Friday, January 30, 2009

Radzi nafi dalang lemahkan politik Shahidan



Abdul Rahim Sabri Jan 29, 09 1:30pm


Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad menyifatkan dakwaan beliau sebagai dalang gerakan menghapuskan pengaruh Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis sebagai satu tuduhan yang liar.

"Itu tuduhan liar dan tidak benar. Saya buat kerja sepanjang masa. Menjaga kebajikan rakyat keseluruhan,” kata ahli parlimen Kangar.

"Saya tidak ada kena-mengena langsung dan tidak pernah mencampuri pentadbiran menteri besar."

Radzi didakwa sedang menjalankan gerakan mencantas pengaruh bekas menteri besar itu dengan menyekat jawatan para penyokongnya, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan menghalang pemberian kontrak kerajaan negeri.

Sambil menempelak ketua penerangan Umno negeri Datuk Hashim Suboh yang melemparkan dakwaan sedemikian semalam, bekas setiausaha agung Umno itu berkata:

"Cermin muka dahulu. Apa yang anda buat selama ini di Kangar dan Perlis? Jangan sembang kosong, tidak baik. Jangan buat tuduhan.

"Sembang kosong, tapi apa pun tak buat. Tunjukkan bukti dahulu."

Hashim juga mendakwa, menteri besar kini Datuk Seri Mohd Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."

"Orang Shahidan yang kalah dalam pertandingan jawatan parti (tahun lepas) telah diketepikan sama sekali.

"Berikutan itu, kini suara-suara tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Umno Perlis semakin kuat kedengaran," kata Hashim lagi.

Radzi juga mencabar Hashim menunjukkan bukti bahawa beliau terlibat mencampuri urusan pentadbiran menteri besar itu.

Beliau seterusnya mempersoalkan status projek membela ikan di empangan air Timah Tassoh yang diketuai oleh Hashim.

"Apa sudah jadi dengan projek itu sekarang?" katanya.

Radzi turut mendakwa Hashim tidak turun membantu jentera kempen BN dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu untuk memastikan kemenangan calon-calon parti itu di parlimen Kangar.

"Beliau tidak pernah tolong dan turun kempen untuk sama-sama memenangkan calon di Kangar. Satu sen pun tidak beri.

"Awak ketua penerangan? Siapa yang lantik awak? Saya ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat," katanya, sambil menasihatkan kepada Hashim agar menjalankan kerja dengan baik dan menunjukkan kejayaan kepada masyarakat.

Bekas menteri itu berkata orang ramai kini sedang menilai kekuatan pemimpin Umno setelah PAS berjaya menguasai dua kerusi DUN – di Sanglang dan Simpang Empat – dalam parlimen Arau.

Umno bahagian Arau kini masih diketuai Shahidan.

Sambil mendakwa beliau tidak ada sebarang perselisihan faham atau permusuhan dengan bekas menteri besar itu, Radzi berkata:

"Beliau buat kerjanya, saya buat kerja saya."

http://www1.malaysiakini.com/news/97237

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...