Friday, June 19, 2009

Lebih teruk

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my


SERDANG: Kajian yang dijalankan Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati fenomena jerebu kali ini dijangka lebih teruk daripada yang melanda negara pada tahun 1997.

Fenomena El Nino yang berterusan sehingga September ini adalah salah satu punca keadaan berjerebu yang teruk melanda negara sejak beberapa minggu lalu.

Malah, gabungan daripada dua fenomena berkenaan turut memberi kesan negatif terhadap hasil pengeluaran produktiviti perladangan negara termasuk kelapa sawit.

Ketua Jabatannya, Profesor Madya Dr Ahmad Makmom Abullah, berkata pada 1997 negara mencatat kerugian terbesar akibat jerebu teruk yang melanda seluruh negara pada masa itu.

“Mengikut kajian pada tahun itu, tanaman kelapa sawit terjejas teruk sehingga membabitkan jumlah kerugian sehingga RM470 juta, manakala sektor perikanan pula kerugian sehingga RM40 juta.

“Kerugian itu dicatatkan dalam masa tiga bulan saja dan pada tahun ini pihak kami jangka kerugian akan bertambah teruk kerana faktor kemarau panjang disamping kebakaran hutan dan terbuka yang berlaku di negara jiran mahupun dalam negara,” katanya pada sidang media isu jerebu, di sini, semalam.

Katanya, sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera beliau percaya negara akan mengalami kerugian yang lebih besar berbanding tahun 1997.

“Selain daripada dua sektor berkenaan, jerebu turut menjejaskan produktiviti kerja rakyat negara ini khususnya membabitkan pekerja di sektor pembinaan dan perkhidmatan awam.

“Malah, peratusan orang ramai khususnya pelajar sekolah yang dijangkiti asma mahupun lelah juga dijangka meningkat akibat daripada persekitaran yang tidak sihat ini,”
katanya.

Keadaan itu sekiranya berterusan akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam sektor pelancongan, penternakan dan pertanian.

Beliau berkata, fenomena jerebu yang asalnya berpunca daripada pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia turut dijangka berterusan walaupun menunjukkan tanda pemulihan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Alam Sekitar Profesor Madya Dr Mohd Bakri Ishak berpendapat masalah ini boleh diatasi dengan perbincangan bersama negara Asean.

“Malaysia patut memulakan langkah drastik itu dengan mengadakan perbincangan bersama negara ahli yang lain,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090619071547/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...