Friday, January 30, 2009

Salah kita!


Oleh Ridzuan Ahmad
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Akibat tertekan dengan cemuhan segelintir masyarakat Islam kerana memiliki tatu, seorang mualaf mengelar lengan kanannya untuk menghilangkan tatu warisan keluarganya itu lebih lima kali dengan menggunakan pisau cukur, semalam.

Perbuatan Anas Phoon Abdulllah, 30, mengelar lengannya nyaris membawa maut apabila dia kehilangan banyak darah.

Difahamkan, tatu terbabit dimilikinya lebih 10 tahun lalu sebelum dia memeluk Islam.

Apa yang menyedihkan Anas, kehadirannya untuk menghayati ajaran Islam bukan saja kurang disenangi segelintir masyarakat, malah turut disisih keluarganya sendiri.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Anas, seorang peniaga minyak wangi nekad mengelar lengannya di belakang tandas sebuah masjid di Telok Kechai, Kuala Kedah, selepas berputus asa dengan penghinaan masyarakat serta nasib menimpa dirinya.

Menurut rakannya, Mohd Firdaus Razali, 22, Anas pernah beberapa kali mengelar lengannya untuk membuang tatu itu yang menjadi punca tindakan segelintir masyarakat menghinanya.

“Malah, dia sering menangis setiap kali menceritakan pengalamannya kepada saya yang dicerca masyarakat.

“Tidak cukup dengan itu, Anas sedih apabila kembali daripada menziarahi keluarganya di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, empat hari lalu. Ini disebabkan dia tidak disenangi anggota keluarganya,”
katanya yang mula mengenali Anas sejak setahun lalu.

Mohd Firdaus berkata, tindakan Anas pada malam kejadian menggambarkan kekecewaannya memuncak akibat memendam perasaan sejak sekian lama menanggung masalah menimpa dirinya.

Bagaimanapun, keprihatinan Mohd Firdaus menyelamatkan Anas apabila menyedari dia tidak muncul di gerai mereka seperti biasa.

Katanya, dia menghubungi Anas beberapa kali dan sebaik panggilannya dijawab, rakannya itu memohon maaf seolah-olah sudah melakukan kesilapan besar.

“Dia (Anas) berulang kali mendakwa melakukan kesalahan dalam nada terputus-putus seperti seorang sedang menahan kesakitan. Selepas didesak, Anas kemudian memberitahu saya tempat dia berada sebelum mematikan talian telefon.

“Saya segera bergegas ke sana dan mendapati Anas sudah terkulai layu di belakang tandas masjid itu selain lengan dan pakaiannya dipenuhi darah,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Chengai, dekat sini, semalam.

Dia segera menghubungi rakan lain sebelum berlari memasuki bilik Anas bagi mendapatkan kain.

Sekembali semula kepada Anas, dia mendapati mangsa seperti nyawa ikan dan mulutnya tidak putus-putus menyebut Allah.

“Saya segera membalut tangannya bagi menghentikan pendarahan itu sebelum rakan lain datang dan mengusung Anas masuk ke bilik,” katanya.

Anas segera dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat mengalami pendarahan dan luka serius.

Mohd Firdaus berkata, Anas pernah memberitahunya bahawa tatu pada lengan kanannya itu dibuat ketika dia berumur belasan tahun yang menjadi tradisi keluarganya.

Mangsa memeluk Islam ketika berusia 20 tahun selepas tertarik dengan cara hidup Islam.

Dia hairan simbol tatu itu menjadi isu besar sehingga memberi tekanan kepada kehidupan harian Anas.

“Sepatutnya masyarakat memberi panduan kepadanya yang memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Memang ada orang memberi sumbangan kepada Anas yang menerimanya sebagai rakan baru dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan masjid turut membantu Anas dengan memberi sebuah bilik tidur selepas melihat kesungguhan Anas mendalami cara hidup Islam.

Justeru, dia berharap tiada pihak lagi mencemuh Anas hanya kerana tatu itu, sebaliknya memberi sokongan serta bimbingan untuk menghayati ajaran Islam sebenar.

http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090130083721/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...