Friday, January 30, 2009

Isteri bertarung ajal

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my


KASIH...Mustapha (kiri) memicit kepala Siti Shamsiah
sambil diperhatikan ahli keluarganya.



TELUK INTAN: Seorang suami hanya mampu berdoa serta melihat saja isterinya yang lumpuh dan bertarung dengan ajal selepas dipercayai mengalami masalah buah pinggang dan hati gara-gara menerima darah tercemar oleh doktor yang merawatnya di Hospital Teluk Intan (HTI), beberapa bulan lalu.

Mustapha Mansor, 43, yang menyara kehidupan keluarga dengan bekerja kontrak sambilan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersusun, Padang Tembak, dekat sini, berkata keadaan kesihatan isterinya, Siti Shamsiah Abdullah, 35, kini diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Katanya, insiden malang itu berlaku pada 24 September tahun lalu apabila isterinya yang mengalami masalah kekurangan darah dalam badan dimasukkan ke wad HTI untuk rawatan.

“Pada sebelah malamnya, doktor yang merawat isteri saya memasukkan darah ke dalam badan isteri saya dan pada keesokannya, selepas memasukkan darah, isteri saya mengalami komplikasi buah pinggang serta diserang demam kuning,” katanya.

Menyedari kejadian itu, isterinya terpaksa dimasukkan ke wad semula kerana keadaannya lebih membimbangkan selepas mula dimasukkan untuk rawatan pertama sebelum ini.

Beliau berkata, sejurus selepas itu, doktor yang merawat isterinya memberitahu darah dimasukkan ke dalam badan isterinya darah tercemar.

Menurutnya, isterinya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu gerai kuih-muih dekat sini, dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat selama 33 hari.

Bagaimanapun, selepas lima hari di rumah, isterinya mula menunjukkan tanda tidak sihat dan sekali lagi dimasukkan ke HTI untuk rawatan.

“Kali ini doktor merawat isteri memberitahu buah pinggangnya mengalami komplikasi dan selepas dua minggu dirawat isteri saya dibenarkan pulang selepas dimaklumkan sembuh.

“Namun, selepas beberapa hari pulang ke rumah dia terus terlantar dan tidak bermaya. Kini, dia hampir lumpuh dan saya yakin semua ini berpunca daripada kecuaian doktor HTI yang tersilap memasukkan darah tercemar ke dalam badan isteri saya,”
katanya.

Katanya, satu pertemuan dibuat dengan pihak hospital kelmarin dan mereka berjanji akan menyiasat.

Sementara itu, Pengarah HTI, Datuk Omar Said Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti aduan suami pesakit.

Katanya, memandangkan kes itu sudah lama pihaknya terpaksa meneliti dulu semua fail serta dokumen berhubung pesakit ini.

“Saya sudah berjumpa dengan suami pesakit dan kami juga menerima aduan pengadu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130085237/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...