Friday, January 30, 2009

Dua Minggu Berlalu, Wan Farid Bagai Jatuh Ditimpa Tangga



Written by Editor

Thursday, 29 January 2009 08:36


Kuala Terengganu – Selepas dua minggu UMNO dan Barisan Nasional kalah dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, jentera UMNO Terengganu masih terus menyalahkan dan memburuk-burukkan bekas calonnya, Dato’ Wan Ahmad Farid.

Dalam satu laporan bedah siasat yang bertajuk ‘Laporan Jawatankuasa Pemantau’ UMNO Perhubungan Terengganu, meletakkan faktor calon sebagai faktor kedua mengapa UMNO kalah dalam pilihanraya tersebut.

Laporan tersebut mendedahkan, walaupun sepatutnya yang bertanding adalah parti dan bukannya calon, tetapi setiap kali pengumuman calon dibuat, pemimpin dan ahli UMNO sendiri terjebak mensensasikan isu calon sehingga memberi kelebihan kepada lawan.

Bekas calon UMNO/BN bagai jatuh ditimpan tangga, setelah mengalami kekalahan pada 17 Januari lalu, peribadinya masih menjadi ungkitan dan bangkitan dikalangan ahli-ahli UMNO.

“Calon yang didakwa sebagai ego, elit dan bangsawan seolah-olah diakui oleh Jentera UMNO sendiri dan pemimpin UMNO tempatan samada di peringkat cawangan sehingga ke peringkat tinggi,

“di dalam suatu ceramah Parti Keadilan Rakyat, penceramah menyatakan bahawa calon BN bukan sahaja ditolak oleh PAS malah oleh orang BN /UMNO sendiri,”tulis laporan tersebut yang dipengerusikan oleh veteran UMNO Terengganu, Dato’ Hj Awang Jabar.

Dalam satu lagi laporan post-mortem yang disalinkan kepada Buletinonline menyatakan pengumuman calon UMNO/BN yang dibuat awal telah memberi kesan yang kurang baik kepada UMNO/BN.

Laporan tersebut menyebut, dalam tempoh 16 hari sebelum hari penamaan sebab dalam tempoh itu orang ramai menjadikan calun sebagai bahan perbincangan menyebabkan berbagai2 kelemahan calun dibongkar.

Antara lainnya, Wan Farid dibelasah dengan penyenaraian kelemahan-kelemahan sebagai calon seperti dibawah;

1. Calon adalah seorang pemimpin yang tidak memiliki pengalaman mengendalikan pilihanraya, dimana bilamasa beliau tidak bertanding dalam PRU12 beliau tidak main peranan menerajui pilihanraya.

2. Calon telah dilemparkan dengan label “sombong” dimana satu tuduhan yang ada kena mengena dengan ’character’ beliau dan susah untuk di tepis oleh jentera parti melainkan beliau berubah.

3. Calon bergerak bersendirian tanpa mengikuti program yang diatur cawangan dimana lawatan beliau tidak banyak menarik undi.

4. Calon “over expose” kepada liputan media terutama media eletronik dan apa jua ’statement’ yang dikeluarkan menampakkan kelemahan beliau kepada orang tempatan.

5. Calon juga telah melantik wakil calon yang tidak memiliki ‘character’ yang boleh membantu calun. Kehadiran wakil calon tidak dirasai oleh jentera parti.

6. Calon tidak berupaya membaiki hubungan dengan keluarga Allahyarham Dato Razali Ismail, ini menyebabkan cerita ini tersebar dan membuat pengundi kalangan guru yang peminat Allahyarham tidak memihak kepada BN

7. Calon yang mengadakan mesyuarat lewat malam dengan jawatankuasa khas beliau dirumahnya tiap-tiap malam, menjadikan Badan Perhubungan sasaran tuduhan kononya Perhubungan sabotaj dgn tidak menghantar peruntukan.

8. Calon juga di sebar dengan maklumat yang beliau akan diangkat menjadi Menteri penuh selepas kemenangan dan ini menyebabkan musuh politik beliau kurang semangat bekerja.

9. Calon tidak jadikan rumah kediaman beliau sebagai ‘centre’ tempat himpunan penyokong beliau.

10. Calon telah melantik Timbalan Ketua Bahagian sebagai Pengarah pilihanraya dan ini tidak membantu beliau sebab Timbalan hanya ikut Menteri Pelajaran dan Naib Ketua Pemuda Malaysia dan meninggalkan ‘command centre”

Fitnah khalwat: My Kmu.net Akan Disaman RM40 Juta


Pada hari yang dikata saya ditangkap khalwat, saya berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor kerana menghadiri forum Perdana Keluarga Bahagia bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmood - Dr Halimah





Dakwaan palsu itu disebarkan dalam laman web My Kmu.net oleh Jamilisa yang menggunakan nama 'Brigade Commander Selangor' dengan tajuk 'Kecoh, Adun Selat Klang kena tangkap'.




Posted by: pinkturtle2 Januari 29, 2009


Fitnah khalwat: Dr Halimah sedia saman My Kmu.net RM40 juta




Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali hari ini menepis dakwaan fitnah dalam forum sebuah laman web, kononnya beliau ditangkap berkhalwat di salah sebuah hotel di Pelabuhan Klang.

Fitnah terhadap beliau turut disangkal oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menegaskan tiada serbuan dilakukan pada malam tersebut sebagaimana yang dilaporkan dalam laman web itu.

Dakwaan palsu itu disebarkan dalam laman web My Kmu.net oleh Jamilisa yang menggunakan nama ‘Brigade Commander Selangor’ dengan tajuk ‘Kecoh, Adun Selat Klang kena tangkap’.

Jamilisa dalam ruangan forum pada 25 Januari melaporkan mendapat maklumat melalui rakannya dari Kampung Idaman yang megatakan Adun Selat Klang (Dr Halimah) ditangkap basah di sebuah hotel di Pelabuhan Klang.

Berikutan perkembangan itu, Dr Halimah telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, petang 27 Januari lalu.

“Pada hari yang dikata saya ditangkap khalwat, saya berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor kerana menghadiri forum Perdana Keluarga Bahagia bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmood,” jelasnya.

Sebelum pergi ke forum Perdana beliau menghadiri satu mesyuarat bersama Yayasan Amal di Shah Alam.

Beliau mendapat tahu fitnah tersebut tersebar dalam laman web My Kmu.net setelah diberitahu oleh suaminya pada 26 Januari iaitu ketika pulang daripada forum Perdana Keluarga Bahagia.

Sehubungan itu tambah beliau, dengan keizinan Menteri Besar Selangor, beliau akan mengambil tindakan saman terhadap pemilik laman web itu sebanyak RM40 juta.

“Saya mendesak pimpinan Umno sam ada di Selangor atau Pusat menyiasat perkara itu kerana saya yakin dan percaya mereka tahu siapa di belakang laman web itu,” tegasnya.

Menurut beliau, di bawah laman web itu ada tertera slogan ‘Demi Islam’ dan dengan perkataan ‘Demi Islam’ juga Umno perlu siasat perkara tersebut.

Tegas beliau, Umno yang mengatakan mereka merupakan sebuah parti Islam sila teliti surah An-Nur ayat 4 di mana Allah melarang menuduh wanita yang baik berzina.

Ayat itu bermaksud; “Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik berbuat zina dan tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah mereka yang menuduh itu dengan 80 kali deraan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik.

http://www.harakahdaily.net

http://pinkturtle2.wordpress.com/2009/01/29/14786/

Dr Mariah desak Mykmu.net mohon maaf secara terbuka


Saidah Hairan Foto Nasir Sudin
Fri Jan 30, 09 12:49:28 pm MYT



KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood mengutuk keras sikap dan perbuatan penulis Jamilisa yang menyebarkan fitnah dalam laman web Mykmu.net terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali yang kononnya ditangkap berkhalwat.

Beliau menegaskan perbuatan Jamilisa yang tersebar dalam ruangan forum politik Malaysia pada 25 Januari lalu telah menjatuhkan maruah pimpinan wanita Islam.

Katanya, itu perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan penulis tersebut wajar meminta maaf kepada Dr Halimah, suami, keluarga dan pihak PAS.

"Bagi kami pimpinan wanita PAS ini merupakan satu perkara yang sukar untuk dimaafkan kerana melibatkan maruah diri, keluarga dan perjuangan PAS," tegasnya.

Katanya, walaupun Jamilisa telah meminta maaf seperti yang disiarkan dalam laman web Mykmu.net tetapi itu tidak memadai kerana fitnah tersebut melibatkan maruah seorang isteri, ibu dan wakil rakyat.

Beliau mendesak laman web tersebut meminta maaf secara terbuka dan berjumpa sendiri dengan Dr Halimah, suami serta wakil PAS.

"Tuduhan ini bukan satu perkara yang main-main kerana ia melibatkan kredibiliti di mana selama ini akhlak Dr Halimah tidak pernah tercalar walaupun sedikit," tegas beliau.

Beliau memetik maksud surah An-Nur ayat 4 di mana Allah melarang menuduh wanita yang baik berzina.

Ayat itu bermaksud; "Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik berbuat zina dan tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah mereka yang menuduh itu dengan 80 kali deraan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik."

