Friday, January 30, 2009

‘Saya mahu dia hadir perbicaraan’


PETALING JAYA: “Kalau boleh saya mahu dia hadir sama ketika perbicaraan ini,” kata pelakon, Wan Nor Azlin Mohd Husain, 40, selepas suaminya, Mohd Yazli Yaacob yang masih gagal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendengar permohonan tuntutan nafkah bagi dirinya dan anak.

Tambah Wan Nor Azlin, suaminya yang bekerja sebagai peguam sepatutnya tahu undang-udang dan menunaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak.

Terdahulu, Hakim Syarie Ghazali Ahmad menetapkan 8 April ini untuk perbicaraan sebelah pihak bagi mendengar permohonan Wan Nor Azlin (plaintif) terhadapnya Mohd Yazli, 38.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan kepada mahkamah Mohd Yazli masih menghilangkan diri sehingga kini dan penyampaian saman tidak dapat dilakukan.

Terdahulu, Fakhrul Azman berkata pihaknya sudah membuat penyampaian saman secara gantian iaitu melalui tampalan pada 21 Januari 2009 dan melalui iklan di akhbar tempatan pada 19 Januari 2009.

Pada 29 Oktober 2008, Wan Nor Azlin memfailkan tuntutan nafkah selepas Mohd Yazli yang juga seorang peguam, meninggalkan rumah tanpa memberikan wang belanja untuknya dan anak terutama membabitkan makan minum serta persekolahan mereka sejak 10 Julai 2008.

Dalam pernyataan tuntutannya, Wan Nor Azlin mendakwa Mohd Yazli mengabaikan nafkah terhadap dirinya dan anak dari segi makan, minum, pakaian, kelengkapan peribadi, perubatan, perbelanjaan rumah tangga dan anak.

Pemenang anugerah Aktres TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2001 itu mendakwa suaminya berhutang along tanpa pengetahuannya dan orang suruhan sindiket terbabit pernah datang ke rumah mereka di Damansara Indah Resort Homes.

Sehubungan itu, beliau menuntut suaminya membayar nafkah RM5,000 untuk perbelanjaan dirinya, perbelanjaan rumah tangga (RM2,000), simpanan Amanah Saham Bumiputera (RM1,000), caruman insurans setiap bulan (RM500), ansuran rumah RM3,500 yang kini tertunggak RM122,892 dan ansuran kereta RM1,686.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090129092720/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...