Friday, June 19, 2009

Perdaya pakej murah umrah

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Seorang pengarah sebuah syarikat pelancongan berpejabat di ibu negara dikatakan memperoleh keuntungan ‘atas angin’ berjumlah lebih setengah juta ringgit dengan memperdayakan orang ramai, kebanyakannya warga emas yang mahu menunaikan umrah.

Dengan menawarkan pakej murah RM3,500 setiap seorang, syarikat berdaftar yang pernah menjalankan urusan menunaikan umrah itu didapati memperdaya seramai 219 individu sekitar Kelantan dan Besut, Terengganu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Superintendan Azmi Adam, berkata kegiatan syarikat itu terbongkar selepas ejen mereka, seorang pesara membuat laporan polis apabila ramai bakal jemaah gagal menunaikan umrah seperti dijanjikan.

Menurutnya, laporan dibuat di Balai Polis Kampung Raja, Besut selepas ramai yang membuat bayaran kepadanya gagal berangkat ke Tanah Suci sedangkan dia sudah memasukkan wang kutipan berjumlah RM534,000 ke dalam akaun syarikat berkenaan.

“Laporan dibuat kira-kira jam 10.30 pagi, Rabu lalu selepas beberapa kali perjalanan mereka tertangguh dan kali terakhir dijanjikan menunaikan umrah pada Ramadan ini sedangkan kos dikutip tidak munasabah untuk menunaikan umrah dalam tempoh itu,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat dan laporan diterima, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan pejabat operasi sebelum menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di Sentul, Kuala Lumpur.

“Syarikat itu didapati sebuah syarikat berdaftar, cuma tidak lagi beroperasi di alamat seperti didaftarkan, sebaliknya beroperasi di rumahnya sendiri dan suspek kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Besut selama seminggu bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, polis sudah merampas pelbagai dokumen membabitkan senarai nama mangsa daripada lelaki berkenaan tetapi tiada rampasan membabitkan wang tunai dibuat.

“Kami sedang mengumpulkan maklumat berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sedang berusaha mendapatkan keterangan semua mangsa dalam kejadian itu.

“Setakat ini, kami belum menerima laporan kemungkinan suspek turut melakukan kesalahan sama di negeri lain tetapi yang pasti kami belum menerima permohonan daripada polis di negeri lain,”
katanya.

Harian Metro difahamkan, ejen yang dilantik syarikat berkenaan mendakwa seperti diperalatkan kerana dia seorang dikenali dan dipercayai penduduk tempatan kawasan itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090619075928/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...