Dr Mariah yang juga AJK PAS Pusat berharap Dr Halimah akan meneruskan tindakan saman malu bagi memberi pengajaran terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah.

"Dr Halimah ada bersama dengan saya dalam Forum Keluarga Bahagia Masyarakat Penyayang di Dewan Orang Ramai Bukit Kuching, Kuala Selangor pada malam 25 Januari lalu," jelasnya. - lanh _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19093&Itemid=1

JAIS Nafi Fitnah Khalwat Mykmu.Net


Inilah laman web yang tidak bertanggungjawab yang telah menyiarkan fitnah ke atas Adun Selat Klang Dr Halimah Ali.... Takutlah kamu semua akan azab Allah kerana dosa fitnah...




Jais nafi buat tangkapan khalwat ke atas Adun Selat Klang



Merujuk pada laman web www.mykmu.net (forum) bertarikh 25 Januari 2009 bersamaan hari Ahad jam 10.59 malam, dakwaan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah membuat tangkapan khalwat ke atas Adun Selat Klang (Dr Halimah Ali) adalah tidak benar sama sekali.

Pihak Jais ingin memaklumkan bahawa tiada operasi dan tindakan tangkapan seperti yang dinyata dan disebarkan pada tempat dan masa tersebut.

Pihak Jais ingin menasihatkan agar hebahan-hebahan yang berunsur sebegini tidak berulang bahkan tidak berlaku lagi demi menjaga maruah individu tertentu terutama dalam perkara yang tidak dilakukan ini.

Mohd Hidayat bin Abd.Rani

(Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Agama Islam Selangor)


http://www.harakahdaily.net

http://pinkturtle2.wordpress.com/2009/01/29/14799/

Samad Said: Jika demo gagal, undi protes PPSMI


Jimadie Shah Othman Jan 30, 09 1:00pm


Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, kata seorang tokoh sasterawan.

"Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir.

"Gunalah undi secara bijaksana,"
kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad merancang mengadakan perhimpunan itu pada 7 Mac bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung isu itu.

Sebuah lagi perkumpulan aktivis bahasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang dianggotai 24 persatuan penulis di seluruh negara turut mengancam mengadakan "Perarakan Keranda" – dinamakan Keranda 152 – bagi tujuan yang sama, dijadual pertengahan bulan depan.

Gapena juga tetap dengan pendiriannya mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu sejak tujuh tahun lalu yang didakwanya melanggar Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan – yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Berhubung rancangan GMP berhimpun besar-besaran, A Samad berkata tindakan generasi muda daripada pelbagai kumpulan bagi tujuan menyatakan bantahan terhadap dasar itu memang wajar.

"Wajar kerana semua sumber lain telah digunakan, tetapi tidak dihiraukan," katanya, yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".

Mengulas sama ada aktivis bahasa dan sastera veteran wajar sama-sama turun padang berdemonstrasi, A Samad berkata:

"Orang tua berjuang daripada sisi yang lain. Tetapi tidak bererti tidak berjuang. Sekarang giliran angkatan muda."

Generasi muda sekarang, tambahnya, daripada pelbagai organisasi dan parti politik termasuk Umno mendukung perjuangan bersama itu.

Selasa lalu, A Samad hadir dalam mesyuarat GMP bagi membincangkan siri bantahan terhadap PPSMI di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Turut terlibat dalam perbincangan itu beberapa tokoh sastera dan politik, termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang menganggotai jawatankuasa induk GMP.

Ditanya sama ada kemunculannya itu boleh menjejaskan imejnya sebagai tokoh sasterawan yang tidak partisan selama ini, A Samad menjelaskan, kehadiran beliau berdasarkan isu, bukan pihak yang mendukung gerakan tersebut.

"Saya tidak boleh terlepas daripada apa yang bergelora (dasar PPSMI)," jelasnya.

"Orang kiri jemput saya pergi (hadir), orang kanan jemput saya pergi."

Esok, kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman membantah pelaksanaan PPSMI.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.

Pak Samad diura-urakan akan turut serta buat pertama kali dalam program sebegitu.

Sewaktu ditanya penyertaannya esok, sasterawan kelahiran Singapura itu bagaimanapun masih mahu berteka-teki.

"Awak tengoklah esok," katanya, sambil ketawa kecil.

A Samad menerima gelaran tertinggi dalam dunia kesusasteraan tanah air pada 1986.

Selain itu, beliau yang terkenal dengan novel Salina – mengisahkah keperitan hidup seorang pelacur di Singapura akibat perang – turut dianugerahkan SEA Write Award daripada kerajaan Thailand.

http://www1.malaysiakini.com/news/97289

Politik wang: Umno tidak setuju SPRM siasat pemimpin



Abdul Rahim Sabri Jan 30, 09 4:38pm



Walaupun tanpa isu dakwaan penderaan seorang pemimpin bahagian Umno sewaktu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Umno umumnya tidak bersetuju campur tangan badan itu dalam membanteras gejala politik wang dalam parti.

Pemuda Umno Padang Serai menyifatkan siasatan SPRM "tidak tepat pada masanya", lebih-lebih lagi hampir dengan pemilihan parti, Mac ini.

Ketua Pemudanya Ismadi Abu Talib turut mempertikaikan tangkapan suruhanjaya itu terhadap sejumlah pemimpin Umno peringkat pertengahan baru-baru ini tetapi tidak menfokuskan pemimpin parti-parti lain.

"Tangkapan SPRM fokus pemimpin Umno sewaktu dekat dengan pemilihan, seolah-olah ahli Umno sahaja yang yang rasuah.

"Tidak semua pemimpin Umno mengamalkan rasuah,"
katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Lebih-lebih lagi, tambahnya, tindakan sedemikian menyebabkan wujud pertembungan bidang tugas antara SPRM dengan Lembaga Displin Umno untuk membanteras politik wang dalam parti tersebut.

"Akar umbi terkapai-kapai, yang mana satu nak ikut?" katanya.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) – sebelum pembentukan suruhanjaya baru itu – sudah memadai untuk mengawal gejala buruk itu, tambahnya.

Mengulas dakwaan insiden penderaan seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Maran, Pahang di tangan penyiasat SPRM, Ismadi berkata beliau membantah cara siasatan tersebut.

"Saya tidak nampak kebaikan SPRM. Saya tidak bersetuju dan tidak sokong tindakan itu," katanya.

Dalam laporan polisnya kelmarin, Halimi Kamaruzzaman mendakwa mengalami penderaan serius sewaktu disiasat berhubung amalan politik wang anggota MT dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.

Pemimpin Umno itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.

Halimi mendakwa tiga pegawai SPRM menumbuk, menendang dan memaksanya berbogel dan kemudiannya berguling-guling di atas lantai.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan (mengaitkan dengan Norza)," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

Ismadi menambah, beliau difahamkan kira-kira 600 penyiasat ditambah bersama SPRM dan ia memberi tafsiran bahawa pemimpin Umno mengamal rasuah.

"Saya rasa kita membuka pekung di dada, seolah-olah memang pemimpin kita mengamalkan rasuah.

"Bagaimana saya nak beritahu kepada akar umbi bahawa pemimpin-pemimpin kita itu benar-benar bersih (daripada politik wang)?"
katanya.

Sejak siri penangkapan SPRM terhadap pemimpin Umno, beliau juga mengalami perasaan fobia untuk keluar rumah walaupun berjumpa kawan-kawan.

Katanya, tangkapan tersebut menjadi satu kejutan kepadanya, tambahan pula beliau baru sahaja memegang jawatan tersebut pada pemilihan bahagian itu November lalu.

"Oleh yang demikian saya mahukan definisi politik wang yang jelas dalam Umno supaya akar umbi tidak terawang-awang dengan matlamat penubuhan SPRM," katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar masalah politik wang dalam parti tersebut dibincangkan dan dibahaskan dalam persidangan agung, mulai 24 Mac ini.

Manakala Naib Ketua Bahagian Umno Langkawi, Mohd Rawi Abdul Hamid pula menjelaskan beliau tidak bersetuju sejak awal lagi isu politik wang Umno dibawa kepada SPRM.

Kerana, tambah wakil rakyat Ayer Hangat, ia memberi gambaran kepada akar umbi bahawa pemimpin-pemimpin bahagian mengamalkan politik wang.

Mengulas dakwaan insiden yang menimpa Halimi sepanjang empat hari ditahan SPRM sejak 23 Januari, beliau berasa kesal dan menyifatkan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Dalam mana-mana siasatan, tidak boleh dijalankan siasatan dengan kekerasan, hatta orang yang ditahan atas dakwaan jenayah pun tidak boleh disiasat dengan kekerasan," katanya sewaktu dihubungi.

Tambahnya, dakwaan insiden sebegini akan menyebabkan rakyat mempersoalkan kaedah siasatan yang dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menggesa MT menentukan sama ada suruhanjaya itu boleh menyiasat berhubung amalan politik wang atau tidak memandangkan lembaga disiplin parti sudah berbuat demikian.

Sementara ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Hazizah Mohd Sultan berkata dakwaan insiden penderaan oleh penyiasat SPRM tidak sepatutnya berlaku.

"Masalah politik harus di selesaikan dengan politik. Bukan cara begitu untuk menyiasat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan ahli jawatankuasa, tangkapan tersebut memberikan gambaran tidak elok kepada Umno dan menjatuhkan imej parti itu.

