Friday, July 8, 2011

Saksi: 'Sarbaini mengaku terima rasuah'

Saksi: 'Sarbaini mengaku terima rasuah'
Hazlan Zakaria
Jul 7, 11
7:15pm


Ketua unit siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur memberitahu inkues kematian penolong pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamad bahawa Allahyarham mengaku menerima rasuah dari dua syarikat penghantaran.

Katanya, Sarbaini mengaku menerima dari RM30 hingga RM200 sebulan dari Ah Seng dari Mark Top dan Shipping Sdn Bhd.

NONEPenolong pesuruhjaya Mohd Fauzi Husin (kiri) - saksi ketujuh dalam inkues tersebut - berkata Sarbani juga mengakui menerima RM50 hingga RM100 sebulan dari kakitangan Schenker Logistics, Wan Zainal.

Menjawab soalan DPP Abbazafree Abdul Abbas, beliau menjelaskan bahawa pengakuan itu dibuat secara sukarela apabila Sarbaini dipanggil semula untuk menjelaskan mengenai kenyataan berhematnya selepas dia ditangkap pada 1 April sebagai suspek dalam satu kes rasuah.

Sarbaini adalah antara 62 pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada 1 April lepas bagi membantu siasatan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain. Beliau dibebaskan dengan jaminan pada 2 April.

Dia ditemui mati di atas gelanggang badminton di tingkat pertama bangunan SPRM yang terletak di Jalan Cochrane pada 6 April, sejurus selepas diiringi ke bilik saksi.

Inkues di hadapan koroner Aizatul Akmal Maharani, yang masuk hari keempat, bertujuan untuk menyiasat kematian, Sarbaini, yang dipercayai akibat jatuh dari tingkap pantri di tingkat tiga.

Mohd Fauzi memberitahu inkues tersebut bagaimana Sarbani datang ke pejabat SPRM pada 6 April untuk mengubah kenyataannya dan menarik balik pengakuan awalnya.

Beliau bagaimanapun menafikan kerana itu beliau atau pegawainya berniat tidak baik terhadap si mati, kerana menurutnya, ia merupakan perkara biasa dalam tugas mereka ketika berdepan dengan tingkahlaku suspek yang tidak diduga.

Mohd Fauzi juga memberitahu inkues itu, dalam soal siasat ke atas suspek, pegawai SPRM dilatih menggunakan teknik psikologi, menggunakan "sentimen dan emosi" untuk mendapatkan kenyataan dan pengakuan.

Kakitangan bawahannya, kata Mohd Fauzi, telah diarahkan untuk menjaga maruah orang disoal siasat dan diarah supaya tidak
menggunakan kaedah intimidasi.

Namun, Mohd Fauzi tidak menafikan kemungkinan sesetengah pegawai mungkin menggunakan cara yang kurang mesra untuk mendapatkan
maklumat ketika berada di bawah tekanan, kurang tidur dan jadual operasi yang sibuk, seperti Ops 3B di seluruh negara. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohd Fauzi memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa Sarbaini mengaku menerima rasuah daripada dua ejen penghantaran ketika rakaman percakapan kedua dilakukan.

Mohd Fauzi Husin, 46, yang juga saksi ke-8 prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini berkata pengakuan itu dibuat ketika Penolong Penguasa SPRM, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad, merakam percakapan itu pada 4 April, dua hari sebelum kematian Allahyarham.

"Dalam rakaman tersebut, Allahyarham, yang juga penolong pengarah Kastam Selangor telah mengaku menerima wang rasuah daripada Ah Seng dari Syarikat Top Mark Shipping antara RM30 hingga RM200 sebulan dan daripada Zainal dari Syarikat Schenker Logistik Sdn Bhd antara RM50 hingga RM100 sebulan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Mohd Fauzi, bagaimanapun berkata beliau dimaklumkan oleh Sheikh Niza bahawa Allahyarham kemudian datang semula ke pejabat itu pada 6 April untuk menukar pengakuannya.

"Pada pukul 8.40 pagi, ketika saya mengendalikan mesyuarat di tingkat tiga, bangunan itu, saya didatangi Sheikh Niza yang memaklumkan bahawa Allahyarham telah datang ke pejabat itu untuk menemuinya dan memberitahu beliau ingin menukar percakapan yang dibuat sebelumnya," katanya.

Ketika disoal Mohamad Abazafree mengapa Allahyarham ingin berjumpa dengan Sheikh Niza sedangkan pegawai penyiasat kes adalah Abdul Ghani Ali, Mohamad Fauzi berkata: "Sheikh Niza memaklumkan kepada saya mungkin kerana beliau yang merakam percakapan Allahyarham pada 4 April, jadi dia (Ahmad Sarbaini) ingin berjumpa dengannya".

"Sheikh Niza memaklumkan kepada saya, Sarbaini datang untuk bertemu dengannya sedangkan tiada sebarang temu janji dibuat untuk mereka bertemu.

"Allahyarham memberitahu kepada Sheikh Niza, beliau ingin menukar percakapan daripada mengaku terima wang kepada tidak mengaku terima wang daripada dua ejen berkenaan," katanya.

Mohamad Fauzi berkata beliau terkejut kerana sebelum itu, Allahyarham mengaku menerima wang tetapi selepas selang sehari dia berubah fikiran dan beliau terus mengarahkan pegawai penyiasat, Abdul Ghani Ali bertanyakan kepada Sarbaini kenapa beliau berbuat demikian.

