Friday, January 30, 2009

‘Rita, Aidil lebih elok jumpa abah’


Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Mohd Amin Jalil
am@hmertro.com.my


SEREMBAN: “Demi kebaikan masa depan, Rita (Rudaini) perlu mencari jalan terbaik bagaimana untuk meleraikan kekusutan yang dialami sekarang,” kata kakak sulung Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, Ruziehana, 30-an, berhubung kenyataan Rita dalam akhbar ini, semalam.

Dia yang dipanggil Kak Long dalam keluarga berkenaan, berkata seluruh ahli keluarganya juga tidak mahu masalah berkenaan berlarutan tanpa jalan penyelesaian kerana sedar perkahwinan adalah perkara baik yang dituntut dalam Islam.

Justeru, katanya, Rita perlu mencari jalan penyelesaian sendiri bagi menjernihkan keadaan untuk kebaikan kedua-dua pihak tanpa menyinggung perasaan.

“Kalau dia (Rita) tertekan dengan keadaan yang berlaku, bagi pihak keluarga (abah dan mak) pun tidak mahu menghadapi situasi serupa.

“Tiada gunanya kalau kita berbalah dalam surat khabar,”
katanya yang bercakap bagi pihak keluarganya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan pelakon drama bersiri Rozana, Rita Rudaini Mohkhtar, 33, sedih kerana terus dipersalahkan dalam isu pernikahan dengan pemain bola sepak kebangsaan itu, Mohd Aidil Zafuan, 22, di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu.

Ruziehana berkata, sejak berita mengenai perkahwinan adiknya dengan Rita didedahkan media kepada umum, pelakon terkenal itu tidak pernah berkunjung ke rumah keluarganya di Sikamat, dekat sini, atau mengadakan sebarang perbincangan mengenai masalah yang berlaku.

“Kami juga berfikir mungkin mereka mempunyai cara tersendiri atau mencari waktu sesuai untuk bertandang serta berbincang bagi mencari jalan penyelesaian itu.

“Namun, kami tidak dapat menjangkakan (keputusan berkunjung) kerana ia terletak di tangan mereka. Sudah dijelaskan sebelum ini, kami tidak pernah ‘membuang’ Aidil daripada keluarga walaupun tahu dia sudah melakukan kesilapan sehingga mengguris hati abah dan emak,”
katanya.

Ruziehana berkata, keluarganya juga tidak pernah sekali-kali menyakiti Mohd Aidil Zafuan kerana adiknya itu sudah memohon maaf di atas kesilapannya.

Menurutnya, Mohd Aidil pernah menghantar SMS kepada ibu bapa mereka sebagai tanda memohon maaf dan keluarga juga sudah menerima dengan hati terbuka.

Katanya, Rita boleh melahirkan rasa tidak puas hati, tetapi ia adalah isi hatinya selain harus memahami situasi yang dihadapi keluarga mentuanya sedangkan ibu bapanya tidak pernah memandang serong kepada menantunya malah mereka amat menyayangi menantu lebih daripada anak sendiri.

“Jadi, saya rasa abah dan emak mungkin boleh terima Rita tetapi pelakon itu sendiri harus mengunakan pendekatan terbaik bagaimana dia mahu ‘menjernihkan’ kekeruhan yang berlaku.

“Bagi saya, pertemuan dengan abah dan emak itu sepatutnya dirancang sendiri pasangan berkenaan. Tidak sepatutnya abah dan emak pula yang perlu berbuat demikian,”
katanya.

Ruziehana berkata, keluarganya juga tidak mahu kekusutan yang berlaku terus berlarutan tanpa penghujung dan berharap ia dapat diselesaikan dengan secepat mungkin untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130093831/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...