"Tangkapan memburukkan lagi keadaan (Umno), seolah-olah memberi anggapan buruk kepada Umno.

Tambahnya, politik wang yang berlaku dalam parti tersebut adalah perkara kecil dan terpencil yang diperbesar-besarkan.

"Ada satu, dua orang sahaja daripada berjuta-juta ahli Umno yang melakukan rasuah,"
katanya.

Hazizah menjelaskan, hukuman daripada lembaga disiplin seperti digugurkan keahlian atau digantung jawatan sudah mampu untuk membanteras politik wang dalam parti.


http://www1.malaysiakini.com/news/97314

Teka-teki lompat parti di Negeri Sembilan


Muda Mohd Noor Jan 30, 09 5:34pm


Jika benar akan berlaku usaha melompat parti dalam masa terdekat di Negeri Sembilan, hanya tiga wakil rakyat Umno yang berpotensi menyertai Pakatan Rakyat, dakwa ketua bahagian Seremban.

Datuk Ishak Ismail berkata calon-calon itu kemungkinannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Shamsul Kahar Md Deli, Datuk Aziz Shamsuddin (Palong) dan Mustafa Salim (Lenggeng).

Dua daripada mereka, Aziz dan Mustafa, bagaimanapun menafikan mereka akan menyertai pembangkang.

Dihubungi hari ini, Ishak berkata desas-desus itu disampaikan orang kepadanya.

"Tetapi daripada bacaan saya, Aziz yang paling berpotensi akan menyertai PKR," katanya.

Aziz, ketika dihubungi petang ini berkata, beliau tidak ingin campur urusan PKR.

"Soal PKR ini saya cukup menyampah, saya tidak mahu," katanya.

Mustafa pula berkata, "walau apa terjadi" beliau tidak akan meninggalkan Umno.

"Saya menolak sekeras-kerasnya spekulasi saya akan menyertai PKR," katanya kepada Malaysiakini.

Manakala Shamsul Kahar yang juga exco pelajaran dan pendidikan tinggi kerajaan negeri tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan spekulasi tersebut.

Ketua Wanita Umno bahagian Jempol, Noraini Idris berkata, orang mengaitkan nama Shamsul Kahar dan Aziz kerana kedua-dua mereka kalah dalam pertandingan bahagian baru-baru ini.

"Orang sengaja nak buruk-burukkan nama mereka. Saya tidak dengar khabar mereka nak masuk parti lain," katanya.

Ishak juga berkata, ketiga-tiga mereka dianggap mempunyai masalah kerana tewas dalam pertandingan peringkat bahagian masing-masing.

Aziz kalah di Jempol kepada penyandang jawatan ketua bahagian Datuk Lilah Yassin.

Shamsul Kahar pula tewas jawatan timbalan ketua bahagian itu kepada Mohd Salim Shariff, manakala Mustaffa sedang menghadapi tindakan undang-undang.

Ketika dihubungi, ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salawati Abdullah berkata, beliau mendengar berita PKR memujuk bekas ketua-ketua cawangan Umno untuk memujuk wakil rakyat mereka supaya menyertai parti pembangkang tersebut..

"Ini berlaku di kawasan Seremban dan luar Seremban tetapi saya tidak tahu sama ada benar atau tidak.

"Saya baru dengar dari kawan-kawan di sini,"
katanya.

Bekas setiausaha Umno bahagian Seremban, Datuk Md Yusop Hermain Shah pula berkata, cakap Ishak tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemimpin itu "mahu memecahbelahkan Umno negeri".

Difahamkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri satu program PKR di Tampin, bulan depan.

Seorang pemimpin PKR negeri Badrul Hisham Shahrin berkata, Anwar akan mengumumkan tiga atau empat wakil rakyat Umno yang akan menyertai parti itu "dalam masa terdekat".

Beliau bagaimanapun tidak menamakan wakil-wakil rakyat terbabit.

Sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan beberapa Adun BN akan meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan - keputusan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan BN itu.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS (lihat jadual).

Desas-desus isu lompat parti - antara kedua-dua hala BN dan Pakatan Rakyat - muncul kembali susulan penyertaan Adun Bota, Perak Datuk Nasharuddin Hashim bersama PKR hujung minggu lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan desas-desus beberapa Adunnya akan menyertai pembangkang.


http://www1.malaysiakini.com/news/97316

Exco wanita PAS dituduh khalwat


Jimadie Shah Othman Jan 30, 09 8:33pm


Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali membuat laporan polis terhadap satu laman web pro-Umno berhubung tuduhan beliau ditangkap basah di sebuah hotel sekitar Pelabuhan Klang.

Wakil rakyat PAS itu berkata, tuduhan yang dilemparkannya itu "berniat jahat, tidak masuk akal, menjatuhkan maruahnya" dan mahu mengaibkannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang.

"Saya adalah wakil rakyat PAS, sudah tentulah yang saya dukung ini adalah Islam.

"Dan sebagai exco pembangunan modal insan, sudah tentulah kita hendak memerangi perkara mungkar dan maksiat ini secara jama'i atau berkumpulan,"
tulisnya di blog drhalimahali.blogspot.com.

Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang pada Selasa lalu setelah mendapat nasihat daripada peguam PAS.

Ahad lalu, seorang ahli forum MyKMU.net yang dikenali hanya sebagai Jamilisa memuatkan tuduhan itu dengan judul "Kecoh, Adun Selat Klang kena tangkap basah" pada 25 Januari.

"Tuduhan itu juga sama sekali tidak berasas sedangkan pada masa yang dinyatakan itu saya berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor kerana diundang menghadiri Program Forum Perdana sebagai ahli panel," coret Dr Halimah lagi.

Beliau mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang penyebaran berita palsu dan fitnah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.


http://www1.malaysiakini.com/news/97327

SPRM tetap pantau rasuah dalam Umno


Jan 30, 09 8:41pm


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini perhebatkan gerakan menghapuskan rasuah, termasuk memantau politik wang dalam Umno menjelang pemilihan parti, Mac ini.

Pengarah Bahagian Risikannya Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata semua aspek yang boleh dikaitkan dengan rasuah akan tetap menjadi perhatian suruhanjaya itu, lapor Bernama.

"Kami mempunyai banyak ejen yang sentiasa memberi maklumat," katanya selepas majlis penyerahan tugas Pengarah SPRM Perlis oleh Pemangku Penolong Kanan Pesuruhjaya II P Ganeson kepada Pemangku Penolong Pesuruhjaya Yusof Shamsudin hari ini.

Diminta mengulas kemungkinan wujud politik wang menjelang pemilihan Umno itu, Mohd Jamidan berkata SPRM akan memastikan pihak yang terbabit dengan kegiatan rasuah disiasat seterusnya didakwa.

Tambahnya, setiap risikan sering membawa kejayaan besar dalam menangani kes penyelewengan dan rasuah yang merugikan negara.

"Kami telah mencapai banyak kejayaan besar tetapi perkara itu tidak dilaporkan dengan meluas," katanya.

Beliau menyebut kejayaan badan itu menumpaskan sindiket penyeludupan mercun bernilai lebih RM1 juta dan isu penyelewengan minyak bernilai jutaan ringgit setiap bulan oleh sebuah agensi kerajaan.

Menurut agensi berita itu lagi, Mohd Jamidan berkata kerajaan telah mewujudkan 105 perjawatan baru untuk ditempatkan di bahagian risikan dan ia akan membantu memperkuatkan kegiatan perisikan suruhanjaya itu.

Sepanjang tahun lepas, 256 maklumat berkaitan rasuah dan penyelewengan telah diterima termasuk berkaitan politik wang dan 138 fail siasatan telah dibuka.

Enam orang dihadapkan ke mahkamah yang terdiri daripada tiga penjawat awam dan tiga orang awam.

Angka itu meningkat berbanding 2007 apabila hanya 181 maklumat yang diterima dan 89 fail siasatan dibuka dengan hanya seorang sahaja yang didakwa di mahkamah.

Sepanjang Januari ini, SPRM telah mendakwa dua penjawat awam di mahkamah, katanya.


http://www1.malaysiakini.com/news/97328

Badan khas siasat isu deraan SPRM


Jan 30, 09 7:30pm


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan seorang pemimpin Umno Maran didera oleh pegawai penyiasatnya beberapa hari lalu.

Dalam kenyataannya, suruhanjaya itu menyatakan ia memandang serius dakwaan itu dan tidak akan berkompromi dengan pegawainya yang terlibat sekiranya dakwaan itu berasas, lapor Bernama.

"SPRM juga memberi jaminan penyiasatan ini akan dilakukan secara profesional dan adil.

"Penyiasatan dalaman itu akan dipantau oleh Jawatankuasa Aduan yang dibentuk di bawah Seksyen 15 Akta SPRM 2009," katanya hari ini.

Jawatankuasa Aduan itu terdiri daripada lima ahli yang dilantik (bukan pegawai SPRM) bagi memastikan sebarang aduan salah laku yang dikendalikan dengan bebas dan telus mengikut prosedur ditetapkan.

Menurut agensi berita itu, SPRM juga meminta polis mengambil tindakan segera ke atas laporan Halimi Kamaruzzaman kelmarin berhubung dakwaan serius dan mengejutkan itu.

