Friday, July 8, 2011

Muslimat PAS cabar Hisham buktikan Bersih haram

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuktikan dakwaannya mengenai Bersih 2.0 adalah haram.

Ketua penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, kerajaan sendiri tidak faham dan keliru dengan istilah 'pertubuhan haram' yang digelar kepada Bersih 2.0.

Sedangkan katanya, sudah berkali-kali ditegaskan bahawa Bersih 2.0 bukan satu pertubuhan tapi satu kempen untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) sudah terkeliru atau sengaja mengelirukan rakyat dengan memberikan nama pertubuhan haram kepada Bersih 2.0.

"Muslimat mencabar Hishammuddin dan Najib untuk membuktikan pertuduhan mereka bahawa Bersih 2.0 ini satu pertubuhan haram.

"Ini satu pengkhianatan maklumat kepada rakyat Malaysia dan dunia bila mengaitkan Bersih 2.0 dengan pertubuhan haram," kata beliau ketika ditemui selepas penyerahan memorandum menuntut enam aktivis Parti Sisialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat di Bukit Aman hari ini.

Menurut Aiman juga, kenyataan Hishammuddin yang mengharamkan segala perkara berkaitan Bersih 2.0 jelas menafikan hak rakyat yang cintakan keadilan.

Rakyat khususnya golongan muda tegasnya sangat kecewa dengan pendirian kerajaan itu.

"Sebenarnya rakyat terutamanya anak muda kecewa kenapa keadaan seperti ini berlaku dalam pada rakyat ingin menunut pilihan raya bersih dan adil

"Bila Hishammuddin kata segala yang berkaitan Bersih 2.0 adalah haram, itu betul-betul penafian kepada hak asasi manusia.

"Ia bertitik tolak daripada pemahaman yang silap mengenai Bersih 2.0. yang dianggap satu pertubuhan," katanya.

Muslimat konsisten

Sementara itu, Aiman berkata, muslimat masih konsisten dengan arahan awal iaitu mengerahkan 100 orang daripada setiap kawasan untuk menyertai himpunan Bersih 2.0 Sabtu ini.

Muslimat katanya sangat menghormati titah yang di-Pertuan Agong dan menghargai perkenan Tuanku Mizan untuk mereka berhimpun di stadium.

"Seruan kepada muslimat, kita konsisten menghantar 100 orang setiap kawasan sekurang-kurangnya dan konsisten pada 9 Julai, jam 2 petang di Kuala Lumpur

"Memandangkan nasihat daripada yang di-Pertuan Agong dan cadangan Najib untuk buat di stadium, kita berkompromi.

"Arahan untuk kita pergi ke negeri-negeri Pakatan yang lain itu sudah mengubah lokasi asal dan ini akan menimbulkan kesulitan," katanya.

Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di negeri-negeri Pakatan rakyat lain seperti Selangor dan Kelantan.

Najib sombong

Dalam pada itu, Aiman mempersoal sikap sombong dan angkuh Najib yang enggan bertemu dengan pihak Bersih sedangkan Yang di-Pertuan Agong sanggup mencemar duli bertemu dengan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

"Kita telah berkompromi dan meminta Najib supaya berbudi bahasa, bertimbang rasa dan jangan engkar kepada yang di-Pertuan Agong.

"Kita pun telah tunjukkan sifat hormat kepada titah Yang di-Pertuan Agong, apakah susah sangat Najib untuk menerima dan membuka peluang kepada kita untuk masuk ke stadium merdeka atau paling kurang pun berhimpun di dataran merdeka.

"Masa itu kalau polis ingin mengawal termasuk tentera dan kereta kebal kita alu-alukan sebab kita akan berhimpun secara aman," katanya.

Tindakan Najib itu tambahnya hanya akan mempamerkan sikap sebenar beliau yang tidak mempedulikan suara rakyat.

"Najib sepatutnya menjadi suri teladan kepada rakyat. Bukan bersikap tak ambil peduli begini. PAS bolah menunjukkan sikap terbuka, kenapa najib tak boleh?" soalnya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4236-muslimat-pas-cabar-hisham-buktikan-bersih-haram

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...