Thursday, January 13, 2011

ADUN BN dicabar hadiri sidang

ADUN BN dicabar hadiri sidang
Abdul Rahim Sabri
Jan 11, 11
6:10pm

ADUN BN di Selangor dicabar menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 Januari ini bagi meminda undang-undang tubuh negeri itu.

NONEAhli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata kehadiran mereka itu untuk membuktikan mereka menjunjung kasih kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah dan setia kepada negeri itu.

"Bila kita bawa usul pindaaan perlembagaan untuk mengembalikan kuasa kepada Sultan dan negeri, ADUN daripada Umno (dan BN), kita cabar mereka untuk hadir memberi sokongan

"Ujian yang muktamad apabila kita bentang (usul itu), kita minta mereka datang dan mereka buktikan kesetiaan kepada negeri Selangor dan Sultan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Turut hadir ialah ahli Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor (MPN) Yahya Sahri, timbalan setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim dan Presiden Kelab Penyokong Menteri Besar Selangor Khairul Anuar Othman.

selangor adun ceremony 220408 teng chang kimPagi ini, dalam kenyataan pejabat speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengarahkan setiausaha DUN memaklumkan sidang tersebut kepada semua ADUN Selangor berhubung cadangan meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

Menurut kenyataan itu, speaker memanggil mesyuarat tersebut selepas berpuashati dengan alasan yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, bahawa kepentingan awam berkehendakkan mesyuarat tersebut diadakan lebih awal dari tarikh DUN ditangguhkan.

Sidang tersebut diadakan mengikut Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

ADUN BN tak hadir

Khalid yang juga yang dipertua PAS kawasan Shah Alam bagaimanapun menjangka ADUN BN mungkin tidak akan hadir.

Katanya, walaupun sokongan 35 ADUN Pakatan tidak cukup untuk meminda perlembagaan dan memerlukan sokongan 38 ADUN, tetapi "paling kurang ia akan mendedahkan siapa sebenarnya pengkhianat kepada negeri dan institusi raja".

NONEDalam perkembangan lain, Khalid menafikan tanggapan bahawa beliau mempunyai "isu peribadi" terhadap setiausaha kerajaan Negeri Selangor (SUK) Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

"Kalau kerajaan negeri yang pilih Khusrin, ditemubual dan dia (berada kedudukan) nombor satu daripada enam orang (calon), saya tidak ada masalah.

"Tetapi dia (berada pada kedudukan) nombor enam daripada enam calon yang ditemubual. Dia bukan pilihan kerajaan negeri. Banyak kekurangan beliau untuk menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bukan soal peribadi, tetapi masalah untuk mencari orang yang terbaik untuk jawatan setiausaha kerajaan negeri," katanya.

http://malaysiakini.com/news/153115

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...