"Sekiranya dakwaan itu tidak benar dan berunsur fitnah, satu tindakan wajar diambil ke atas pengadu yang telah membuat laporan palsu itu," katanya.

Katanya, pegawai SPRM Pahang juga turut membuat laporan polis berikutan terdapatnya ugutan-ugutan bagi tujuan memburukkan imej suruhanjaya kepada pihak tertentu.

Dalam aduan polisnya, ahli jawatankuasa bahagian itu mendakwa tiga pegawai SPRM termasuk seorang ketua unit menumbuk "kepala, perut dan bahunya bertubi-tubi".

Halimi juga mendakwa beliau ditendang di bahagian rusuk, dipaksa bertelanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan berbogel.

"Pegawai yang dikatakan ketua unit (siasatan) ini telah mencekik saya sehingga saya tidak dapat bernafas sambil menolak saya ke dinding," lapornya di balai polis Damansara, Petaling Jaya.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit,"
dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

"Seorang pegawai telah mengugut untuk meletakkan puntung rokok yang dihisapnya pada kemaluan saya."

Pemimpin Umno itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.


http://www1.malaysiakini.com/news/97324

Ramlang saman Jakim jika rayuan ditolak

Jimadie Shah Othman Jan 29, 09 11:49am
Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim - akan mengambil tindakan saman.

"Saya akan merayu (kepada Jakim). Jika tidak terima, saya akan tuntut hak-hak saya melalui (proses) undang-undang," kata Ramlang Porigi.

Beliau merancang mengemukakan rayuan kepada jabatan tersebut pada Selasa atau Rabu depan.

Anak kelahiran Sabah itu kini sedang berehat di kampung halamannya di Sandakan dan dijadual kembali ke Kuala Lumpur awal minggu depan.

Ramlang - yang berceramah di tiga tempat dan kemudian mengadakan sidang media bersama PKR ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas - diberhentikan perkhidmatannya minggu lepas.

Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja."

Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim yang dipengerusikan oleh Wan Mohamad mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Ramlang mendakwa penyingkirannya tidak melalui prosedur dan amalan biasa.

"Saya dibuang tanpa amaran, tanpa notis," katanya.

Beliau juga mendakwa hanya dipanggil sekali sahaja bertemu Wan Mohamad - sehari sebelum dipindahkan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke bahagian pentadbiran dan kewangan Jakim di Putrajaya pada 9 September lalu.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu juga, Ramlang mendakwa tidak dimaklumkan berhubung tindakan pembuangan itu tetapi hanya dipersalahkan ekoran kemunculan beliau di pentas PKR pada 24 Ogos, kira-kira 48 jam sebelum pengundian dalam pilihanraya tersengit itu.

Tambahnya, kehadiran beliau ke pentas PKR dipersoalkan oleh majikannya kerana kelihatan "senang hati" sewaktu berucap tetapi sebab beliau berada di situ tidak diambil perhatian.

"Mereka kata, gambar saya (berucap) yang disiarkan di (laman perkongsian video) Youtube nampak gembira," kata Ramlang.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau reda dengan takdir tuhan walaupun pemecatannya itu tidak diduga sama sekali.

"Waktu saya cakap dengan kawan-kawan, mereka kata, mustahil sampai kena buang. Ada orang (kakitangan awam) lawan kerajaan betul-betul tetapi (mereka) tidak kena buang (kerja) pun.

"Ada (kakitangan) yang ada rekod jenayah pun tidak kena buang pun."

"Saya hanya ingin membebaskan nama saya daripada pelbagai fitnah yang diterima sejak seminggu menjadi saksi sumpah itu.

"Alhamdulillah sekarang, ke mana saya pergi, orang tidak marah pada saya,"
katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.

Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat dengan mendakwa beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Menceritakan pengalaman beliau bertugas empat bulan di Jakim sejak ditukarkan secara mendadak, beliau tidak menerima sebarang tekanan daripada pegawai atasannya.

Bagaimanapun, tambah Ramlang, beliau tidak diberikan sebarang kerja dengan harapan beliau akan melepaskan jawatan sebagai kakitangan Gred 17 secara sukarela.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

http://www1.malaysiakini.com/news/97228

AJK Umno: Saya dipaksa bogel depan pegawai SPRM


Jan 29, 09 7:33pm


Selepas mendiang A Kugan didakwa mati sewaktu dalam jagaan polis, kini pemimpin Umno Maran, Pahang pula mendakwa dibelasah oleh sekumpulan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Halimi Kamaruzzaman, 46, mendakwa beliau dipukul sepanjang empat hari ditahan reman di pejabat SPRM Kuantan pada mulai 23 Januari dalam siasatan berhubung politik wang.

Penahanan itu didakwa berkaitan siasatan terhadap anggota Majlis Tertinggi (MT) dan ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria.

Pemimpin Umno itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan Norza.

Beliau juga menyifatkan penderitaan yang didakwa dialaminya itu dengan kem penyeksaan Abu Ghraib di Iraq sewaktu pentadbiran Saddam Hussein.

Dalam laporan polisnya semalam, ahli jawatankuasa Umno Maran itu mendakwa tiga pegawai SPRM termasuk seorang ketua unit menumbuk "kepala, perut dan bahunya bertubi-tubi".

Halimi juga mendakwa beliau di tendang di bahagian rusuk, dipaksa bertelanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan berbogel.

"Pegawai yang dikatakan ketua unit (siasatan) ini telah mencekik saya sehingga saya tidak dapat bernafas sambil menolak saya ke dinding," laporannya di balai polis Damansara, Petaling Jaya.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakaria-lah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwanya lagi dalam aduan polis tersebut.

"Seorang pegawai telah mengugut untuk meletakkan puntung rokok yang dihisapnya pada kemaluan saya."

Norza sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas dengan alasan beliau sedang disiasat.

Beliau juga berkata tidak mengetahui laporan polis tersebut.

Pengarah siasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull pula berkata suruhanjaya itu menyerahkan kepada polis untuk menjalan siasatan terhadap dakwaan Halimi dan enggan mengulas lanjut.

http://www1.malaysiakini.com/news/97271

SPRM 'pulak' buat laporan polis dakwa pemimpin Umno buat laporan palsu


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)


30 Jan 2009 11:34AM
Oleh Amin Iskandar


SEMALAM, blog ini menyiarkan mengenai laporan polis yang dibuat oleh pemimpin Umno terhadap SPRM. Kini, SPRM pula membuat laporan polis terhadap pemimpin Umno tersebut dengan tuduhan bahawa laporan polis yang dibuat oleh pemimpin Umno tersebut sebelum ini adalah laporan palsu. Lihat berita dari The Star di bawah:

MACC lodges report against Umno leader

KUALA LUMPUR: The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) has lodged a report to counter allegations that an Umno division leader was assaulted by MACC officers during detention.

Earlier, the 46-year-old division leader from Maran, Pahang, reported that he was punched in the head, shoulder and stomach during his four-day remand in Kuantan.

He also claimed that he was forced to strip naked, lie and roll on the floor besides being asked to do squats and sing the national anthem repeatedly.

In his report, he also claimed an officer pressed him against the wall and threatened to arrest his wife and ask her to strip if he refused to confess that he had handed money to Umno members.

He lodged his report at the Damansara police station yesterday.

MACC deputy commissioner Datuk Abu Kassim Mohammad said the MACC had lodged a report against the Umno leader for allegedly lodging a false report.

“Before being released, he told us that he will lodge a report and smear MACC’s image, so we waited for him to lodge a report before we ourselves did.

“We want the police to thoroughly investigate the man’s allegations against our officer and if there is any evidence that the MACC officers had abused or assaulted him, then the police must take action.

“However if there is no such thing, the police must take action against him for lodging a false report,” he said, adding that investigation into money politics would continue without fear or favour.

Ai… Siapa yang betul ni?

Malam semalam di hadapan bangunan PWTC, Pemuda dan Putera Umno berdemonstrasi membantah Jawatankuasa Disiplin Umno dan SPRM. Seperti biasa, polis tidak membuat tangkapan. Maklumlah, di Malaysia ini hanya Umno dan Perwaris yang boleh berdemonstrasi.

Apa-apa pun polis perlu menyiasat kedua-dua laporan polis yang dibuat oleh pemimpin Umno tersebut dan SPRM agar rakyat tahu siapakah yang berada di pihak yang benar.

http://www.klpos.com/news/2009/01/30/6.html

Muhyiddin, Karpal mahu undang-undang halang lompat parti



Jumaat Januari 30, 2009

Oleh G. MANIMARAN



PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu undang-undang digubal bagi menghalang seseorang wakil rakyat melompat parti.


"Bukannya kita takut ada lagi yang akan meninggalkan Barisan Nasional tetapi ini adalah soal prinsip," kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kota Kinabalu hari ini.


Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di rumah terbuka Presiden Parti Liberal Demokrat, Datuk VK Liew yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Muhyiddin berkata, cadangan itu perlu dilihat secara serius dengan mengambil kira senario politik semasa.


