlaku adil di antara rakyat dan kerajaan.

“Kita berharap pihak kerajaan mengurangkan ketegangan hubungan ini dengan membenarkan himpunan ini diadakan di Stadium Merdeka,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor.

Beliau berkata, Stadium Merdeka merupakan lokasi yang hampir dengan kediaman Tuanku yang sudah pasti amat kasih dan prihatin terhadap apa sahaja permasalahan yang dihadapi oleh rakyatnya.

Tambahnya, rakyat jelata mahu sangat hampir dengan Tuanku.

Menurutnya lagi, Stadium Merdeka merupakan simbolik kemerdekaan dan kebebasan rakyat Malaysia seperti mana yang dijamin oleh perlembagaan.

Justeru, ujarnya ia tidak memberikan makna yang sebenar sekiranya diadakan mana-mana negeri yang lain.

Katanya, kerajaan juga didesak agar berlaku adil bukan hanya menahan mereka yang memakai baju yang tertera perkataan Bersih dan sebaliknya membiarkan pihak yang lain melakukan tindakan provokasi sesuka hati seolah-olah undang-undang itu hanya terpakai untuk golongan tertentu sahaja.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4230-stadium-merdeka-simbolik-kebebasan-rakyat

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...