Friday, January 30, 2009

Syarikat, kilang boleh operasi 3 hari seminggu


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membenarkan syarikat dan kilang memendekkan operasi masing-masing kepada tiga hari seminggu jika pekerja bersetuju dengan langkah tersebut, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim.

Katanya, kebimbangan utama kerajaan buat masa ini adalah bagi memastikan kadar kehilangan kerja yang minimum di kalangan rakyat Malaysia dan syarikat harus meneruskan operasi mereka walaupun tidak sepenuhnya.

Beliau memberitahu Bernama, adalah perlu bagi majikan mendapat persetujuan pekerja jika ingin melaksanakan langkah itu kerana pekerja akan menerima gaji rendah jika mengurangkan hari bekerja.

“Adalah menjadikan tanggungjawab jabatan ini untuk memastikan pekerja mendapat perlindungan secukupnya dan pada masa sama syarikat tidak mengalami kekurangan atau kerugian,” katanya.

Ismail berpendapat adalah lebih sesuai jika majikan, pekerja dan kesatuan sekerja boleh bekerjasama untuk kepentingan semua pihak bagi mengharungi situasi ekonomi global yang semakin gawat.

Sementara itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia berpendapat, lebih baik pekerja mengambil potongan gaji sementara daripada terus diberhentikan kerja.

“Sebagai majikan, kita tidak mahu kehilangan pekerja dan akan melakukan apa yang terbaik untuk semua,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090130085116/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...