"Secara peribadi, saya setuju tetapi terpulang kepada pemimpinpemimpin BN untuk meminda Perlembagaan," kata beliau dipetik Bernama. Semalam, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan melahirkan pandangan bahawa masanya sudah tiba bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memperkenalkan undangundang seperti itu agar kestabilan politik dapat diwujudkan berdasarkan keikhlasan dan kejujuran seseorang itu.


Sambil menekankan bahawa perbuatan melompat parti hari dikecam tanpa sebarang tolak ansur, Karpal berkata, pendirian DAP dalam soal itu adalah jelas.


"Kehendak rakyat tidak boleh dikompromi oleh mana-mana perwakilan yang mengkhianati pengundi mereka dengan melompat parti," katanya.


Bagi mengelakkan perbuatan melompat parti, jelas beliau, Perlembagaan Persekutuan memerlukan pindaan segera untuk mengatasi kejadian-kejadian berpindah parti lain.


"Dalam menggesa pindaan sedemikian, Pairin boleh dianggap bahawa beliau mempunyai restu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang wajar menggerakkan pindaan sewajarnya pada sesi Parlimen yang bermula 16 Februari ini," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/30/mstar_mutakhir/20090130192114&sec=mstar_mutakhir

Nik Aziz ibaratkan Umno pokok hampir mati


Jumaat Januari 30, 2009

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perkembangan dalam Umno sekarang menunjukkan parti itu hilang daya tarikan sehingga ada pemimpinnya yang berpaling tadah.


Kata beliau, kalau diibaratkan sebatang pokok, Umno kini sebuah parti yang hampir mati dan akan gugur sendiri dahannya satu persatu sebelum menjadi pokok mati.


"Umno kini tiada daya tarikan atau 'graviti' untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya dan ini menyebabkan ramai ahli dan pemimpinnya mula berpaling tadah menyertai parti pembangkang, terutama PAS," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Exco Kerajaan Negeri Datuk Anuar Tan di sini hari ini.


Menteri Besar Kelantan itu berkata apa yang sedang berlaku dalam Umno merupakan perkembangan yang baik bagi Pakatan Rakyat, khasnya PAS, yang sedang berusaha menarik sokongan rakyat terhadap perjuangan yang akan membawa perubahan kepada mereka.


Ditanya mengenai cadangan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya sayap Umno dibubarkan bagi mengelak politik wang dalam parti itu, Nik Aziz berkata, itu adalah masalah dalaman Umno.


"Ia terjadi dengan sendiri apabila pemimpinnya tidak mengamalkan dasar yang betul.


"Inilah juga punca yang menyebabkan Umno diibaratkan parti yang hilang graviti untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya,"
katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/30/mstar_berita/20090130163153&sec=mstar_berita

Lompat: ADUN Bota perlu temui pengundi, dapatkan "lampu hijau"



Jumaat Januari 30, 2009

Oleh G. MANIMARAN



PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Bota, Datuk Nasarudin Hashim perlu kembali kepada pengundi-pengundi di kawasannya untuk menjelaskan pendirian beliau keluar Umno dan Barisan Nasional (BN), Ahad lalu.


Pengarah Eksekutif Institut Integriti Pilihan Raya Kebangsaan (NIEI), Amin Iskandar berkata, oleh kerana perundangan semasa tidak membolehkan seseorang wakil rakyat berhenti dan bertanding semula, Nasarudin wajar menemui semula pengundinya untuk menerangkan pendirian beliau.


"Kalau boleh sebelum melompat perlu berunding (dengan pengundi) dulu... jadi pengundi-pengundi boleh memutuskan sama ada adil ataupun tidak tindakan menyertai parti lain," kata beliau ketika dihubungi.


"Beliau boleh mengadakan dialog dan menjelaskan kepada mereka (pengundi kawasan Bota)," kata beliau kepada mStar Online.



CERAMAH MALAM INI


Nasarudin ketika dihubungi mStar Online pagi tadi berkata, beliau akan mengambil bahagian dalam Ceramah Khas Mesra Rakyat di Stadium Bakri Rais, Bota Kanan malam ini.


Ia antara lain bagi menjelaskan kepada rakyat di kawasannya mengenai pendirian beliau keluar Umno dan menyerta Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Kata Nasarudin, ia dianjurkan oleh PKR.


Turut hadir ialah Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin.


Ketika ditanya soal moral dengan tindakan beliau, Amin memberitahu, dari segi demokrasi Nasarudin ada hak untuk berbuat demikian.


"Tetapi apabila melompat beliau perlu kembali kepada pengundi untuk menjelaskan," katanya lagi.


Bagaimanapun jelas beliau, jika ramai tidak bersetuju, wakil rakyat terbabit perlu melepaskan jawatan dan bertanding lagi.


"Tetapi ada masalah (aspek perundangan)... itu adalah satu halangan," katanya.



ANTILOMPAT


Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya untuk difikirkan secara serius bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan antilompat parti.


"Kita banyak menyaksikan ketidakstabilan politik di masa lalu. Kini masanya untuk mempertimbangkan cadangan ini.


"Dengan adanya peruntukan undang-udang antilompat parti dalam perlembagaan, kita dapat melaksanakan satu lagi langkah ke arah kestabilan dalam landskap masyarakat dan politik kita," katanya.


Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah berkata, beliau akan memberi sokongan kepada mana-mana pihak yang menyokong pindaan tersebut dibuat dalam perlembagaan persekutuan dan negeri.


Kelmarin, Menteri Luar yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kepada BN Perak supaya mengadakan gerakan besarbesaran bagi mendesak Nasarudin supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu yang dimenanginya atas tiket BN.


Nasarudin telah melompat parti kepada PKR Ahad lalu.


Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, undang-undang antilompat parti perlu dilakukan termasuk dengan membenarkan wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka bertanding semula dalam tempoh terdekat dan bukannya lima tahun seperti peruntukan sedia ada.



KOMEN MAFREL


Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi Malaysian for Free & Fair Election (Mafrel), Syed Ibrahim Noh berkata, pihaknya menyambut baik jika tindakan seseorang wakil rakyat itu melompat parti demi kebaikan rakyat.


"Jika niat baik, jika mahu berkhidmat untuk rakyat dan pengundi, saya ingat sihat.


"Tetapi jika melompat kerana mahu jawatan dan ganjaran, tidak harus berbuat demikian," kata beliau sambil mengakui tentang halangan aspek perundangan yang wujud.


Malah, beliau juga berpendapat wakil rakyat berkenaan perlu kembali kepada pengundi untuk mendapatkan "penerimaan."


Bagaimanapun beliau mengakui bahawa ia juga satu soal yang rumit untuk dibicarakan secara langsung.


Undang-undang pilihan raya tidak membenarkan seseorang wakil rakyat yang bertanding untuk kembali bertanding selama lima tahun jika memutuskan untuk melepaskan kerusi yang dimenanginya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/30/mstar_berita/20090130122604&sec=mstar_berita

ADUN Bota: "Saya terbuka untuk disiasat"



Jumaat Januari 30, 2009

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahad lalu hari ini menegaskan beliau terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Niat saya (keluar Umno dan BN) adalah bersih dan pendirian saya menyertai (Parti Keadilan Rakyat) adalah untuk mencari platform baru untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya dapat platform itu.


"Tidak lebih daripada... saya boleh siasat, saya terbuka untuk siasatan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online pagi ini.


Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya akan menyiasat Nasarudin jika wujud elemen rasuah dalam keputusannya menyertai PKR dan Pakatan Rakyat awal minggu ini.


Ketika ditemui di Melaka semalam, Ahmad Said memberitahu, beliau tidak pasti sama ada sudah terhadapat aduan mengenai soal itu.


"Kami akan menyiasat mereka yang melompat parti jika ada elemen rasuah janji (jawatan dan ganjaran)," katanya.


Nasarudin, pemimpin dari Umno, menyertai PKR berkuat kuasa Ahad lalu.


Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.


Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Bota.


Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.


Ketika menjelaskan keputusannya menyertai PKR, Nasarudin berkata, beliau tidak dijanjikan ataupun ditawarkan sebarang jawatan dan ganjaran oleh PKR dan kerajaan Perak yang dipimpin Pakatan Rakyat.


"Apa yang saya minta pada Menteri Perak (Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin) adalah agar membantu menyelesaikan masalah rakyat dan program pembangunan di kawasan saya.


"Saya tidak minta lebih daripada itu dan Menteri Besar berkata bahawa insya-Allah akan membantu saya," katanya.


Nasarudin mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar kelmarin - tiga hari selepas mengumumkan keluar Umno dan BN.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/30/mstar_berita/20090130110724&sec=mstar_berita

MB Negeri Sembilan nafi ADUN mahu keluar BN


Jumaat Januari 30, 2009


SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan khabar angin kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri dari Barisan Nasional Negeri Sembilan akan menyertai pembangkang.


"Kalau ada dakwaan, suruh dia bagi nama. Yang DAP Perak risau sangat pasal apa, jagalah negeri Perak itu," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan DAP Perak yang tersiar dalam akhbar berbahasa Cina kononnya ada ADUN dari Negeri Sembilan akan melompat parti.


Mohamad berkata, wakil rakyat BN di Negeri Sembilan mempunyai integriti yang baik dan jati diri yang kuat serta sayangkan parti.


