KOTA BHARU, 12 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menafikan beliau dipanggil oleh pemimpin Pakatan Rakyat untuk memberi penerangan berhubung pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong termasuk dua orang pemimpin tertinggi Umno.
Menurutnya, beliau sendiri tidak dimaklumkan supaya tampil memberi penjelasan berhubung pertemuan 24 Disember lalu di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.
“Saya sendiripun tidak tahu kenapa akhbar berkenaan boleh menyiarkan berita saya dipanggil untuk beri penjelasan tentang perkara itu, dari mana dia dapat sumber itu saya pun tak tahu,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika mengulas laporan sebuah akhbar harian bertajuk ‘Nik Aziz dipanggil’.
Menurutnya, untuk apa dipanggil lagi kerana semuanya sudah selesai.
“Tetapi kalau nak berjumpa juga, datang sinilah tak payah jemput saya ke Kuala Lumpur,” ujarnya ketika ditemui di JKR 10, hari ini.
Sementara itu, selepas mesyuarat exco mengulas perkara yang sama beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang berhubung isu yang diperbesarkan media masa hari ini.
Menurutnya, apa yang beliau terangkan kepada rakyat berhubung sesuatu perkara, begitu juga yang berlaku pada majlis tertutup.
“Saya bercakap dalam majlis sulit sama seperti majlis ramai. Saya hanya punyai seketul hati sahaja, apa yang saya bercakap di dalam (pertemuan tertutup) walaupun secara sulit, sama juga dengan apa yang saya cakap pada rakyat di luar.
Menurutnya lagi, walaupun bercakap dengan sesiapa secara sulit, ianya tidak akan berubah dengan pengucapannya pada rakyat di majlis terbuka.
Jadi, tambahnya rakyat tidak perlu takut serta bimbang terhadap isu yang sengaja diperbesarkan oleh mana-mana pihak termasuk media.
Katanya, Rasulullah sendiri pernah didatangi oleh sahabatnya pada Siti Aisyah yang bimbang andainya cara hidup baginda di rumah tidak sama dengan di luar.
“Saidatina menjawab, apa yang ada dalam al-Quran itulah perangai Rasulullah sama ada di luar atau di rumah, kata Aisyah,” jelas Tuan Guru.
Kerana itu, katanya Rasulullah tidak pernah berpesan pada isteri-isteri bahawa yang ini jangan diberitahu pada orang lain dan yang ini boleh.
Bagaimanapun Tuan Guru tetap tidak ingin mendedahkan isi perjumpaan kerana ianya sulit di samping menjaga kehormatan istana.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30314:untuk-apa-dipanggil-semuanya-sudah-selesai&catid=1:utama&Itemid=50
No comments:
Post a Comment