Friday, January 30, 2009

11 tahun ditinggal ibu

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my


KESAL...Hairon-In mencari ibu bapa kandung kedua-dua
anak angkatnya.


KUANTAN: Nasib dua beradik perempuan dari Taman Balok Makmur di sini, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan saja ditinggalkan ibu bapanya sejak 11 tahun lalu, malah menghadapi masa depan gelap kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran berikutan ketiadaan kad pengenalan.

Kisah malang dua remaja bersaudara itu diceritakan ibu angkat mereka, Suriani Abdul Karim, 41, yang merayu supaya ibu bapa kandung kedua-dua anak angkatnya itu tampil bagi membolehkan mereka mendapat kad pengenalan.

Mengimbas semula kejadian 11 tahun lalu, Suriani berkata, dia diminta menjaga dua kanak-kanak perempuan berkenaan oleh sepasang suami isteri berasal dari Sabah yang juga jirannya ketika menetap di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur.

Menurutnya, pasangan dikenali sebagai Awang Monir dan isterinya, Merbert Amar, menyerahkan dua anak perempuan iaitu Rohana dan Rohainah masing-masing berusia 10 dan lapan tahun ketika itu.

“Pasangan berkenaan datang ke rumah saya sambil menceritakan masalah yang dihadapi dan berharap dapat menjaga anak mereka seperti anak sendiri.

“Merbert memberitahu mahu pulang ke Sabah untuk mendapatkan rawatan suaminya yang sakit dan saya fikir mereka mahu kanak-kanak itu dijaga sementara tetapi tidak menyangka mereka ditinggalkan hingga kini,”
katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, bersama suami, Hairon-In Abd Karim, 44.

Suriani berkata, dia kesal dengan sikap pasangan suami isteri itu yang tidak mengambil tahu nasib anak mereka sejak ditinggalkan sehingga remaja.

“Akibatnya, Rohainah gagal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan kini tidak lagi menyambung persekolahan manakala Rohana juga tidak dapat meneruskan pengajian kerana tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007 disebabkan tidak memiliki kad pengenalan.

“Lebih memburukkan keadaan apabila saya tidak menyimpan surat beranak dua beradik itu bagi membantu proses mendapatkan kad pengenalan,”
katanya.

Suriani yang memiliki tiga anak juga membuat aduan di Balai Polis Beserah berhubung masalah itu selepas dinasihatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelak sebarang kekeliruan.

“Saya bersedia menyerahkan kembali jika ibu bapa mereka datang berjumpa saya. Namun, jika mereka masih tidak datang, saya bersedia memelihara dua beradik ,” katanya.

Sehubungan itu, Suriani merayu orang ramai yang mengetahui pasangan suami isteri itu berada supaya menghubunginya di talian 016-9735391 / 014-8134197.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090129091052/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...