"Saya tidak nampak mereka ini senang dipujuk dan mudah melompat keluar dari Umno walaupun ada antara mereka telah tewas dalam pemilihan peringkat bahagian masing-masing. Semangat mereka kepada parti masih kuat," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/30/mstar_berita/20090130154955&sec=mstar_berita

Demo bantah SPRM di Menara Dato Onn, MT mesyuarat

Jumaat Januari 30, 2009

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


SEBAHAGIAN daripada anggota Umno yang mengadakan demonstrasi membantah peranan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pekarangan Menara Dato Onn kira-kira 8.20 malam tadi. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno kini sedang bermesyuarat dengan sekumpulan ahli dipercayai, anggota Pemuda dan Putera, mengadakan 'demonstrasi' membantah tindakan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang.


Mereka menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan SPRM, yang didakwa keterlaluan dan kasar semasa menyoal siasat 39 orang berhubung politik wang di Pahang baru-baru ini.


Jurucakap kumpulan berkenaan, Zuraidi Abdul Rahim iaitu perwakilan dari Baling berkata, tindakan SPRM itu telah mencemarkan imej mereka.


Beliau mendakwa mewakili kira-kira 2,500 anggota Pemuda.


"Dua atau tiga orang daripada mereka telah membuat laporan polis," kata beliau kepada wartawan di sini malam ini.


Kumpulan itu berhimpun di pekarangan Menara Dato Onn di sini dengan membawa sepanduk tertera mesej "Lembaga disiplin sudah nyanyuk", "Jangan ambil hak ahli Umno" dan "Kami menolak SPRM, boleh blah".


Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Menara Dato Onn kira-kira pukul 8.40 malam untuk mempengerusikan mesyuarat MT.


Sebelum mempengerusikan mesyuarat MT beliau melancarkan sistem pendaftaran keahlian Umno atas talian di lobi Menara Dato Onn.


Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak turut hadir. Semalam, salah seorang daripada 39 orang terbabit, Hilmi Kamaruzzman memfailkan laporan polis di Balai Polis Damansara kerana mendakwa didera oleh pegawai penyiasat SPRM semasa disoal siasat.


Tambah Zuraidi, pucuk pimpinan parti perlu memandang serius mengenai perkara tersebut dan meneliti penubuhan SPRM.


Katanya, masalah parti harus diselesaikan di peringkat dalaman.


"Soal parti hanya parti yang tentukan, bukan pihak ketiga," katanya.


Memorandum tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta anggota MT.


Kumpulan itu beredar dari kawasan Menara Dato Onn selepas Abdullah dan timbalannya memasuki lif untuk ke dewan mesyuarat.




"Tak ada apa yang boleh dibuat dengan ADUN Bota itu, mesyuarat ini bukan khusus bincangkan mengenai beliau," katanya kepada mStar Online.


Namun jelas Tengku Adnan, salah satu agenda pada mesyuarat tersebut akan turut membincangkan mengenai tindakan Nasarudin itu.


"Kita akan bincang juga hal itu sebagai isu-isu berbangkit," katanya.


Tambah beliau lagi isu politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin Umno yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan turut dibincangkan.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/30/mstar_berita/20090129205741&sec=mstar_berita

Syarikat, kilang boleh operasi 3 hari seminggu


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membenarkan syarikat dan kilang memendekkan operasi masing-masing kepada tiga hari seminggu jika pekerja bersetuju dengan langkah tersebut, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim.

Katanya, kebimbangan utama kerajaan buat masa ini adalah bagi memastikan kadar kehilangan kerja yang minimum di kalangan rakyat Malaysia dan syarikat harus meneruskan operasi mereka walaupun tidak sepenuhnya.

Beliau memberitahu Bernama, adalah perlu bagi majikan mendapat persetujuan pekerja jika ingin melaksanakan langkah itu kerana pekerja akan menerima gaji rendah jika mengurangkan hari bekerja.

“Adalah menjadikan tanggungjawab jabatan ini untuk memastikan pekerja mendapat perlindungan secukupnya dan pada masa sama syarikat tidak mengalami kekurangan atau kerugian,” katanya.

Ismail berpendapat adalah lebih sesuai jika majikan, pekerja dan kesatuan sekerja boleh bekerjasama untuk kepentingan semua pihak bagi mengharungi situasi ekonomi global yang semakin gawat.

Sementara itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berpendapat, lebih baik pekerja mengambil potongan gaji sementara daripada terus diberhentikan kerja.

“Sebagai majikan, kita tidak mahu kehilangan pekerja dan akan melakukan apa yang terbaik untuk semua,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130085116/Article/index_html

Isteri bertarung ajal

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my


KASIH...Mustapha (kiri) memicit kepala Siti Shamsiah
sambil diperhatikan ahli keluarganya.



TELUK INTAN: Seorang suami hanya mampu berdoa serta melihat saja isterinya yang lumpuh dan bertarung dengan ajal selepas dipercayai mengalami masalah buah pinggang dan hati gara-gara menerima darah tercemar oleh doktor yang merawatnya di Hospital Teluk Intan (HTI), beberapa bulan lalu.

Mustapha Mansor, 43, yang menyara kehidupan keluarga dengan bekerja kontrak sambilan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersusun, Padang Tembak, dekat sini, berkata keadaan kesihatan isterinya, Siti Shamsiah Abdullah, 35, kini diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Katanya, insiden malang itu berlaku pada 24 September tahun lalu apabila isterinya yang mengalami masalah kekurangan darah dalam badan dimasukkan ke wad HTI untuk rawatan.

“Pada sebelah malamnya, doktor yang merawat isteri saya memasukkan darah ke dalam badan isteri saya dan pada keesokannya, selepas memasukkan darah, isteri saya mengalami komplikasi buah pinggang serta diserang demam kuning,” katanya.

Menyedari kejadian itu, isterinya terpaksa dimasukkan ke wad semula kerana keadaannya lebih membimbangkan selepas mula dimasukkan untuk rawatan pertama sebelum ini.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, doktor yang merawat isterinya memberitahu darah dimasukkan ke dalam badan isterinya darah tercemar.

Menurutnya, isterinya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu gerai kuih-muih dekat sini, dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat selama 33 hari.

Bagaimanapun, selepas lima hari di rumah, isterinya mula menunjukkan tanda tidak sihat dan sekali lagi dimasukkan ke HTI untuk rawatan.

“Kali ini doktor merawat isteri memberitahu buah pinggangnya mengalami komplikasi dan selepas dua minggu dirawat isteri saya dibenarkan pulang selepas dimaklumkan sembuh.

“Namun, selepas beberapa hari pulang ke rumah dia terus terlantar dan tidak bermaya. Kini, dia hampir lumpuh dan saya yakin semua ini berpunca daripada kecuaian doktor HTI yang tersilap memasukkan darah tercemar ke dalam badan isteri saya,”
katanya.

Katanya, satu pertemuan dibuat dengan pihak hospital kelmarin dan mereka berjanji akan menyiasat.

Sementara itu, Pengarah HTI, Datuk Omar Said Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti aduan suami pesakit.

Katanya, memandangkan kes itu sudah lama pihaknya terpaksa meneliti dulu semua fail serta dokumen berhubung pesakit ini.

“Saya sudah berjumpa dengan suami pesakit dan kami juga menerima aduan pengadu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130085237/Article/index_html

Guru tadika diseret 20 meter

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


AMPANG JAYA: Lazimnya peragut menaiki motosikal namun kali ini berbeza apabila sekumpulan empat peragut menaiki kereta dan menjadikan guru tadika sebagai mangsa di Taman Nirwana, Ampang, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, seorang wanita berusia 42 tahun tidak menyedari gerak-gerinya diperhatikan kumpulan peragut ketika dia baru tiba di tadika berkenaan.

Sejurus keluar dari kenderaan, empat peragut menghampiri mangsa dan seorang daripadanya menarik beg tangan wanita itu, namun tidak melepaskannya menyebabkan dia diseret kira-kira 20 meter.

Tindakan kejam peragut yang terus menyeret wanita terbabit menyebabkan mangsa mengalami cedera di beberapa bahagian badannya.

Menurut sumber, wanita itu tinggal berhampiran tempat kejadian itu baru beberapa minit turun dari keretanya sebelum beg tangannya ditarik peragut.

“Wanita itu panik namun tidak melepaskan beg tangan menyebabkan diseret kereta dinaiki peragut yang cuba melarikan diri itu.

“Kejadian itu menarik perhatian beberapa penduduk di kawasan berhampiran menyebabkan kumpulan peragut terbabit melepaskan beg tangan wanita itu sebelum memecut kereta mereka,”
katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, seorang kanak-kanak ternampak kejadian itu dan menjerit meminta pertolongan sebelum didengari penduduk.

Sumber berkata, beberapa penduduk kemudian membantu mangsa dan menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa sempat melihat seorang daripada peragut memegang ‘sesuatu’ namun tidak pasti sama ada ia senjata yang digunakan kumpulan terbabit kerana kejadian berlaku begitu pantas.

