Friday, January 30, 2009

200 ditipu ‘pegawai Tekun’

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


BERANG...sebahagian mangsa membuat laporan di Balai Polis
Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU: Dengan hanya membayar yuran pemprosesan RM100, seorang wanita yang mengaku pegawai kanan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menjanjikan pinjaman modal bernilai antara RM50,000 hingga RM70,000 kepada kira-kira 200 ahli baru sebuah syarikat jualan langsung, sebelum dipercayai melarikan wang mangsa RM20,000.

Pinjaman kononnya ditawarkan melalui beberapa koperasi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dikatakan boleh diluluskan dalam masa 30 hari bekerja itu menawarkan amaun berkenaan tanpa penjamin atau kertas kerja, sebaliknya peminjam hanya perlu memberi salinan kad pengenalan, penyata gaji dan wang RM100 sebagai kos memproses.

Malangnya, sejak Jun tahun lalu, pinjaman yang dipohon itu masih belum diluluskan, sebaliknya wanita yang berusia lingkungan 40-an itu menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Mangsa, Hisyam Samsu, 30, dari Kampung Melayu Majidee di sini, berkata dia mengenali wanita berkenaan selepas diperkenalkan rakan ketika mendaftar menjadi ahli sebuah syarikat jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) pada Jun 2008.

Katanya, setiap ahli baru yang ingin menyertai syarikat MLM berkenaan dikehendaki menyediakan modal RM21,600, bagaimanapun dia bersama kira-kira 200 yang lain diberitahu mereka akan dibantu wanita berkenaan dalam mendapatkan pinjaman dari Tekun.

“Wanita terbabit memberi jaminan kepada saya pinjaman melalui Tekun itu dijamin lulus dan saya hanya perlu menyerahkan salinan kad pengenalan, penyata gaji dan RM100, yang lain akan uruskan wanita itu termasuk mengisi borang permohonan.

“Sebulan kemudian, wanita berkenaan memaklumkan permohonan pinjaman melalui sebuah koperasi gagal kerana proses dibuat melewati tarikh tutup. Oleh itu, dia berjanji pula untuk mencuba dengan sebuah lagi koperasi tetapi kali ini pinjaman yang akan dibuat membabitkan jumlah RM75,000,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini, semalam.

Hisyam berkata, namun sehingga kini, permohonan pinjaman itu belum diluluskan dan kali terakhir dia dapat berhubung dengan wanita berkenaan ialah pada Ogos tahun lalu yang mengatakan permohonan itu belum dibuat bagi mengelakkan ahli yang memohon pada akhir bulan terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi.

“Ini semua alasan yang tidak munasabah, kini selepas beberapa bulan menunggu saya berasa tertipu dengan putar belit wanita itu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Shamzuri Mohd Noor, 38, juga dari Kampung Melayu Majidee berkata dia membuat bayaran RM100 kepada wanita itu ketika menghadiri satu seminar yang diadakan khusus untuk ahli baru syarikat MLM berkenaan di Simpang Rengam di sini, Julai tahun lalu.

“Terdapat kira-kira 30 orang dalam seminar yang diadakan di sebuah restoran itu dan kami semua menjelaskan RM100 kepada wanita terbabit dengan harapan mendapat pinjaman seperti dijanjikan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090129092129/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...