"Mungkinkah Allahyarham kena ugut atau dipujuk rayu sehinggakan beliau tiba-tiba nak ubah percakapan dan saya takut nanti dia (Ahmad Sarbaini) akan berpakat dengan dua wakil syarikat berkenaan kerana pihak kami (SPRM) tidak pernah memanggil kedua-dua wakil dari syarikat TopMark dan Schenker itu untuk memberi keterangan.

"Kami juga belum membuat apa-apa tindakan kerana kedua-dua nama itu tiada dalam senarai SPRM tetapi muncul dalam keterangan Allahyarham sendiri," katanya.

Mohd Fauzi berkata beliau kemudiannya mengarahkan Abdul Ghani dan tiga pegawai SPRM mengesan dua wakil dari syarikat itu untuk meneruskan siasatan dan selepas itu kira-kira pukul 9.40 pagi, Abdul Ghani memaklumkan kepadanya seorang daripada ejen berkenaan iaitu Zainal daripada syarikat Schenker dapat dihubungi dan akan tiba ke pejabat SPRM itu dalam masa dua jam.

Katanya Allahyarham perlu menunggu sehingga Zainal tiba ke pejabat itu kerana sekiranya Allahyarham dilepaskan pulang, kemungkinan mereka akan berjumpa di pertengahan jalan dan kemudiannya akan berpakat dan ini akan menyulitkan siasatan.

Mohd Fauzi berkata Allahyarham yang berada di sofa tingkat tiga bangunan itu dibawa oleh Penolong Penguasa Kamal Awang Besar ke bilik saksi untuk memastikan Ahmad Sarbaini tidak ditinggalkan bersendirian.

"Saya nampak Kamal membawa Allahyarham masuk ke bilik saksi dan lebih kurang 10 minit, seorang pegawai wanita mengetuk pintu dengan kuat dan dia memberitahu saya dia nampak Allahyarham jatuh ke tingkat satu masa masuk ke dalam bilik pantri dan apabila saya jenguk dari tingkap berkenaan saya nampak Allahyarham mati tertiarap dengan darah berlumuran di kepala.

Terdahulu, Mohd Fauzi memberitahu prosiding, pada 28 Mac 2011, beliau diarahkan untuk mengetuai satu operasi yang dikenali sebagai "Ops 3B" yang melibatkan unit siasatan SPRM, Wilayah Persekutuan dan SRPM, Putrajaya.

Katanya, operasi itu dijalankan bagi mengesan suspek iaitu pegawai-pegawai Kastam yang disyaki menerima rasuah daripada ejen penghantaran di sekitar pelabuhan terutama Pelabuhan Klang dan hasil semakan dan siasatan serta temubual ejen berkenaan (ejen penghantaran), telah mengenal pasti lima suspek termasuk Ahmad Sarbaini.

"Pada 1 April lepas, beberapa pegawai SPRM yang membuat pembongkaran di pejabat dan di rumah Sarbaini telah menyita sejumlah dokumen dan buku akaun milik Allahyarham dan keluarga dan juga Allahyarham dibawa ke pejabat SPRM untuk siasatan lanjut," katanya.

Saksi itu berkata Sarbaini kemudiannya dibawa ke lokap di Bukit Jalil dan keesokannya iaitu pada 2 April, beliau dibawa ke pejabat SPRM semula untuk dirakam percakapan.

"Hasil rakaman percakapan yang dibuat oleh Penolong Penguasa Mohd Rosli Mohd Saupi pada 2 April, Allahyarham mengaku tidak menerima duit daripada ejen penghantaran dan mengaku ada tiga buah rumah dan selepas itu Sarbaini dibebaskan dengan jaminan SPRM dan pada 4 April, Allahyarham dipanggil untuk dirakam percakapan oleh Sheikh Niza berhubung pemilikan harta dan pada ketika itu Allahyarham mengaku menerima rasuah," katanya.

Sementara itu, Kamal, 31, yang juga saksi ke-9 inkues itu memberitahu prosiding, beliau membawa Allahyarham ke bilik saksi dan pada ketika itu Allahyarham dilihat membawa fail berwarna hijau.

"Keadaannya nampak seperti biasa dan tidak mencurigakan dan saya kemudiannya terfikir siapa yang akan menjaga Allahyarham sekiranya saya keluar untuk operasi, selepas itu saya meminta Allahyarham menunggu sekejap di bilik berkenaan kerana saya ingin berjumpa dengan Abdul Ghani.

"Sebaik kembali ke bilik itu, saya dapati Allahyarham tiada dan saya mencarinya di semua bilik yang terdapat di tingkat tiga itu termasuk tandas tetapi tidak menjumpainya, saya memberitahu Abdul Ghani dan Penolong Penguasa Henrita Serai Anak Andrew Lenggie dan kami bersama-sama mencarinya," katanya.

Kamal berkata semasa mereka lalu di hadapan pantri di tingkat berkenaan, Henrita masuk ke dalam pantri itu dalam dalam dua saat beliau keluar.

"Pok, sudah di bawah", dua kali Henrita mengulangi perkataan itu dan apabila saya jenguk ke tingkap, nampak sekujur tubuh di bawah dan saya cam itu adalah Ahmad Sarbaini berdasarkan baju putih dan seluar hitam yang dipakainya," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Prosiding bersambung esok.


http://malaysiakini.com/news/169258

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...