“Walaupun kumpulan terbabit tidak memakai topeng, namun mangsa gagal mengecam mereka berikutan terlalu panik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Suspek menaiki kereta Toyota Vios berwarna emas dan pemeriksaan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba melakukan rompak,”
katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ragut itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Rakan Cop di talian 03-2052 9999.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130093123/Article/index_html

‘Rita, Aidil lebih elok jumpa abah’


Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Mohd Amin Jalil
am@hmertro.com.my


SEREMBAN: “Demi kebaikan masa depan, Rita (Rudaini) perlu mencari jalan terbaik bagaimana untuk meleraikan kekusutan yang dialami sekarang,” kata kakak sulung Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, Ruziehana, 30-an, berhubung kenyataan Rita dalam akhbar ini, semalam.

Dia yang dipanggil Kak Long dalam keluarga berkenaan, berkata seluruh ahli keluarganya juga tidak mahu masalah berkenaan berlarutan tanpa jalan penyelesaian kerana sedar perkahwinan adalah perkara baik yang dituntut dalam Islam.

Justeru, katanya, Rita perlu mencari jalan penyelesaian sendiri bagi menjernihkan keadaan untuk kebaikan kedua-dua pihak tanpa menyinggung perasaan.

“Kalau dia (Rita) tertekan dengan keadaan yang berlaku, bagi pihak keluarga (abah dan mak) pun tidak mahu menghadapi situasi serupa.

“Tiada gunanya kalau kita berbalah dalam surat khabar,”
katanya yang bercakap bagi pihak keluarganya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan pelakon drama bersiri Rozana, Rita Rudaini Mohkhtar, 33, sedih kerana terus dipersalahkan dalam isu pernikahan dengan pemain bola sepak kebangsaan itu, Mohd Aidil Zafuan, 22, di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu.

Ruziehana berkata, sejak berita mengenai perkahwinan adiknya dengan Rita didedahkan media kepada umum, pelakon terkenal itu tidak pernah berkunjung ke rumah keluarganya di Sikamat, dekat sini, atau mengadakan sebarang perbincangan mengenai masalah yang berlaku.

“Kami juga berfikir mungkin mereka mempunyai cara tersendiri atau mencari waktu sesuai untuk bertandang serta berbincang bagi mencari jalan penyelesaian itu.

“Namun, kami tidak dapat menjangkakan (keputusan berkunjung) kerana ia terletak di tangan mereka. Sudah dijelaskan sebelum ini, kami tidak pernah ‘membuang’ Aidil daripada keluarga walaupun tahu dia sudah melakukan kesilapan sehingga mengguris hati abah dan emak,”
katanya.

Ruziehana berkata, keluarganya juga tidak pernah sekali-kali menyakiti Mohd Aidil Zafuan kerana adiknya itu sudah memohon maaf di atas kesilapannya.

Menurutnya, Mohd Aidil pernah menghantar SMS kepada ibu bapa mereka sebagai tanda memohon maaf dan keluarga juga sudah menerima dengan hati terbuka.

Katanya, Rita boleh melahirkan rasa tidak puas hati, tetapi ia adalah isi hatinya selain harus memahami situasi yang dihadapi keluarga mentuanya sedangkan ibu bapanya tidak pernah memandang serong kepada menantunya malah mereka amat menyayangi menantu lebih daripada anak sendiri.

“Jadi, saya rasa abah dan emak mungkin boleh terima Rita tetapi pelakon itu sendiri harus mengunakan pendekatan terbaik bagaimana dia mahu ‘menjernihkan’ kekeruhan yang berlaku.

“Bagi saya, pertemuan dengan abah dan emak itu sepatutnya dirancang sendiri pasangan berkenaan. Tidak sepatutnya abah dan emak pula yang perlu berbuat demikian,”
katanya.

Ruziehana berkata, keluarganya juga tidak mahu kekusutan yang berlaku terus berlarutan tanpa penghujung dan berharap ia dapat diselesaikan dengan secepat mungkin untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130093831/Article/index_html

‘Dia bukan petugas kami’

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


NAFI...Moammar Gaddafi membuat laporan polis berhubung
wanita menipu 200 ahli syarikat jualan langsung,
semalam.


JOHOR BAHRU: “Wanita itu bukan pegawai kami, sebaliknya dia adalah oportunis yang mempergunakan nama Tekun untuk kepentingan sendiri,” kata Pengurus Cawangan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional Johor Bahru, Moammar Gaddafi Ahmad berhubung kes kira-kira 200 orang ditipu RM20,000 oleh wanita yang mengaku pegawai institusi itu, semalam.

Moammar berkata, Tekun tidak pernah melantik pihak ketiga atau membenarkan pegawainya mengutip sebarang bayaran bagi proses mendapatkan pinjaman modal daripada pemohon, sebaliknya ia disediakan percuma dengan mengisi borang permohanan yang disertakan dokumen sokongan.

“Saya sudah menyiasat dengan menghubungi pejabat Tekun negeri dan mendapat pengesahan bahawa wanita terbabit bukan kakitangan Tekun dan apa yang dilakukannya bertujuan menipu orang ramai,” katanya.

Beliau yang membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini, jam 12 tengah hari semalam, menuntut siasatan menyeluruh dilakukan berhubung aktiviti wanita itu yang disifatkan menjejaskan imej Tekun.

“Tekun diwujudkan untuk membantu mereka yang memerlukan modal dalam mengejar impian untuk bergelar usahawan. Kejadian seumpama ini pastinya menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada institusi ini,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita yang mengaku pegawai kanan Tekun menjanjikan pinjaman modal bernilai RM15 juta kepada kira-kira 200 ahli baru sebuah syarikat jualan langsung, sebelum melarikan wang mangsa RM20,000.

Pinjaman itu kononnya ditawarkan melalui beberapa koperasi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta boleh diluluskan dalam masa 30 hari.

Skim terbabit kononnya menawarkan pinjaman antara RM50,000 sehingga RM75,000 tanpa penjamin atau kertas kerja, sebaliknya peminjam hanya perlu memberi salinan kad pengenalan, penyata gaji dan RM100 sebagai kos memproses.

Malangnya, sejak Jun lalu pinjaman yang dipohon itu belum diluluskan, sebaliknya wanita yang berusia lingkungan 40-an itu lesap dan gagal dihubungi.

Moammar berkata, bagi mengelakkan kejadian berulang, orang ramai yang berhasrat untuk membuat pinjaman modal perniagaan dinasihati berhubung terus dengan pejabat Tekun di kawasan masing-masing dan bukannya dengan mempercayai orang ketiga.

“Memang pinjaman yang Tekun berikan membabitkan proses yang mudah tetapi tidak semudah dengan memberikan salinan kad pengenalan dan penyata pendapatan saja, pemohon perlu mengisi borang dan ditemuduga oleh pegawai kami.

“Oleh itu, jika ada pihak yang menawarkan cara paling mudah dan jaminan kelulusan dengan cepat, mereka perlu menyiasat dakwaan itu terlebih dulu dan berhubung dengan Tekun sendiri,”
katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Johor Bahru Selatan (JBS) ketika dihubungi berkata kertas siasatan sudah dibuka dan kes itu kini dirujuk kepada IPD Kluang untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130093920/Article/index_html

Setahun dalam tangki najis


KUALA LUMPUR: “Pembunuhan Fairos disembunyikan hampir setahun kerana penutup tangki najis disimen dipercayai bagi mengelak mana-mana pihak membuka atau bau mayat dihidu.

“Perkara itu hanya terbongkar apabila penyewa baru rumah berkenaan meminta tangki najis itu dibersihkan sebelum mendudukinya,” kata peguam Noraishah Shamsudin dari Noraishah Yasmin & Associates.

Beliau membantu Marthiah @ Saadiah Mat Piah, 63, ibu kepada A Fairos Ahmad Sulaiman, 37; yang dipercayai mati dibunuh suaminya Mohd Lufti Abdullah @ Lambertus Den Dulk di Ranong, Thailand.

Menurutnya, pemilik rumah yang mengesyaki sesuatu turut membuat laporan polis berhubung penemuan rangka terbabit.

“Polis Thailand memaklumkan rakan Fairos mengakui pernah melihat kesan lebam di muka mangsa,” katanya.

Noraishah berkata, pihaknya sudah meminta bantuan polis Thailand serta pegawai Pejabat Konsulat Malaysia di Songkla dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok bagi membantu mengesan anak mangsa, Johan Sebastian, 5.

“Bagaimanapun, masalah mungkin timbul kerana kelahiran Johan di Belanda tidak didaftar atau dimaklumkan ke pihak kedutaan di negara itu, selain pernikahan pasangan itu tidak didaftar di Malaysia.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130094207/Article/index_html

‘Lapor polis jika kami tak pulang’

Oleh Hadzlihady Hassan dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Kali terakhir Fairos hubungi saya, dia menangis dan beritahu mahu pulang ke Kuala Kangsar bersama anaknya kerana tak tahan dibelasah suami.

“Dia juga berpesan supaya saya membuat laporan polis jika mereka tidak pulang.”
Itu kata-kata terakhir seorang wanita warga Malaysia yang mati dibunuh di Ranong, Thailand, kepada ibunya, Marthiah @ Saadiah Mat Piah, 63.

Ranong adalah sebuah wilayah kecil kira-kira 600 kilometer dari selatan Bangkok dan bersempadan dengan Myanmar.

Mangsa, A Fairos Ahmad Sulaiman, 37, yang berkahwin dengan seorang lelaki warga Belanda, Mohd Lufti Abdullah @ Lambertus Den Dulk, menghubungi Marthiah kali terakhir pada 8 November 2007.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu yang tinggal di rumah sewa di Ranong mendapat cahaya mata lelaki, Johan Sebastiaan, 5.

