Friday, June 19, 2009

Tak tulus, habis fulus

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Nabi kahwin lebih untuk selesaikan masalah, tapi bila kita yang tiada masalah kahwin lagi maka akhirnya timbullah masalah,” ulas pendakwah tersohor, Mohd Zawawi Yusoh mengenai kisah cinta palsu isteri muda.

Menurutnya, kebanyakan lelaki tempatan mahu berkahwin melebihi seorang, tetapi tiada keberanian terutama mahu berhadapan isteri, bagi menyatakan hasrat itu selain tidak tulus dan bertanggungjawab kepada isterinya.

“Orang yang nak kahwin dua, kena berani dan dia kena tulus kalau tidak ‘fulus’nya habis sebab sikap berani akan menjadikan dia adil kepada isteri, jujur serta bertanggungjawab melaksanakan tugas selaku ketua keluarga.

“Malangnya, ramai nak kahwin secara halal tapi tidak berani dengan isteri tua...ini menyebabkan mereka kahwin jauh sehingga ke Thailand dan pilih orang sana bukan tempatan.

“Lagi satu, masyarakat negara kita masih lagi prejudis terhadap poligami, malah belum menjadi trend lelaki tua mengahwini wanita muda menyebabkan warga emas yang berkeinginan ini terpaksa mencari orang jauh,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Mohd Zawawi berkata, sepatutnya mana-mana lelaki yang berhasrat menyuntik ‘bunga’ perlu mengikut tatacara Nabi Muhammad SAW mengkelaskan empat kriteria sebagai rujukan termasuk keturunan, kecantikan, berharta dan agama.

Bagaimanapun, Perunding Motivasi Human-Touch Consultant Sdn Bhd itu menegaskan memilih wanita untuk dijadikan isteri perlulah mengutamakan agamanya, nescaya ia menjadi penyelamat rumah tangga.

“Ramai mahu kahwin lebih tapi tidak ikut ‘patern’ Nabi Muhammad dan ini menjadikannya binasa kerana menurut Nabi Muhammad perkahwinan mengikut syariat Allah meletakkan agama dan kecantikan seiring, maka selamatlah ia.

“Kerana Allah akan memelihara kita, menjaga harta dan semuanya dengan sempurna berbanding jika kita memilih nafsu kecantikan semata-mata tidak berlandaskan syariat maka isteri dipilih tidak ubah pencuri ‘songlap’ duit kita.


“Isteri menurut Islam (cantik semua segi) apabila diberi nafkah (wang) oleh suami dia menjaga bukan mengikis dan menjadi pisau cukur,” katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat wang pencarian dikenakan zakat supaya Allah SWT menjaga, malah malaikat akan menolong berdoa tiada perkara buruk berlaku termasuk dicuri isteri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090619075711/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...