Friday, July 8, 2011

Kak Wati menangis, suami tergesa-gesa

Kak Wati menangis, suami tergesa-gesa

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah
am@hmetro.com.my

TERTUDUH...Pathmanabhan (dua dari kiri) bersama tiga lagi suspek dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. Gambar kecil, Ahmad Kamil Abdul Karim.
TERTUDUH...Pathmanabhan (dua dari kiri) bersama tiga lagi suspek dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. Gambar kecil, Ahmad Kamil Abdul Karim.
SAKSI...isteri Ahmad Kamil, Sabrina beri keterangan, semalam.
SAKSI...isteri Ahmad Kamil, Sabrina beri keterangan, semalam.

SHAH ALAM: Isteri peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, suaminya pernah memaklumkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya menangis kerana pemandunya bernama Kamal mengugut mahu menyebarkan ‘gambar tidak senonoh.’

Sabrina Adnan, 32, yang bertugas di Jabatan Pengajian Kolej Komuniti di Kementerian Pengajian Tinggi berkata, maklumat itu diberitahu Ahmad Kamil dalam perbualan terakhir mereka menerusi panggilan telefon pada kira-kira jam 7.50 malam, 30 Ogos tahun lalu.


“Dia cakap secara tergesa-gesa dan berkata dia tak balik selama tiga hari. Saya tanya kenapa, dia kata ada masalah... Kak Wati (Sosilawati) menangis. Saya tanya kenapa, dia kata Kamal ugut (Sosilawati) untuk sebarkan gambar tidak senonoh.

“Jadi, dia nak tolong Sosilawati. Dia mahu selesaikan dalam tempoh tiga hari. Saya tanya dia nak ke mana, tetapi dia tidak jawab,” kata Sabrina.


Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47, Ahmad Kamil, 32, pemandu, Kamaruddin Shamsudin, 44 atau nama panggilannya Kamal serta pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.


Sabrina yang juga saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, suaminya bercakap dengan nada tersekat-sekat, cepat dan tergesa-gesa serta tidak menjawab soalannya dalam perbualan telefon selama antara dua dan tiga minit itu.

Menurutnya, dia juga ada mendengar suara latar lelaki yang kedengaran garau ketika bercakap dengan Ahmad Kamil, tetapi tidak dapat memastikan bahasa yang dituturkan individu itu sebelum suaminya memutuskan panggilan itu.


Sabrina berkata, selepas panggilan terakhir itu, dia cuba menghubungi suaminya antara lima hingga enam kali, tetapi tidak berjaya dan panggilannya masuk ke dalam peti pesanan suara.

Katanya, dia juga menghubungi suaminya setiap hari sehingga membuat laporan di Balai Polis Brickfields di Kuala Lumpur, berhubung kehilangan Ahmad Kamil pada 3 September tahun lalu.


Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Manjeet Singh, Sabrina berkata dia tidak mendedahkan identiti Sosilawati dan hanya menyatakan ‘anak guam’ suaminya dalam laporan polis kerana tidak mahu dikatakan sebagai ‘pembawa mulut’.


Selain itu, katanya, dalam perbualan terakhir suaminya juga menyatakan akan menyelesaikan isu gambar itu dan oleh itu, dia beranggapan memaklumkan identiti Sosilawati sebagai anak guam suaminya sudah memadai.


Ketika disoal balas peguam, Amer Hamzah Arshad, saksi sama berkata, Ahmad Kamil ada menyebut ‘mereka’ akan memberi duit bagi mengelakkan gambar yang dikatakan tidak senonoh itu daripada tersebar.


Dia berkata, berdasarkan pemahaman daripada percakapan suaminya, dia beranggapan perkara itu membabitkan peras ugut.


Menurutnya, dia juga tidak mencuba untuk mencari Ahmad Kamil selepas perbualan telefon itu kerana berpegang kepada kata suaminya akan pulang tiga hari lagi selepas menyelesaikan masalah dihadapi Sosilawati itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini.


http://www.hmetro.com.my/articles/KakWatimenangis_suamitergesa-gesa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...