Friday, January 30, 2009

Along serang Datuk



Oleh Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my


KULAIJAYA: Sambutan Tahun Baru Cina Isnin lalu menjadi mimpi ngeri buat seorang ahli perniagaan bergelar Datuk apabila sekumpulan ceti haram mengamuk dengan membaling botol serta batu ke rumah mangsa dan ibu bapanya selain membuat ugutan bunuh.

Kumpulan along itu berulang alik lima kali ke kediaman mangsa di Indahpura dan rumah ibu bapanya di Taman Emas, Kulai, pada petang dan malam Ahad lalu.

Walaupun mereka tidak dapat menemui Datuk itu, dia kerugian kira-kira RM10,000 selepas tingkap rumah serta cermin dan lampu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dipecahkan.

Ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, Datuk berusia 30-an yang enggan dikenali, berkata kumpulan along itu mulanya datang ke rumahnya jam 2.30 petang Ahad lalu.

Dia berkata, kedatangan mereka dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumahnya yang menunjukkan sekumpulan lelaki berlegar di depan rumah dan beberapa kali menekan loceng.

“Lelaki itu gagal menemui saya kerana saya sedang tidur. Berikutan itu, mereka ke rumah ibu bapa saya di Taman Emas kira-kira 10 kilometer dari rumah saya sebelum bertemu dengan bapa.

“Bapa saya dimaklumkan jika saya tidak muncul dalam tempoh dua hari untuk menjelaskan hutang, mereka akan membuat kecoh,” katanya semalam.

Bagaimanapun, dia berkata, kira-kira jam 7 malam, dua lelaki lain yang menaiki Honda CRV datang dan memaklumkan mahu berjumpanya.

Mereka turut mengugut membuat kecoh jika mangsa masih gagal membayar hutang.

“Tidak sampai dua jam kemudian, ketika semua ahli keluarga berkumpul di ruang tamu sambil berbual dan menonton televisyen selepas makan besar sempena di rumah ibu bapa saya, dua lelaki yang menaiki CRV itu datang lagi.

“Mereka syak saya ada sekali berkumpul bersama keluarga, padahal saya tidak pergi ke sana. Bila keluarga maklum saya tidak ada, seorang daripada dua lelaki itu memanggil anak saya keluar, tetapi dia enggan.

“Ini menyebabkan mereka mula mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah,” katanya.

Lelaki terbabit membaling tiga botol ke cermin tingkap rumah ibu bapa mangsa lalu terkena jeriji dan tingkap yang bertutup.

“Jika tidak, mungkin ada ahli keluarga saya terkena serpihan kaca botol itu,” katanya.

Berikutan gagal menemuinya, kata Datuk itu, empat lelaki menunggang dua motosikal berlegar di sekitar rumahnya kira-kira jam 9.45 malam sebelum beredar.

Mangsa terdengar bunyi kaca pecah menyebabkannya segera membunyikan sistem penggera rumah berikutan bimbang nyawanya terancam menyebabkan kumpulan lelaki itu melarikan diri.

“Semua kejadian itu dirakam menerusi CCTV. Apabila keluar rumah untuk memeriksa, saya dapati cermin belakang dan lampu belakang kenderaan MPV Toyota Alphard pecah, selain kerosakan cermin tingkap di dapur menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000,” katanya yang turut menemui tiga batu-bata dipercayai digunakan lelaki terbabit untuk membaling kereta dan rumahnya.

Mangsa bersama isteri dan ibu bapanya membuat laporan di Balai Polis Kulai.

Datuk itu berkata, sehingga kelmarin, dia dan keluarganya masih menerima ugutan, termasuk ancaman bunuh daripada lelaki terbabit sama ada menerusi panggilan telefon atau SMS.

Beliau mengaku mengenali individu yang menjadi dalang di sebalik tindakan kumpulan along terbabit sebelum terputus hubungan akibat masalah peribadi.

Menurutnya, hasil rakaman CCTV dan pertolongan beberapa rakan, dia mengesan lelaki terbabit tinggal di sekitar Yong Peng.

Dia sedang menunggu tindakan polis terhadap pihak yang membuat ugutan itu selepas memberi semua maklumat yang difikirkan dapat membantu siasatan.

“Sambutan Tahu Baru Cina saya sekeluarga terganggu, maruah saya tercalar. Saya harap polis bertindak segera kerana saya bimbang terjadi sesuatu yang buruk terhadap saya dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata pihaknya sudah menerima laporan mangsa dan menyiasatnya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 kerana berniat jahat dan melakukan kerosakan.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090129083031/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...