Friday, June 19, 2009

Lambaian puteri

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Amalan sesat dan syirik memuja patung supaya wajah kelihatan jelita setanding artis selain menundukkan lelaki mendorong ramai wanita muda termasuk isteri orang kenamaan (VIP), kini sanggup menjual akidah dengan membeli tangkal azimat Siam dipanggil patung puteri.

Tangkal terbabit yang mempunyai fungsi persis minyak dagu atau minyak pengasih bagi golongan lelaki, sebaliknya hanya berkesan jika dipakai wanita dengan niat ‘mengikat’ hati lelaki.

Difahamkan, penjualan patung terbabit yang mendapat permintaan tinggi, didalangi beberapa pengamal perubatan tradisional tempatan yang menjadikan ibu negara sebagai pusat transit untuk memasarkan patung kecil berkenaan dengan harga tidak kurang RM600 setiap satu.

Wartawan Harian Metro yang menjejaki individu yang membekalkan patung tangkal pengasih berkenaan akhirnya mengatur temu janji di sebuah hotel berhampiran Jalan Tiong Nam, Chow Kit di sini, selepas kira-kira sebulan cuba meyakinkannya.

Wanita tempatan dari Parit Buntar, Perak, berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 40-an, memberitahu dia ke Kuala Lumpur untuk menghantar ‘bekalan’ patung pengasih berkenaan sebanyak dua atau tiga kali sebulan.

Dia yang berketurunan Melayu Siam mendakwa menjual patung tangkal sebesar ibu jari berkenaan lengkap dengan rantai pada harga kadangkala melebihi RM600 setiap satu.

“Patung ini saya bawa khas melalui seorang kawan di Thailand yang akan menghantarkannya ke sempadan negara setiap kali bekalan saya kehabisan. Tidak setakat patung itu, malah saya turut membawa masuk pelbagai jenis minyak pengasih serta besi pelaris dari negara itu.

“Semua benda ini diserahkan kepada saya dalam keadaan ‘kosong’ dan menjadi tugas saya seterusnya untuk menjalankan upacara pemujaan khas di rumah untuk memasukkan ‘isi’ di dalamnya,”
katanya.

Menurutnya, dia yang mempelajari ilmu kedukunan dan mantera Siam daripada arwah ibunya mendakwa akan melakukan pemujaan dalam bilik khas di rumahnya dengan membaca jampi terhadap patung itu pada tiga malam Jumaat berturut-turut.

“Bagaimanapun, upacara ini hanya boleh dilakukan selepas wanita yang menempah patung ini memberikan nama penuhnya bagi memastikan nama terbabit digunakan ketika proses puja patung berkenaan.

“Patung puteri yang siap ‘diisi’ dengan semangat itu kemudian akan dimasukkan ke dalam bekas khas dan dipasang dengan rantai sebelum dijual,”
katanya.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 1,000 tangkal pengasih itu dijual kepada pelanggan terutama di kalangan wanita Melayu.

“Pemakaiannya mempunyai pelbagai khasiat istimewa terutama sebagai penambat kasih dan membuat lelaki tergila-gilakan si pemakai.

“Lelaki yang memandang si pemakai ini akan sentiasa rindu dan tidak lena tidur akibat teringatkan wajah wanita yang memakainya. Bagi mereka, wanita terbabit yang sebelum ini nampak hodoh di mata bertukar umpama primadona memukau,”
katanya.

Menurutnya, kehebatan patung puteri itu yang ‘mujarab’ di kalangan pengguna menyebabkan ia laris dan menjadi buruan di kalangan wanita termasuk golongan mak nyah.

Patung Puteri turut menjadi kegilaan pelayan pelanggan (GRO) kelab malam, pelacur, isteri VIP serta perempuan simpanan bertujuan dijadikan pelaris atau mengikat hati suami.

“Bagaimanapun, pemakaian tangkal ini turut mempunyai pantang larang berikutan individu yang menggunakannya dilarang berjalan di bawah ampaian baju. Jika pantang ini dilanggar maka ‘khasiat’ patung berkenaan akan lenyap dan pemiliknya perlu memulangkan semula patung berkenaan untuk dijampi semula,
katanya.

Sementara itu, Kak Ani yang mendakwa berjinak dengan dunia pengamal perubatan tradisional sejak 20 tahun lalu, sempat menunjukkan contoh dua Patung Puteri yang akan diserahkan kepada pelanggannya.

Pemerhatian mendapati setiap patung terbabit yang berlainan saiz mempunyai bentuk hampir sama iaitu ukiran seorang wanita dengan satu daripada tangannya seolah-olah sedang melambai.

“Patung ini ditempah seorang isteri penjawat awam dan seorang perempuan simpanan bagi tujuan yang awak sedia maklum,” katanya.

Kak Ani yang ditanya tidakkah perbuatannya itu menjurus kepada syirik memberitahu, dia kerap menasihati pelanggannya supaya membukanya ketika sembahyang.

“Saya tidak suruh mereka meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap patung itu sebaliknya menganggap patung itu hanya sebagai alat pengantara untuk menunaikan hajat,” katanya sambil meminta wajahnya tidak didedahkan.

http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090619063450/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...