Friday, January 30, 2009

Bukan mahu panjang sengketa

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


BAHAGIA...Rita dan Aidil Zafuan bakal timang
cahaya mata.


KUALA LUMPUR: Dramatis popular, Rita Rudaini Mohkhtar, 33, sedih kerana dia terus dipersalahkan dalam isu pernikahan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, 22, di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu.

“Aidil sudah menjelaskan pernikahan kami dibuat atas kehendaknya selepas masing-masing memikirkan ini jalan terbaik supaya kami tidak terlanjur dalam menjalin hubungan.

“Sebagai anak, Aidil sudah melakukan yang terbaik untuk memulihkan hubungan dengan keluarganya. Saya tidak banyak campur tangan dan biarkan dia menguruskannya supaya masalah boleh diselesaikan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pelakon utama drama bersiri Rozana itu menjelaskan, mulanya kedua-dua pihak sudah memberi kata putus tidak akan memberikan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan.

Namun, dia berkata, apa yang berlaku sekarang sebaliknya apabila keluarga mentua terus memberikan kenyataan tidak sepatutnya.

Menurutnya, dia bukan mahu memanjangkan isu atau mencari sengketa dengan keluarga mentua, tetapi mahu umum memahami kedudukan sebenar untuk kepentingannya dan Aidil.

“Sepanjang pernikahan kami hangat diperkatakan keluarga mentua mahupun orang luar, saya mendiamkan diri bagi mengelak timbul spekulasi yang boleh menyakiti hati kedua-dua pihak.

“Saya kasihankan suami. Apabila kenyataan itu tersiar, dia benar-benar terganggu. Saya rayu kepada keluarga mentua, jangan lagi menyakiti Aidil. Kalau benar mereka masih sayangkan Aidil sebagai ahli keluarga jangan diganggu emosinya kerana bimbang kelak boleh menjejaskan tumpuan terhadap prestasi kerja,” katanya.

Rita mengakui dia dan Aidil ada pulang ke rumah mentuanya selepas bernikah.

“Ketika suami mengambil keputusan bertemu keluarganya untuk memaklumkan mengenai pernikahan, kami berdua pulang ke Negeri Sembilan. Tidak dinafikan apa yang kami lakukan itu (bernikah) salah dan kami mohon maaf.

“Saya sendiri melutut dan memegang tangan ibu mentua meminta mereka memaafkan Aidil dan jangan membuangnya daripada keluarga. Tetapi mereka tidak menghiraukan kami.

“Jadi peristiwa itu menjadi bukti kami pulang dan memberitahu sendiri mengenai pernikahan itu,” katanya yang menafikan dakwaan kononnya dia cuba memutuskan hubungan Aidil dengan keluarganya.

“Sikap saya tidak seburuk seperti tuduhan dibuat hingga mahu memutuskan hubungan antara ibu dan anak. Saya tidak mahu menanggung dosa besar seperti itu.

“Suami beberapa kali pulang ke rumah keluarganya. Malah, selepas menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan, Aidil pulang dan waktu itu, kata suami, keluarganya melayannya dengan baik dan mereka menikmati makan tengah hari bersama,” katanya.

Bagi Rita, sekiranya keluarga mentua tidak mahu menerimanya sebagai menantu, itu tidak mengapa.

“Saya reda dan menerima ujian dan ketentuan Ilahi, tetapi jangan terus menghina saya dan keluarga saya.

“Selama ini, saya berdiam diri kerana menghormati keluarga mentua dan tidak paksa mereka menerima saya. Biar masa menentukan, tetapi segala hinaan menerusi SMS kepada saya, keluarga dan suami pada saya itu sudah keterlaluan.

“Adakah mereka melakukan itu kerana mahu memberikan tekanan buat saya mahupun Aidil, apatah lagi selepas mereka tahu saya sedang mengandung. Ingin saya jelaskan semua SMS yang mereka hantar saya masih simpan untuk dijadikan bukti,” katanya.

Kata Rita, dia benar-benar berharap tiada lagi sebarang kenyataan yang cuba memburukkannya dan keluarga.

“Apapun, kami tahu sudah melakukan kesalahan dan banyak kali memohon maaf. Tiada apa lagi yang mampu saya lakukan selain memohon maaf.

“Tidakkah mereka terfikir apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Kalau benar mereka marahkan kami jangan memberikan kenyataan membuatkan saya dan suami nampak hina pada mata masyarakat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090129092750/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...