Menceritakan keadaan anaknya ketika itu, Marthiah berkata, dua hari selepas itu, dia menghubungi Mohd Lufti, tetapi dia sekadar memaklumkan Fairos sudah pulang ke Malaysia.

“Menantu saya itu menyerahkan telefon kepada cucu, Johan yang ketika itu hanya menyebut perkataan ‘oma’,” katanya.

Dia pelik kerana menantunya menyatakan Fairos sudah pulang ke Malaysia, namun Johan masih berada di Thailand.

Walaupun pelik, Marthiah yang tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap anaknya mungkin mahu menyelesaikan sendiri masalah dengan suami.

“Saya cuba lagi menghubungi Fairos dan menantu seminggu selepas itu, tetapi gagal,” katanya yang membuat laporan polis tiga bulan kemudian seperti dipesan Fairos jika dia tidak pulang ke Malaysia.

Dia membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Kuala Kangsar.

Marthiah yang masih tidak berputus asa cuba menghubungi Fairos di rumah sewa mereka.

Bagaimanapun, panggilan itu dijawab penyewa baru.

Melalui seorang rakan yang fasih berbahasa Thai, dia meminta nombor telefon pemilik rumah daripada penyewa baru itu lalu diberitahu menantunya membayar sewa dua bulan berturut-turut.

Namun, selepas tempoh dua bulan itu berakhir, rumah berkenaan disewakan kepada orang lain.

Kehilangan secara misteri anaknya itu terjawab apabila rangka manusia ditemui dalam tangki najis di rumah sewa itu, empat bulan lalu.

Rangka itu ditemui bersama sepasang coli yang dipercayai milik mangsa ketika kerja pembersihan tangki najis dilakukan di rumah berkenaan.

Menurut Marthiah, dia hanya mengetahui kematian Fairos apabila menerima panggilan daripada polis Thailand pada 13 Oktober lalu.

“Ketika itu, saya terkejut dan tidak menyangka dia akan mati dalam keadaan menyayat hati,” katanya.

Dia ditemani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz serta dua peguam, Noraishah Shamsuddin dan Yasmin Mohd Ariff bergegas ke Balai Polis Ranong untuk membuat padanan DNA pada 10 November lalu.

“Sebaik ditunjukkan rangka itu, naluri keibuan kuat menyatakan ia Fairos. Pihak berkuasa mengambil sampel darah, rambut dan tisu mulut untuk DNA. Saya juga dibawa ke rumah anak saya dibunuh,” katanya.

Identiti rangka itu disahkan sebagai Fairos melalui ujian DNA oleh Institut Perubatan Forensik, Hospital Polis di Bangkok, yang mendapati ia sepadan dengan DNA darah, rambut dan tisu Marthiah.

Berikutan penemuan itu, polis Thailand sedang mengesan Mohd Lufti dan Johan.

Mohd Lufti disahkan sudah meninggalkan negara itu dengan menaiki pesawat dari Bangkok ke Singapura sebelum ke Belanda.

Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada rekod menunjukkan anak mangsa, Johan dibawa keluar dari negara itu dan nasibnya tidak diketahui sehingga kini.

Fairos yang mengajar Bahasa Inggeris secara persendirian di Ranong mengenali Mohd Lufti di Langkawi yang ketika itu bekerja dengan syarikat perkapalan.

Walaupun bernikah di wilayah Satun, Thailand pada 22 Jun 2004, mereka mengadakan kenduri kahwin di rumah ibu Fairos di Kampung Temung Hilir Enggor, Kuala Kangsar, Perak.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130094230/Article/index_html

Jais sanggah dakwaan laman web


SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan membuat tangkapan khalwat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Kelang, Dr Halimah Ali, seperti dilaporkan sebuah forum Internet, Ahad lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya tidak melakukan operasi atau membuat tangkapan seperti yang didakwa dalam forum Internet terbabit.

“Sehubungan itu, Jais menasihatkan segala hebahan berunsur sebegini tidak berulang demi menjaga maruah individu tertentu terutama dalam perkara yang tidak dilakukan ini,” katanya di sini, semalam.

Dalam forum Internet www.mykmu.net itu mendakwa ‘kecoh Adun Selat Klang kena tangkap basah di sebuah hotel sekitar Pelabuhan Klang’.

Sementara itu, Dr Halimah menulis dalam blognya menafikan tuduhan itu dan menyifatkan ia tuduhan jahat dan mahu mengaibnya selaku aktivis muslimat Pas.

“Saya menghubungi peguam Pas sebelum membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada 27 Januari lalu.

“Tuduhan yang dilemparkan kepada saya tidak masuk akal selain menjatuhkan maruah saya sebagai wanita, wakil rakyat dan juga Exco Kerajaan Negeri Selangor. Kampung Idaman bukan di bawah DUN Selat Klang dan Hotel Crystal Crown adalah dalam kawasan Pandamaran,” katanya.

Dr Halimah berkata, tuduhan itu juga sama sekali tidak berasas sedangkan pada masa yang dinyatakan itu dia berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor kerana di undang menghadiri Program Forum Perdana sebagai ahli panel.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130094305/Article/index_html

Salah kita!


Oleh Ridzuan Ahmad
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Akibat tertekan dengan cemuhan segelintir masyarakat Islam kerana memiliki tatu, seorang mualaf mengelar lengan kanannya untuk menghilangkan tatu warisan keluarganya itu lebih lima kali dengan menggunakan pisau cukur, semalam.

Perbuatan Anas Phoon Abdulllah, 30, mengelar lengannya nyaris membawa maut apabila dia kehilangan banyak darah.

Difahamkan, tatu terbabit dimilikinya lebih 10 tahun lalu sebelum dia memeluk Islam.

Apa yang menyedihkan Anas, kehadirannya untuk menghayati ajaran Islam bukan saja kurang disenangi segelintir masyarakat, malah turut disisih keluarganya sendiri.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Anas, seorang peniaga minyak wangi nekad mengelar lengannya di belakang tandas sebuah masjid di Telok Kechai, Kuala Kedah, selepas berputus asa dengan penghinaan masyarakat serta nasib menimpa dirinya.

Menurut rakannya, Mohd Firdaus Razali, 22, Anas pernah beberapa kali mengelar lengannya untuk membuang tatu itu yang menjadi punca tindakan segelintir masyarakat menghinanya.

“Malah, dia sering menangis setiap kali menceritakan pengalamannya kepada saya yang dicerca masyarakat.

“Tidak cukup dengan itu, Anas sedih apabila kembali daripada menziarahi keluarganya di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, empat hari lalu. Ini disebabkan dia tidak disenangi anggota keluarganya,”
katanya yang mula mengenali Anas sejak setahun lalu.

Mohd Firdaus berkata, tindakan Anas pada malam kejadian menggambarkan kekecewaannya memuncak akibat memendam perasaan sejak sekian lama menanggung masalah menimpa dirinya.

Bagaimanapun, keprihatinan Mohd Firdaus menyelamatkan Anas apabila menyedari dia tidak muncul di gerai mereka seperti biasa.

Katanya, dia menghubungi Anas beberapa kali dan sebaik panggilannya dijawab, rakannya itu memohon maaf seolah-olah sudah melakukan kesilapan besar.

“Dia (Anas) berulang kali mendakwa melakukan kesalahan dalam nada terputus-putus seperti seorang sedang menahan kesakitan. Selepas didesak, Anas kemudian memberitahu saya tempat dia berada sebelum mematikan talian telefon.

“Saya segera bergegas ke sana dan mendapati Anas sudah terkulai layu di belakang tandas masjid itu selain lengan dan pakaiannya dipenuhi darah,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Chengai, dekat sini, semalam.

Dia segera menghubungi rakan lain sebelum berlari memasuki bilik Anas bagi mendapatkan kain.

Sekembali semula kepada Anas, dia mendapati mangsa seperti nyawa ikan dan mulutnya tidak putus-putus menyebut Allah.

“Saya segera membalut tangannya bagi menghentikan pendarahan itu sebelum rakan lain datang dan mengusung Anas masuk ke bilik,” katanya.

Anas segera dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat mengalami pendarahan dan luka serius.

Mohd Firdaus berkata, Anas pernah memberitahunya bahawa tatu pada lengan kanannya itu dibuat ketika dia berumur belasan tahun yang menjadi tradisi keluarganya.

Mangsa memeluk Islam ketika berusia 20 tahun selepas tertarik dengan cara hidup Islam.

Dia hairan simbol tatu itu menjadi isu besar sehingga memberi tekanan kepada kehidupan harian Anas.

“Sepatutnya masyarakat memberi panduan kepadanya yang memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Memang ada orang memberi sumbangan kepada Anas yang menerimanya sebagai rakan baru dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan masjid turut membantu Anas dengan memberi sebuah bilik tidur selepas melihat kesungguhan Anas mendalami cara hidup Islam.

Justeru, dia berharap tiada pihak lagi mencemuh Anas hanya kerana tatu itu, sebaliknya memberi sokongan serta bimbingan untuk menghayati ajaran Islam sebenar.

http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090130083721/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...